Cari:
Ucapan Presiden China, Xi Jinping pada Perbahasan Umum Perhimpunan Agung PBB ke-70: Bekerjasama Membentuk Rakan Kerjasama Baharu Yang Saling Menguntungkan dan Mewujudkan Komuniti Berkongsi Masa Depan dengan Seluruh Umat Manusia
2015-11-19 16:02:19 CRI Cetak

New York
28 September 2015

Tuan Presiden dan rakan-rakan sejawat yang dihormati,

Sejak 70 tahun yang lalu, generasi lama kita telah mencapai kemenangan dalam Perang Anti-Fasis Dunia melalui perjuangan yang sungguh berani, sekali gus mengakhiri lembaran yang paling gelap dalam sejarah manusia. Sesungguhnya, kemenangan ini amat sukar untuk dicapai.

Sejak 70 tahun yang lalu, dengan berpandangan jauh, generasi lama kita telah menubuhkan PBB. Pertubuhan antarabangsa yang universal, berperwakilan dan berwibawa ini telah menggalas harapan manusia demi mencipta masa depan baharu dan era kerjasama baharu.

Penubuhan PBB merupakan suatu inisiatif yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Sejak 70 tahun yang lalu, dengan mengumpulkan kebijaksanaan pelbagai pihak, generasi lama kita telah menggubal Piagam PBB yang menjadi asas kepada order masyarakat antarabangsa dan garis panduan kepada hubungan antarabangsa. Pencapaian ini memberikan kesan yang mendalam.

Tuan Presiden dan rakan-rakan sejawat yang dihormati,

Pada 3 September yang lalu, rakyat China bersama-sama dengan rakyat pelbagai negara telah mengadakan upacara memperingati ulang tahun ke-70 Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia.

Sebagai medan perang utama di dunia Timur, China telah mengorbankan lebih 35 juta nyawa ketika menentang tentera Jepun yang berorentasikan militarisme.

Tindakan ini bukan sahaja menyelamatkan negara dan rakyat daripada dijajah, malah memberikan sokongan padu kepada perjuangan menentang pencerobohan di medan perang di Eropah dan Lautan Pasifik, sekali gus memberikan sumbangan yang bersejarah kepada kemenangan Perang Anti-Fasis Dunia.

Sejarah bagaikan sebuah cermin. Dengan mengambil iktibar daripada sejarah, barulah dunia dapat menghindari kesengsaraan lalu daripada berulang semula. Kita perlu memandang sejarah dengan penuh rasa hormat dan hati yang ikhlas.

Sejarah tidak dapat diubah, namun masa depan dapat dicipta. Kita mesti ingat bahawa sejarah bukan bertujuan untuk menyimpan dendam.

Namun, sejarah bertujuan untuk memastikan manusia tidak akan melupakan pelajaran yang diperoleh daripada sejarah. Mengimbas sejarah bukan bermakna terlalu memikirkan masa lalu, tetapi bertujuan untuk mencipta masa depan yang lebih cerah dan mengekalkan keamanan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.

Tuan Presiden dan rakan-rakan sejawat yang dihormati,

Sejak ditubuhkan kira-kira 70 tahun yang lalu, PBB telah menyaksikan usaha pelbagai negara dalam mempertahankan kedamaian, membangunkan negara sendiri dan menjalinkan kerjasama.

Ketika berada pada titik permulaan yang baharu dalam sejarah, PBB perlu memberikan fokus kepada cara terbaik untuk menggalakkan kedamaian dan pembangunan dunia pada abad ke-21.

Dunia kini sedang melalui proses evolusi sejarah yang semakin bergerak pantas.

Cahaya daripada kedamaian, pembangunan dan kemajuan mampu menembusi jerebu perang, kemiskinan dan kemunduran.

Dunia terus berkembang ke arah pelbagai kutub, kebangkitan pasaran yang baru muncul dan negara membangun menjadi trend sejarah yang tidak dapat dibendung.

Globalisasi ekonomi dan kedatangan era maklumat telah membebaskan dan merangsang produktiviti masyarakat.

Ini bukan sahaja membuka peluang pembangunan yang tidak pernah wujud sebelum ini, malah membawa risiko dan cabaran baharu yang perlu ditangani dengan baik.

Seperti pepatah China yang berbunyi, "Ideal yang paling hebat adalah mewujudkan dunia yang boleh dikongsi bersama."

Kedamaian, pembangunan, kesamaan, keadilan, demokrasi dan kebebasan merupakan nilai bersama umat manusia dan juga matlamat murni PBB.

