Cari:
Keindahan Seni Bina Islam yang Mempesonakan di Ningxia
2014-06-11 12:57:27 CRI Cetak

Selepas melawat Pusat Kebudayaan dan Muzeum Etnik Hui, bangunan di belakangnya adalah sebuah masjid, iaitu Masjid Jamek Ningxia. Masjid ini tidak lagi digunakan untuk bersolat jumaat atau aktiviti solat hari raya aidilfitri atau aidil adha. Hanya digunakan untuk solat waktu secara terbatas dan juga mengadakan kelas atau ceramah keagamaan secara kecil-kecilan sahaja. Satu ketika dulu, ia merupakan masjid terbesar yang digunakan oleh Hui untuk solat Jumaat dan solat sunat hari perayaan Islam. Bentuk masjidnya juga berbeza dengan reka bentuk masjid-masjid yang terdapat di tempat-tempat lain di China. Kubahnya dibuat keemasan yang sungguh cantik berkilauan. Warna keemasan tersebut tidak hanya mendominasi bahagian luar, malahan bahagian dalamannya juga amat menarik dengan ukiran dan hiasan yang begitu mempesonakan. Di dalam ruang masjid, terdapat ukiran yang menarik dengan susunan ayat-ayat Quran pada bahagian dalaman kubah, di dinding masjid, tiang dan juga mimbar. Kubahnya yang besar berwarna keemasan itu menjadi satu simbol keagungan Islam manakala dalamannya pula diukir mengikut ukiran Turki dan Farsi yang menarik serta kreatif.

Di dalam ruang solatnya yang luas dihiasi pada dindingnya terutama di bahagian depan berhampiran mimbar dengan corak-corak bunga yang kecil berwarna keemasan dan kebiruan. Corak dan warna yang ditonjolkan adalah bermotifkan rekabentuk Parsi yang membuktikan terdapatnya pengaruh Parsi atau Arab secara jelas dalam reka bentuk dalaman masjid. Ini amat jarang kedapatan di masjid-masjid di bahagian lain negara China. Sulaman keemasan dan kebiruan di bahagian dalaman masjid menonjolkan watak senibina Arab yang terkenal dengan keindahannya. Corak sebegini juga kedapatan pada karpet dan barang-barang hiasan dalam rumah yang biasa terdapat dalam masyarakat Turki dan Arab.

(Masjid Jamek, Ningxia)

(Ruang Solat Masjid Besar Najia yang sungguh cantik dengan ukiran dan hiasan indah)

(Penulis dan isteri di dalam ruang solat Masjid Jamek Ningxia)

Walaupun masjid-masjid di Ningxia tidak banyak dipengaruhi oleh seni bina Cina, namun kedapatan juga masjid lama yang merupakan antara yang terawal dibina yang mempamerkan senibina Cina dan Arab. Misalnya Masjid Najiahu, merupakan masjid terawal dibina di Ningxia. Ia menggabungkan senibina Turki dan Arab yang begitu unik dan cantik. Ciri seni bina masjid Cina yang berbentuk pagoda digabungkan dengan senibina Turki yang menjadikan seni bina masjid lama Ningxia begitu cantik dan unggul.

(Pemandangan dari luar gerbang utama Masjid Najiahu, Ningxia)

(Bangunan Masjid (Lama) Najiahu menggabungkan seni bina tradisional China dan Arab (Turki).)

Demikianlah kehebatan dan keindahan senibina Islam yang terdapat di Wilayah Autonomi Islam Hui ini. Ianya diwarisi sejak nenek moyang mereka yang telah mendiami kawasan ini sekian lama dengan membawa warisan kebudayaan Islam dari Negara-negara Arab Asia Tengah yang kemudiannya digabungkan dengan konsep senibina tradisional Cina. Senibina ini masih dapat dilihat dengan jelas pada bangunan lama dan masjid-masjid yang terdapat di wilayah ini. Inilah warisan budaya Islam yang menjadi kebanggaan dan sewajarnya dipertahankan untuk diteliti serta dihayati oleh generasi hari ini dan generasi akan datang.


1 2 3
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China