Cari:
Keindahan Seni Bina Islam yang Mempesonakan di Ningxia
2014-06-11 12:57:27 CRI Cetak

Islam tersebar luas di Negara China melalui pedagang-pedagang dari Negara-negara Arab Asia Tengah yang datang menerusi `laluan Sutera Darat' dan `laluan Sutera Laut'. Pedagang-pedagang ini berkahwin dengan wanita atau rakyat tempatan dan menetap di China. Keturunan mereka inilah yang dikenali sebagai `Etnik Hui' yang beragama Islam. Nenek moyang penduduk etnik Hui yang berasal dari Negara-negara Arab Asia Tengah ini membina petempatan dan pusat perniagaan di pelbagai tempat. Mereka juga membina masjid untuk beribadah dan melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan yang lain. Reka bentuk bangunan masjid yang dibina mereka beraneka ragam disebabkan oleh perbezaan ekologi alam sekitar dan bahan-bahan binaan serta budaya negara-negara Arab Asia Tengah. Masjid tersebut dibahagikan kepada tiga jenis reka bentuk, iaitu: pertama, bangunan masjid dengan seni bina Arab; kedua, bangunan masjid dengan senibina China; dan ketiga, masjid yang dibina hasil gabungan seni bina klasik tradisional China dan seni bina Arab. Reka bentuk yang ketiga merupakan seni bina masjid yang berkait rapat dengan seni bina bangunan bagi kaum etnik Hui. Ini memperlihatkan bahawa kepandaian penduduk etnik Hui juga mempunyai kepandaian dalam reka bentuk dan seni bina yang sungguh menawan hati.

Terdapat kira-kira 30 ribu buah masjid telah dibina di seluruh tanah besar China. Masjid di pelbagai tempat di China ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Banyak catatan sejarah di zaman Dinasti Tang dan Song (tahun 600-700) hingga awal Dinasti Yuan, menyatakan bahawa masjid-masjid di China pada masa itu dibina mengikut reka bentuk struktur masjid di Arab yang berbeza dengan struktur reka bentuk tradisional China yang mengutamakan struktur kayu. Namun, masjid terawal yang didirikan di China, iaitu Masjid Raya Xi'an pada abad ke 8 Masihi, dan kali terakhir dibaik pulih pada abad ke 18 Masihi adalah mengikuti seni bina Cina. Manakala masjid di bahagian barat China seperti di daerah Xinjiang, mengikuti seni bina Arab, di mana pada masjid berkenaan terdapatnya kubah dan menara. Sedangkan, di timur China, seperti di daerah Beijing, mengandungi seni bina Cina.

(Masjid Raya Xi'an)

Bagi melihat secara lebih dekat keindahan seni bina Islam di kalangan Etnik Hui, penulis telah melawat Wilayah Autonomi Hui Ningxia yang merupakan salah satu daripada lima wilayah autonomi China yang didiami oleh kumpulan minoriti Hui. Wilayah ini mempunyai keluasan 66,000 km persegi terletak di kawasan hulu Sungai Yangtze di barat laut China, bersempadan dengan Provinsi Shaanxi di timur, Wilayah Autonomi Mongoliavdi utara, dan Wilayah Gansudi selatan. Ibu kota wilayah ini ialah Bandar Yinchuan.Wilayah Autonomi Hui Ningxia ini adalah wilayah autonomi yang unik di China dan ia mempunyai penduduk seramai 6.39 juta (2011: Biro Perangkaan Negara China), antaranya adalah kumpulan etnik Hui yang beragama Islam, yang meliputi 30% daripada seluruh penduduk Wilayah Ningxia. Justeru, Wilayah Autonomi Hui Ningxia ini juga dipanggil sebagai "Wilayah Islam" atau "Wilayah Muslim" di China. Wilayah ini mula diletakkan di bawah negara China sejak empayer Dinasti Qin abad ke-3 (221-207 SM). Pada zaman ini banyak dibina tali air untuk tujuan pengairan ke kawasan pertanian. Kawasan ini subur untuk pertanian kerana ianya berada di Hulu Sungai Yangtze (Sungai Kuning). Ini menunjukkan bahawa kawasan ini telah didiami penduduk sejak sekian lama. Wilayah ini terus diduduki oleh pemerintah dinasti-dinasti yang lain, iaitu Dinasti Han (206 SM-220M), dan Dinasti Tang (618-907 M). Dalam abad ke-11, wilayah ini dikuasai oleh puak Tangut yang membentuk Kerajaan Xi Xia, dan kemudian pada abad ke-13 ditawan pula oleh Gengzhis Khan dan diletakkan di bawah pentadbiran Dinasti Yuan. Jadi, meskipun wilayah ini mengalami berbagai konflik dan penentangan dari puak pembebasan kaum Hui untuk memerintah sendiri, namun masih terus kekal di bawah China hingga ke hari ini.

Disebabkan wilayah ini mempunyai sejarah panjang pemerintahan dan perjuangan kaum Hui yang beragama Islam dan berasal dari Turki, maka tidak hairanlah pada hari ini masih kedapatan bangunan-bangunan lama dan baru yang bercirikan Islam terutama dari segi rekabentuk dan konsep binaannya. Pengaruh rekabentuk Turki dan konsep Islam zaman Uthmaniah masih ada peninggalannya ke atas bentuk gerbang dan masjid-masjid di Ningxia. Justeru, sebaik sahaja memasuki bandar Yinchuan (Ibu Kota Wilayah Ningxia), saya tidak merasakan berada di negara China. Sebaliknya merasakan seperti berada di negara Turki atau negara-negara di Asia Tengah. Ciri-ciri seni bina China pada bangunan-bangunan lama amat berkurangan sekali. Sebaliknya, kedapatan ciri-ciri seni bina Islam di beberapa bangunan lama di bandar ini termasuklah tulisan Arab dan ukiran khat pada dinding dan bumbung bangunan-bangunan tersebut.

Kami dibawa untuk melawat sebuah kompleks yang besar dengan datarannya yang luas dan menarik. Kompleks ini mengandungi bangunan Pusat Kebudayaan Etnik Hui, Muzeum kaum Hui dan juga Masjid Jamek Ningxia. Dari kejauhan kelihatan pintu gerbang bagi memasuki kompleks ini yang begitu indah ukiran dan seni bina yang berwarna putih bersinar-sinar. Pintu gerbangnya tersergam anggun bagai sebuah menara gerbang yang begitu indah dan menarik. Corak binaannya dan warna keputihan pada pintu gerbang tersebut menyerupai bangunan Taj Mahal di India yang dibina oleh Maharaja Shah Jehan (Dinasti Islam Moghul) bagi memperingati isteri tercintanya Mumtaz. Saya tertanya-tanya, apakah konsep binaan dan warna pada pintu gerbang ini mempunyai persamaan dengan bangunan Taj Mahal di India. Saya mengkagumi keindahan senibina, rekaan dan warnanya yang amat menakjubkan serta begitu unik sekali. Menara gerbang ini saya namakan Menara Gerbang Putih bersempena warnanya yang keputihan dan terang menyerlah.

(Menara Gerbang Putih sebagai pintu masuk utama ke bangunan Pusat Kebudayaan Etnik Hui, Muzeum kaum Hui dan juga Masjid Jamek Ningxia)

(Penulis di depan Menara Gerbang Putih Pusat Kebudayaan Etnik Hui, Muzeum kaum Hui dan juga Masjid Jamek Ningxia)

1 2 3
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China