(Oleh Nurazidah, TV Al-hijrah)
Kunjungan ke negara China tidak lengkap jika tidak berkunjung ke Tembok Besar China. Di sinilah terletaknya pelbagai kesan sejarah yang tidak mungkin dilupakan.
Pembinaan yang cukup gah ini berukuran panjang 6000 km dan memperlihatkan kreativiti dan kebijaksanaan rakyat China dalam menyiapkan tembok pertahanan ini.
Ianya dibina menggunakan batu-batu besar, tanah dan pecahan batu di mana jika dilihat dari jarak dekat, batu ini mempunyai hasil seni yang unik.
Di sini juga terletak satu bahagian yang dinamakan menara api yang menyimpan bahan senjata para tentera sekaligus menjadi kubu pertahanan mereka. Ini kerana mereka dapat melihat kedatangan musuh dari menara api ini. Caranya ialah mereka menyalakan api di menara api apabila melihat sebarang ancaman musuh sebagai tanda amaran.
Semoga kunjungan kita di tembok besar ini memberikan kesan terutamanya kepada generasi akan datang tentang pentingya mempunyai kekuatan dalaman dalam menghadapi segala bentuk ancaman. Dalam masa yang sama harus bijak dalam tindak tanduk kehidupan.