Cari:
Tinggal Tamadun Lama, Kembali Peradaban Baru
2015-06-23 11:14:16 CRI Cetak
(Oleh Azman Anuar, Mingguan Malaysia )

Pengembaraan enam wartawan Malaysia dan lima wartawan Radio Anatabangsa China (CRI) dianggap berakhir apabila kami meninggalkan Dunhuang dan pulang ke Beijing pada pagi Jumaat.

Di dalam pesawat Airline China, kami dapat melihat kawasan gurun yang luas. Tiada banyak penempatan. Keadaan berbeza bila mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.

Daripada menyusuri tapak sejarah tamadun lama, kami kembali ke kawasan peradban baharu.

Lalu-lintas bandar raya ini sibuk dan sesak. Buat pertama kali saya melihat hujan ais menerjah tingkap bas khas yang kami naiki.

Untuk pelawat beragama Islam, tempat yang paling sesuai dilawati ialah masjid tertua di Beijing, Masjid Niujie. Terletak No. 88, Niujie Street, Xicheng District, iaitu kawasan selatan Beijing. Masjid ini dibina pada tahun 996 Masehi.


Imam Masjid Niujie, Ma Shu Xing mengetuai bacaan berbuka puasa Ramadan bersama masyarakat Islam

Keluasan masjid ini kira-kira 6,000 meter persegi, dan ruang solatnya juga luas dengan hamparan permaidani tebal. Corak seni bina dan reka bentuknya banyak bercirikan seni bina istana China lama.

Kami berkesempatan bertemu ahli jawatankuasa masjid ini, Wi Ze yang juga bekas jurukamera sebuah stesen TV di China. Gembira sungguh beliau menerima kunjungan wartawan Malaysia.

Majlis berbuka puasa di Masjid niujie hampir sama dengan di Malaysia. Tetapi menu juadah berbuka puasa di sini ringkas, buah tembikai merah, buah kurma dan pulut kacang.


Masyarakat Islam berbuka puasa Ramadan di Masjid Niujie, Beijing

Selepas solat Maghrib, kami dijamu makanan bersama kira-kira100 masyarakat Islam di kawasan Niujie.

Pengalaman menyertai rombongan Kembara Laluan Sutera 2015 tidak mudah kami lupakan. Walaupun kami banyak berjalan untuk menuju ke tapak warisan sejarah China kuno, tetapi amat berbaloi.

Terima kasih saya ucapkan kepada sahabat wartawan CRI, Zhang Hong (Satria), Zhang Xian (Melur), Sun (Rahman), Farah, dan Zaidah Ahmad Rosly. Tidak ketinggalan juga sokongan daripada Kedutaan China di Malaysia, Jabatan Pentadbiran Pelancongan Negara China dan CRI yang menaja pengembaraan dan lawatan kami dari 11 hingga 21 jun 2015.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China