Menikmati buah pic segar di ladang yang sejauh mata memandang bukan lagi mimpi tetapi realiti. Jika berada di Malaysia, pic hanya dinikmati dalam tin tetapi di Xinjiang, pic segar berada di hadapan mata. Hari kedua berada di Xinjiang, peserta Xinjiang Dalam Lensaku berpeluang menikmati pic segar di daerah Shihezhi. Kami di bawa ke kawasan penanaman pic yang sangat luas dan menghasilkan pengeluaran pic yang banyak.
Pic yang banyak di tanam di Shihezhi berbentuk leper. Buahnya sedikit unik dan seakan-akan buah pisang kaki. Buahnya berwarna kuning kemerah-merahan pada bahagian bawahnya. Rasanya sangat manis dan segar. Ketika tiba di ladang pic, cuaca sangat panas dan apabila menggigit buah pic segar, ternyata sangat enak dan mengujakan. Setelah merasai kemanisan buah pic Shihezhi, pastinya sukar untuk berhenti memakannya. Semua peserta makan sepuas-puasnya buah pic yang dihidangkan oleh pemilik ladang.
Menurut pegawai Radio Antarabangsa China (CRI), dikatakan bahawa dalam sebuah cerita dongeng, buah pic ini dapat menghidupkan seseorang sepanjang zaman. Pada masa dahulu, menurut kepercayaan masyarakat China, terdapat seorang maharaja di kayangan. Permaisuri sangat suka makan buah pic lalu menanam banyak pokok pic di kayangan. Yang ajaibnya, sesiapa yang memakan buah pic tersebut akan dapat hidup sepanjang zaman. Hal ini dikatakan demikian kerana buah pic permaisuri hanya dapat dipetik 100 tahun sekali. Sesiapa yang memakan buah pic tersebut, akan dapat hidup selama-lamanya. Terdapat satu kisah seekor monyet yang dapat makan buah pic yang sangat banyak dan dipercayai monyet itu hidup selama-lamanya. Jika mahu hidup sepanjang zaman, makanlah buah pic di Shihezhi, pasti akan dapat hidup selama-lamanya.