Cari:
Membelah Bumi China dengan Kerata Api Laju
2015-06-12 09:18:57 CRI Cetak

Oleh Azman Anuar, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia


Penulis (pertama dari kanan) di Stesen Kereta Api Barat Beijing

Kunjungan saya yang pertama ke Beijing bersama keluarga adalah pada musim sejuk tahun 2008. Kemudian sekali lagi pada tahun 2013. Kami ke Disney Land Hong Kong dan Shenzen, China.

Dalam fikiran saya itulah rasanya kunjungan terakhir di China. Namun tidak sangka, jodoh dengan China kuat. Saya menerima jemputan dari Radio Antarabangsa China (CRI) untuk mengikuti misi Kembara Laluan Sutera 2015 dari 10 hingga 21 Jun bersama rakan media dari Malaysia.

Dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur, berdebar-debar hati bila menaiki pesawat MAS MH360. Dari KLIA pesawat terbang tepat 6.00 petang dan tiba di Beijing 6 jam 30 minit kemudian.

Kelajuan pesawat udara dengan purata 800 kilometer per jam (kmj) dibandingkan dengan kelajuan kereta api yang saya naiki dari Beijing ke Xi'an purata 300 kmj - jauh berbeza.

Membelah awan dari KLIA ke Beijing cuma nampak kepulan-kepulan awan gelap. Tetapi perjalanan dengan kereta api laju dari Beijing ke Xi'an selesa tanpa rasa debaran dalam jantung.

Sepanjang perjalanan, tidak putus-putus saya melihat pembangunan kawasan yang dilalui. Selepas satu bandar dipintas, satu lagi bandar lain muncul. Hebat negara besar China ini.

Kalau di sebelah kanan cermin tingkap kereta api saya dapat melihat kawasan pertanian menghijau dan menguning, di sebelah kiri pula bandar yang dipenuhi bangunan pencakar langit lama dan baharu.

Terbayang-bayang bagaimana susah dan masalah yang diharungi kerajaan China untuk membina landasan kereta api laju ini. Bayangkan saya berjaya membelah bumi negara China dari timur ke barat.

Perjalanan kereta api laju bermula 2.00 petang dan dijangka mengambil masa lima jam.

Kalau dahulu perjalanan mungkin mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan lamanya dari Beijing ke Xi'an, kini tak perlu lagi. Menaiki pesawat udara atau kereta api laju lebih kurang sama tempoh perjalanannya. Maknanya masa perjalanan saya untuk ke Xian telah banyak dijimatkan.

Oleh sebab itu saya ada banyak masa untuk membuat liputan tiga hari dua malam di Kota Xi'an.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China