Cari:
Pahlawan Terra-Cotta Maharaja Qin Shihuang: Pengajaran Sejarah Manusia
2015-06-14 11:26:10 CRI Cetak

(Oleh Razali Che Mat, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP)

Sejarah merupakan masa lalu manusia. Sejarah juga mencatatkan kesan kebaikan dan keburukan segala tindak tanduk manusia. Jadi, hubungan sejarah dengan manusia dan negara tidak dapat dipisahkan. Amatlah rugi seandainya sejarah sesuatu bangsa dan negara diremehkan tanpa melihat bahawa sejarah sesuatu bangsa dan negara dapat dijadikan petunjuk dalam mendepani dan mencorak masa depan peradaban manusia bernegara.

Pada kali ini, kami berpeluang melihat sejarah pahlawan Maharaja Qin Shihuang di Muzium Terra-Cotta di daerah Lintong. Menurut pemandu pelancong, sekumpulan petani dari Lintong telah menemui aritifak tanah liat yang berwarna kemerahandi tapak tanah kawasan ini. Kemudian, pada tahun 1974, kerja-kerja pengalian dan penerokaan arkeologi dilaksanakan bagi melihat artifak yang dipercayai mempunyai nilai sejarah yang berkurun lamanya. Ringkasnya, mereka menemui kira-kira sebanyak 7,000 replika tentera dan kuda di yang lengkap berpakaian ketenteraan yang dipercayai dari Dinasti Qin.

Kini, kerajaan China telah menjadikan kawasan yang dipercayai tapak istana Maharaja Qin sebagai Muzium Qin yang cantik dengan bangunan yang moden. Dengan adanya muzium ini, seluruh penduduk dunia sentiasa mengunjungi muzium ini dan menjadi salah satu pusat pelancongan yang popular di daerah Xi'an.

Kebetulan lawatan kami pada hari Sabtu, seperti yang telah dijangka, Muzium ini begitu ramai pengunjung yang datang ke sini, sama ada penduduk tempatan atau pelancong. Kesesakan pengunjung di muzium ini, menyebabkan kesesakan dan keterbatasan pergerakan serta kekangan untuk kami mengambil dan merakam foto replica terra-cotta ini. Namun begitu, atas semangat ingin tahu dan melihat secara dekat replika ini, kami berupaya juga merakam foto replika walaupun berasak-asak dengan pengunjung yang lain.

Apabila saya melihat secara dekat patung pahlawan Maharaja Qin di Muzium Qin ini, saya menilai tentang pengajaran sejarah di sebalik kewujudan pahlawan yang dikenali Terra-Cotta ini. Pertama, menunjukkan sifat kesetiaan pahlawan Maharaja Qin dalam menjaga kedaulatan kerajaan Maharaja Qin. Kedua, kewujudan patung pahlawan Terra-Cotta ini juga menggambarkan strategi-strategi ketenteraan bagi sebuah kerajaan dalam menghadapi peperangan. Ketiga, kewujudannya juga melambangkan sifat kepimpinan hebat dan agung yang ditunjukkan oleh Maharaja Qin dalam zaman pemerintahannya. Keempat, kewujudannya bukan sahaja menjadi pusat pelancongan yang tersohor di dunia, akan tetapi menjadi pengajaran masa depan untuk generasi muda pemimpin dan rakyat China.

Dalam sanubari saya, sebelum saya beredar dari muzium ini, saya percaya bahawa selagi kita menghargai dan menilai kepentingan sejarah sesebuah bangsa dan negara, seperti kewujudan Pahlawan Terra-Cotta ini, selagi itu Pahlawan Terra-Cotta ini akan kekal dan dipelihara, malah sentiasa dikunjungi oleh seluruh penduduk dunia bagi melihat kesan sejarah peradaban bangsa yang menjadi kemegahan bangsa China.

Kota Xi'an akan menitir bibir pada setiap manusia yang mengunjunginya kerana kehebatan sejarah pahlawan Terra-Cotta yang diilhamkan oleh Maharaja Qin yang bijaksana mendahului sejarah masa depan negara China.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China