Cari:
Hati Tertawan akan Masjid Besar Xi'an
2015-06-13 18:11:52 CRI Cetak

Oleh Razali Che Mat, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Sejurus tiba di gerbang pintu Masjid Besar Xi'an, perasaan dan emosi saya mula tertawan akan keindahan seni reka bentuk klasik China dan Arab. Ditambah pula keindahannya diserikan dengan hiasan taman-taman bunga menghijau malar segar.

Masjid Besar Xi'an merupakan masjid yang tertua dan salah satu masjid yang paling terkenal di China. Menurut catatan sejarah, masjid ini dibina pada Zaman Dinasti Tang (742 M). Keagungan masjid ini diteruskan pada zaman Dinasti Song, Yuan, Ming dan Qing. Kini, masjid Besar Xi'an terus dipelihara dan menjadi salah satu tempat pilihan pelancong apabila melancong ke Xi'an.

Saya terus melangkah ke Dewan Besar Masjid untuk mengerjakan solat Jumaat. Setiap kali saya bertemu masyarakat Muslim China, mereka akan menyapa saya. Yang manisnya, mereka mengetahui saya berasal daripada Malaysia. Sesungguhnya, saya amat kagum akan budi bahasa dan layanan mereka biarpun ada kalangan mereka tidak boleh berkomunikasi dengan saya kerana masalah berbahasa. Saya bertuah, kerana dapat bertemu dengan Imam Masjid ini dan bersalaman dengannya. Cukup tenang wajahnya, walaupun sudah berusia.

Selepas solat berjemaah, saya mengambil peluang merakam persekitaran bangunan masjid ini. Saya cukup tertarik dengan beberapa arca batu yang diletakkan di sekeliling masjid ini. Ada antara arca batu ini terpahat dengan tulisan China dan Arab. Kalau di Malaysia, batu yang terpahat dengan tulisan Jawi dikenali sebagai Batu Bersurat. Ada arca batu yang dikekalkan reka bentuk asli dan pelbagai corak rupa dan warna. Di sini, saya begitu asyik dengan seni rupa arca batu ini, seolah-olah saya berada di muzium seni arca batu. Namun begitu, maklumat tentang sumber arca batu ini tidak dipaparkan untuk mengetahui asal usul batu ini.

Sebelum saya beredar, saya merakam beberapa keindahan reka bentuk bumbung, tiang-tiang kayu besar yang bertulisan bahasa Mandarin dan Arab, siling yang berukiran klasik China, dan dinding masjid yang diperbuat daripada kayu dengan pelbagai bentuk ukiran yang sangat tinggi nilai seninya yang mungkin diperbuat semasa zaman Dinasti Ming.

Semasa saya beredar ke pintu gerbang masjid ini, hati saya cukup terharu meninggalkan masjid ini kerana saya diberitahu bahawa pembinaan masjid ini direstu dan diperkenankan oleh Maharaja Dinasti Ming. Masjid ini dibina bukan sahaja menjadi tempat masyarakat Islam China beribadah tetapi juga menjadi tempat perpaduan antara masyarakat bukan Islam dengan masyarakat Islam. Inilah yang mengekalkan keamanan kehidupan di negara China dengan memahami kepercayaan agama dan kesamaan budaya yang menjadi warisan mereka.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China