(Aktiviti "Xinjiang dalam Lensaku")
Kesedihan semalam akibat kehilangan Jaket tahan sejuk terubat apabila saya mula bertemu rakan-rakan dari negara lain. Ketika kami berkumpul di hadapan hotel mercure, Wanshang, Beijing, saya dapat melihat pelbagai bangsa bersama-sama menaiki bas yang disediakan oleh Radio Antarabangsa China (CRI) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.
Kami tiba di Lapangan terbang pukul 11.00 pagi. Selesai urusan di imegresen, kami berkumpul di pintu masuk C34. Di sini saya berkenalan dengan peserta dari Turki, Mesir, Indonesia, Amerika Syarikat. Chintia, peserta dari Amerika Syarikat sangat teruja mengenali saya kerana peserta wanita hanya 3 orang termasuk peserta dari Britain. Kami sempat menikmati makan tenga hari di Le cafe yang terdapat di lapangan terbang ini.
(kesesakan di bandar Urumqi)
Penerbangan ke Urumqi berlepas pada pukul 1.30 petang. Kami tiba di Urumqi pada pukul 4.30 petang. Kami bergambar kenangan sebelum bertolak ke hotel Hoi Tak tempat kami menginap. Perjalanan sedikit terganggu apabila bas kami rosak. Jalan di Urumqi juga sedikit sesak pada waktu petang. Tiba di Hotel jam sudah menginjak pukul 8.00 petang.
Namun demikian, saya sangat teruja apabila tiba di Xinjiang. Kawasan bandar dipenuhi pokok yang menghijau. Taman yang cantik dengan bunga yang berwarna-warni. Penduduk Xinjiang sedikit berbeza dari segi rupa parasnya namun masih menggunakan bahasa yang sama. Bandar Xinjiang sangat istimewa dengan bangunan sejarah.
Pada sebelah malam pula, majlis menyambut kedatangan peserta "Xinjiang Dalam Lensaku" diadakan di Hotel Hoi Tak, di tempat kami menginap. Pegawai Penerangan Xinjiang mengatakan bahawa program ini sangat berjaya kerana ini adalah kali ketiga diadakan. Program ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan.
Ketua rombongan pula mengucapkan selamat datang dan semoga dapat membawa pulang pengalaman yang berharga ketika berada di Xinjiang.
Majlis berakhir jam 11 malam. Namun begitu hari ini begitu istimewa. Peserta Xinjiang Dalam Lensaku yang beragama Islam berbuka puasa pada pukul 9.30 malam. Hal ini dikatakan demikian kerana matahari di Xinjiang teebenam pada pukul 9.30 malam. Hari ini kami berpuasa selama hampir 18 jam kerana hari siangnya terlalu lama. Jika di Malaysia, pukul 8.00 sudah waktu malam tetapi di Xinjiang, kanak-kanak masih bermain bola sepak di padang. Sesuatu yang berbeza dan sangat istimewa.