Cari:
Ucapan Presiden China, Xi Jinping pada Mesyuarat Pemimpin Global mengenai Kesamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita: Galakkan Pembangunan Wanita untuk Membina Dunia Yang Lebih Baik
2015-11-19 16:02:14 CRI Cetak

New York, AS
27 September 2015

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon,

Pengarah Eksekutif UN Women, Phumzile Mlambo-Ngcuka,

Rakan-rakan sejawat yang dihormati,

Tuan-tuan dan puan-puan,

Hadirin sekalian,

Sempena ulang tahun ke-70 penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ulang tahun ke-20 Persidangan Dunia mengenai Wanita kali ke-4 yang diadakan di Beijing, penganjuran Mesyuarat Pemimpin Global di New York amat signifikan bagi menegaskan lagi komitmen kita terhadap kesamaan gender dan pembangunan wanita demi masa depan yang lebih baik.

Wanita bukan sahaja merupakan pencipta tamadun material serta kekayaan spiritual dan material, malah kuasa utama bagi menggalakkan pembangunan dan kemajuan masyarakat. Tanpa wanita, kesinambungan umat manusia tidak dapat diteruskan.

Usaha untuk memperjuangkan kesamaan gender adalah amat penting. Sejarah telah membuktikan bahawa jika tiada emansipasi wanita dan kemajuan, kebebasan dan kemajuan umat manusia tidak dapat dicapai.

Untuk mewujudkan matlamat kesamaan gender, manusia telah mengalami perjalanan yang berliku dan luar biasa. Sejak Deklarasi Hak Wanita yang pertama di dunia dikeluarkan kira-kira 200 tahun yang lalu, Hari Wanita Antarabangsa telah ditetapkan pada setiap 8 Mac. Bermula daripada penubuhan Suruhanjaya PBB mengenai Status Wanita kepada Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita, setiap kemajuan yang dicapai dalam proses pembangunan wanita seumpama langkah besar dalam kemajuan tamadun umat manusia.

Kira-kira 20 tahun yang lalu, Persidangan Dunia mengenai Wanita kali ke-4 yang diadakan di Beijing telah menerima Pengisytiharan Beijing dan Landasan untuk Tindakan, di samping mengemukakan matlamat strategik dan kerangka dasar demi mendorong kesamaan gender dan menjamin hak wanita.

Hari ini, semangat yang diperlihatkan daripada Persidangan Dunia mengenai Wanita kali ke-4 yang diadakan di Beijing telah menampakkan perubahan yang positif di seluruh dunia.

Konsensus dalam memperjuangkan kesamaan gender antara pelbagai negara terbabit semakin meningkat dan pelbagai tindakan telah diambil bagi menggalakkan pembangunan wanita. Konteks sosial bagi kualiti hidup dan pembangunan wanita sudah bertambah baik.

Dalam pada itu, UN Women patut diberi pengiktirafan atas usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh pertubuhan tersebut.

Melalui keazaman yang telah ditanam sejak beberapa tahun yang lalu, banyak impian yang mustahil untuk dicapai telah menjadi realiti. Sebanyak 143 buah negara di seluruh dunia telah menetapkan kesamaan gender melalui perundangan, maka halangan penglibatan wanita dalam kegiatan politik dan aktiviti ekonomi telah berjaya dihapuskan. Kini, konsensus masyarakat di seluruh dunia ialah wanita patut dibenarkan ke sekolah dan bekerja serta dapat menikmati kebebasan perkahwinan.

Namun, ketidaksamaan dari segi hak dan peluang serta pengagihan sumber antara lelaki dengan wanita masih wujud.

Masyarakat masih tidak memahami dengan sepenuhnya akan potensi, kecekapan dan sumbangan yang boleh diberikan oleh kaum wanita pada ketika ini.

Kini, lebih separuh daripada 800 juta penduduk miskin di dunia terdiri daripada kaum wanita. Kaum wanita sentiasa menghadapi impak yang disebabkan oleh peperangan dan epidemik. Mereka juga sering mengalami kesengsaraan akibat keganasan dan kekerasan. Setakat hari ini, pelbagai bentuk diskriminasi gender masih wujud. Penderaan dan perlakuan yang tidak berperikemanusiaan terhadap kaum wanita masih berterusan.

Semua ini menunjukkan bahawa kita masih perlu berusaha dengan lebih gigih dan membuat sumbangan yang lebih besar bagi mencapai kesamaan gender dan memperluas prospek pembangunan kaum wanita.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Hadirin sekalian,

Perspektif gender telah dimasukkan dalam Agenda Pembangunan Pasca 2015 yang baru diluluskan. Dalam pada itu, kita harus menyemarakkan semangat Persidangan Dunia mengenai Wanita kali ke-4 yang diadakan di Beijing, menegaskan lagi komitmen demi mencapai kesamaan gender dan mempercepat pembangunan kaum wanita secara menyeluruh.

Pertama, berjuang demi pembangunan wanita seiring dengan kemajuan sosial dan ekonomi. Pembangunan tidak dapat dicapai tanpa kaum wanita. Oleh itu, hasil pembangunan yang diperoleh harus dinikmati oleh semua rakyat jelata, termasuk kaum wanita.

Kita perlu menggubal strategik pembangunan yang lebih saintifik dan rasional dengan mengambil kira keadaan negara, perbezaan gender dan keperluan kaum wanita yang istimewa bagi memastikan kaum wanita menikmati hasil pembangunan secara saksama.

