(Oleh Nazmi Yaakub, Pengarang Sastera dan Budaya Berita Harian )
Groto Mogao Dunhuang
Ada persamaan dalam pengalaman dengan orientalis yang dikongsi oleh China dan Malaysia seperti yang berlaku pada Gua 17 di Mogao Grottoes atau lebih dikenali sebagai Gua Perpustakaan.
Gua Perpustakaan yang asalnya didiami oleh sami Buddha, Hong Bian, dianggarkan menyimpan kira-kira 40,000 manuskrip, skrol, buku kecil dan lukisan di atas sutera.
Bagaimanapun, koleksi berharga yang merentangi era Dinasti Jin dan Song itu 'dipunggah' oleh orientalis Barat sehingga kini berada di pelbagai lokasi di Eropah serta Amerika Syarikat (AS).
Peristiwa ini bagaikan 'sumpahan' yang berlaku pada dunia timur termasuk China dan Malaysia apabila ratusan ribu, bahkan jutaan manuskrip kini di perpustakaan dan arkib di Barat.
Persamaan inilah yang menjentik saya apabila berkunjung ke Mogao Grottoes, iaitu kompleks kuil sami Budhha, selain mendapat pengetahuan mengenai falsafah dan simbol agama itu.