Cari:
Ucapan Li Jinjun
2013-06-03 18:03:48 CRI Cetak

Naib Pengerusi Jabatan Hubungan Luar Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China merangkap Naib Pengerusi Persatuan Kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan China (CANGO), Li Jinjun telah menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara pada 3 Jun 2013.

Teks ucapan beliau seperti berikut:

Dif-dif kehormat, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

Saya berasa amat gembira kerana dapat berkumpul dengan sahabat-sahabat dari negara-negara Asia Tenggara di Nanning, dan bersama-sama membuka tirai Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara, memperkukuh persahabatan untuk mencipta masa depan yang cemerlang. Saya mahu mengambil kesempatan ini, mewakili pihak penganjur, Persatuan Kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan China, mengucapkan selamat datang kepada perwakilan dari 11 buah negara Asia Tenggara dan China, dan mengucapkan terima kasih kepada Liu Qibao, Anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China yang mewakili Parti Komunis China dan kerajaan China menghadiri majlis perasmian dialog kali ini dan menyampaikan ucapan penting.

Persahabatan dalam kalangan rakyat merupakan asas bagi hubungan negara, manakala interaksi antara kalangan rakyat pula merupakan saluran penting bagi menggalakkan hubungan antara negara. Perkembangan persahabatan China-Asia Tenggara pada masa ini tidak boleh dipisahkan daripada pertukaran dan kerjasama antara satu sama lain. Beberapa tahun kebelakangan ini, pertubuhan masyarakat yang semakin membangun telah mendorong pembinaan masyarakat yang harmoni di China, di samping memperkasakan pertukaran China dengan dunia luar. Sebagai pertubuhan NGO yang terbesar di China, Persatuan Kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan China berinisiatif melaksanakan kerjasama dan interaksi dengan negara-negara Asia Tenggara; mempelawa NGO negara asing melawat China bagi berkongsi pengalaman pengendalian; melaksanakan projek kebajikan awam di luar negara bagi memberi manfaat kepada rakyat tempatan; mempertingkat kerjasama pelbagai hala dengan NGO negara-negara membangun bagi menyaringkan suara negara membangun di arena antarabangsa. Sehubungan dengan itu, interaksi dan kerjasama dalam kalangan rakyat telah memainkan peranan positif dalam usaha menggalakkan perkembangan hubungan antara negara secara sihat, dan menyumbang tenaga dan kebijaksanaan untuk memperkukuh asas dalam kalangan rakyat.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara selaras dengan keazaman rakyat China dan negara-negara Asia Tenggara untuk mempertingkatkan interaksi dan kerjasama, menyediakan ruang baharu kepada usaha memperluas kerjasama NGO, dan menjadi pentas baharu untuk mempererat persahabatan. Tema dialog kali ini, iaitu "Pembangunan untuk Kedamaian, Kerjasama demi Situasi Menang-Menang" juga memperlihatkan keazaman dan impian bersama rakyat China dan negara-negara Asia Tenggara. Pada dua hari yang akan datang, kita akan mengadakan perbincangan berhubung topik "Mengumpulkan Pendapat Awam bagi Mendorong Perkembangan Hubungan China-Asia Tenggara", "Tindakan Baharu Kerjasama Pragmatik" dan "Kerajaan dan Rakyat Berganding Bahu– Penjana Kedamaian dan Pembangunan Serantau". Saya percaya bahawa para peserta akan berpegang teguh pada prinsip "mencari persamaan dan mengetepikan perbezaan", mendengar suara masing-masing, berkomunikasi dan belajar untuk memberikan cadangan demi meningkatkan persefahaman, memperkukuh hubungan persahabatan, mendorong kerjasama pragmatik, merealisasikan kedamaian, kemakmuran dan kestabilan.

Dalam tempoh dialog kali ini, kami juga akan mempelawa pakar, sarjana dan usahawan China dan Asia Tenggara mengadakan temu bual bagi membincangkan kerjasama yang melibatkan kepentingan awam. Kami juga akan menyelenggarakan atur cara tinjauan dan lawatan supaya para peserta dapat mengetahui kerjasama ekonomi dan perdagangan transnasional serta syarikat-syarikat yang terbabit. Kami berharap acara-acara ini dapat membantu menggalakkan persahabatan rakyat, menggembleng tenaga rakyat untuk mendorong dan mempergiat kerjasama dan persahabatan China-Asia Tenggara. Untuk itu, saya ingin mewakili Persatuan Kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan China mengemukakan tiga cadangan.

Pertama, membangunkan mekanisme Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara menjadi saluran baharu demi meneruskan dan mengembangkan lagi persahabatan rakyat China-Asia Tenggara generasi demi generasi. Hubungan persahabatan antara rakyat China dengan negara-negara Asia Tenggara mempunyai sejarah yang lama dan asas yang kukuh. Kerajaan kedua-dua pihak pula mementingkan pertukaran dan kerjasama berkenaan dan telah mencapai beberapa banyak persepakatan. Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan interaksi kerajaan, interaksi dalam kalangan rakyat masih kurang banyak. Kita perlu memperhebat interaksi khalayak ramai dalam pelbagai bentuk, meningkatkan persefahaman dan kepercayaan. Dialog ini diharap berperanan sebagai jambatan dan utusan dalam usaha tersebut.

Kedua, menjayakan Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara sebagai wahana baharu untuk mengadakan kerjasama pragmatik dengan lebih meluas. Persahabatan rakyat berkait rapat dengan kerjasama pragmatik. Kita seharusnya menggunakan kelebihan dialog yang mengumpulkan pendapat umum dan memberi pengaruh yang meluas ini untuk menarik lebih banyak persatuan masyarakat dan perusahaan melibatkan diri dalam dialog ini, bagi mengemukakan cadangan, meningkatkan kerjasama dan memperluas saluran sosiobudaya, supaya kerjasama rakyat menjadi tambahan kepada kerjasama kerajaan.

Dan ketiga, membangunkan Dialog Tokoh Politik dan Rakyat China-Asia Tenggara sebagai mekanisme baharu dalam mempergiat pertukaran NGO antara China dengan negara-negara Asia Tenggara. Setelah dialog kali ini berakhir, kita patut bersama-sama memperluas skala penglibatan dan pengaruh dialog ini bagi menjadikannya mekanisme dialog rakyat. Kita dapat menetapkan topik dan mencari fikiran dan kaedah baharu penyelesaian masalah dan cabaran baharu berdasarkan situasi antarabangsa dan serantau serta keadaan masing-masing. Di samping itu, kita perlu membaharui konsep pembangunan dan model kerjasama, menggerakkan kedinamikan pertubukan rakyat dan menjayakan dialog ini sebagai enjin untuk mendorong interaksi NGO antara satu sama lain.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Rakyat China dan Asia Tenggara telah mencipta tamadun yang paling bersejarah di dunia. Pada abad ke-21 ini, peradaban itu sedang menuju ke arah kebangkitan semula. Dalam proses merealisasikan kemakmuran ekonomi, kemajuan sosial dan peningkatan kekuatan negara, China berhasrat mempertingkat persahabatan dan kerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara, bahkan seluruh dunia. Saya percaya, pertukaran dan kerjasama China-Asia Tenggara nescaya akan merangsang inspirasi rakyat agar memperoleh manfaat daripada kerjasama itu. Marilah kita berganding bahu demi mewujudkan kedamaian, pembangunan, kerjasama dan situasi menang-menang antara Asia Tenggara dengan China pada masa depan!

Akhirnya,semoga dialog kali ini diadakan dengan penuh kejayaan!

Terima kasih.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China