Pelaksanaan dasar-dasar berkenaan perlu dikemaskinikan bagi merangsang potensi kaum wanita dan menggalakkan penyertaan mereka dalam pembangunan sosioekonomi.

Pengalaman China dalam bidang tersebut membuktikan bahawa penglibatan wanita dalam sosial dan ekonomi pada peringkat tinggi dapat membantu meningkatkan status mereka, serta menggalakkan produktiviti sosial dan kedinamikan ekonomi.

Kedua, menjamin hak dan kepentingan kaum wanita. Hak dan kepentingan kaum wanita merupakan hak asasi manusia. Hak dan kepentingan kaum wanita mesti dipelihara melalui undang-undang dan peraturan, di samping berintegrasi dengan situasi negara dan norma sosial.

Keupayaan kaum wanita untuk melibatkan diri dalam politik dan ekonomi, serta keupayaan untuk terlibat sebagai pembuat keputusan perlu ditingkatkan bagi membolehkan kaum wanita menjadi pemimpin dalam arena politik, perniagaan dan akademik.

Kita harus menjamin kaum wanita dapat menikmati perkhidmatan perubatan, rawatan dan kesihatan, khususnya memberikan keutamaan kepada keperluan kesihatan wanita di kawasan desa, wanita yang kurang upaya, wanita yang berhijrah, wanita pertengahan umur dan tua serta wanita daripada etnik minoriti.

Kita harus memastikan semua kanak-kanak perempuan mampu ke sekolah dan sekolah adalah tempat yang selamat bagi mereka, dan mengembangkan pendidikan vokasional dan pendidikan sepanjang hayat kepada kaum wanita bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan masyarakat dan pasaran tenaga kerja.

Ketiga, berusaha dengan gigih dalam membina budaya masyarakat yang harmoni dan bersifat inklusif. Kaum lelaki dan wanita bersama-sama memiliki satu dunia. Oleh itu, usaha membasmi diskriminasi dan prejudis terhadap kaum wanita akan menjadikan masyarakat kita lebih inklusif dan dinamik.

Kami harus menghapuskan segala bentuk keganasan yang menyasarkan kaum wanita, termasuk keganasan dalam rumah tangga. Kita perlu berfokus pada kesamaan gender dan membuang segala bentuk pemikiran lapuk dan adat resam yang menghalang pembangunan wanita. Saya amat menghargai inisiatif "lelaki untuk wanita" yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon, dan berharap agar semakin banyak kaum lelaki akan terlibat dalam inisiatif tersebut.

Keempat, mencipta suasana antarabangsa yang membantu mewujudkan pembangunan kaum wanita. Wanita dan kanak-kanak merupakan mangsa-mangsa utama dalam pergolakan politik. Kita harus berdiri teguh demi mempertahankan kedamaian dengan mengambil konsep yang mementingkan pembangunan damai dan situasi menang-menang bagi membolehkan setiap wanita dan kanak-kanak dapat hidup bahagia dan sejahtera.

Pertubuhan wanita di pelbagai negara harus memperkasakan interaksi antara satu sama lain bagi memperkukuh persahabatan untuk bersama-sama membangun dan mencapai kemajuan.

Kerjasama antarabangsa yang berkaitan dengan kaum wanita patut terus dilaksanakan. Negara-negara maju perlu menghulurkan bantuan modal dan teknologi kepada negara-negara membangun bagi merapatkan jurang perbezaan pembangunan kaum wanita di pelbagai negara di dunia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Hadirin sekalian,

Untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup, setiap wanita China berpeluang untuk berjaya dan merealisasikan impian mereka menjadi kenyataan.

China akan lebih proaktif menekankan kesamaan gender sebagai dasar asas negara bagi membolehkan kaum wanita memainkan peranan penting sebagai "half the sky" dan menyokong mereka untuk mencapai cita-cita dan merealisasikan impian dalam kerjaya dan kehidupan.

Kaum wanita China juga akan menjadi pemangkin dalam pergerakan wanita dunia bagi memberikan sumbangan yang lebih besar terhadap usaha kesamaan gender global.

Untuk menyokong pembangunan wanita sejagat dan usaha-usaha UN Women, China akan menyumbang sebanyak USD 10 juta untuk menyokong pelaksanaan Pengisytiharan Beijing dan Landasan untuk Tindakan serta matlamat dalam Agenda Pembangunan Pasca 2015.

Dalam tempoh lima tahun yang akan datang, China akan membantu negara-negara membangun untuk melaksanakan 100 Projek Kesihatan Wanita dan Kanak-Kanak, menghantar pakar perubatan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan, melaksanakan 100 Projek Kampus Gembira untuk membiayai persekolahan kanak-kanak perempuan yang miskin dan meningkatkan nisbah kemasukan kanak-kanak perempuan ke sekolah, dan mengundang 30 ribu wanita daripada negara-negara membangun untuk mengambil bahagian dalam latihan yang disediakan oleh pihak China.

Selain itu, China juga akan mengendalikan latihan untuk 100 ribu orang kakitangan teknikal profesional wanita di negara-negara membangun. Di bawah tabung yang diwujudkan dengan kerjasama China dan PBB, turut akan diadakan program khas bagi membantu pembinaan keupayaan kaum wanita di negara-negara membangun.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Hadirin sekalian,

Marilah kita menggembleng tenaga, mempercepat pelaksanaan tindakan-tindakan berkenaan dan sama-sama membina dunia yang lebih baik bagi pembangunan kaum wanita dan semua umat manusia.

Semoga Mesyuarat Pemimpin Global mengenai Kesamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita akan membawa kejayaan!

Terima Kasih.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China