Matlamat ini masih belum dapat disempurnakan. Oleh itu, kita perlu meneruskan perjuangan. Pada zaman ini, semua negara di dunia saling bergantung dan berkongsi masa depan.

Kita harus mewarisi dan menyemarakkan prinsip Piagam PBB dan membentuk hubungan antarabangsa jenis baharu yang berorentasikan kerjasama saling menguntungkan dan mewujudkan komuniti berkongsi masa depan dengan seluruh umat manusia.

Untuk mencapai matlamat tersebut, kita perlu menggiatkan usaha dalam perkara-perkara berikut:

--Kita perlu membina perkongsian dengan prinsip kesamaan, perundingan dan persefahaman.

Piagam PBB adalah berasaskan kesamaan kedaulatan. Masa depan dunia diwujudkan oleh pelbagai negara. Semua negara di dunia adalah sama. Negara yang besar, kuat dan kaya tidak boleh menggunakan kekerasan terhadap negara yang kecil, lemah dan miskin. Prinsip kedaulatan bukan sahaja bermakna hak kedaulatan, keutuhan wilayah dan urusan dalam sesebuah negara tidak boleh dicabuli, malah turut membawa maksud pelbagai negara berhak memilih sistem masyarakat dan jalan pembangunan sendiri. Usaha pelbagai negara dalam menggalakkan sosioekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat harus dihormati.

Kita perlu mempertahankan prinsip pelbagai kutub dan menolak fahaman sepihak. Kita juga perlu mengekalkan konsep permuafakatan dan melepaskan fahaman lama bahawa sekiranya satu pihak menang bermaksud satu pihak yang lain kalah.

Perundingan merupakan amalan penting dalam demokrasi, dan juga kaedah penting dalam tadbir urus antarabangsa. Perselisihan dan percanggahan pendapat disarankan agar ditangani melalui dialog dan musyawarah.

Kita perlu membentuk perkongsian pada peringkat antarabangsa dan serantau, serta mewujudkan hubungan dengan semua negara melalui amalan "berdialog lebih baik daripada berkonfrontasi, perkongsian lebih baik daripada perikatan".

Pelbagai negara kuasa besar tidak sepatutnya berkonflik dan berkonfrontasi, tetapi harus saling menghormati dan meningkatkan kerjasama.

Hubungan antara negara kuasa besar dengan negara kecil pula perlu berasaskan prinsip kesaksamaan dan keadilan lebih utama daripada kepentingan diri sendiri.

--Kita perlu bersama-sama membentuk dan menikmati struktur keselamatan yang adil.

Dalam era globalisasi ekonomi, keselamatan semua negara saling bersangkut paut antara satu sama lain. Tidak ada mana-mana negara yang mampu memastikan keselamatan mutlak dengan usaha sendiri, dan tidak ada sebarang negara yang boleh mendapat keuntungan daripada pergolakan negara lain. Fahaman bahawa pihak yang lemah sewajarnya dikasari oleh pihak yang kuat tidak boleh diamalkan dalam hubungan antara pelbagai negara. Menggunakan kekerasan demi kepentingan diri sendiri akan merugikan diri sendiri pada akhirnya.

Kita perlu meninggalkan mentaliti Perang Dingin dalam mana-mana manifestasi, dan mewujudkan konsep keselamatan yang berorentasikan usaha sama, komprehensif, bekerjasama dan berterusan.

Kita perlu memberikan lebih peranan kepada PBB dan Majlis Keselamatan PBB dalam usaha menamatkan peperangan dan memelihara keamanan, serta menyelesaikan perselisihan melalui dua pendekatan, iaitu penyelesaian secara damai dan tindakan mandatori.

Kita perlu mendorong kerjasama antarabangsa dalam bidang ekonomi dan kemasyarakatan, dan menjalankan usaha yang menyeluruh dalam menangani ancaman tradisional dan bukan tradisional bagi mengelakkan berlakunya peperangan.

--Kita perlu mewujudkan pembangunan yang terbuka, inovasi dan inklusif yang dapat dinikmati bersama. Iktibar daripada krisis ekonomi dan kewangan yang berlaku pada tahun 2008 telah mengajar kita bahawa krisis baharu akan berulang sekiranya kita membiarkan modal mengejar keuntungan secara membuta tuli.

Pasaran yang tidak bermoral sukar untuk menjadi tonggak kepada kemakmuran dan pembangunan dunia. Jurang antara golongan yang kaya dengan golongan yang miskin semakin ketara, yang mana kedua-duanya menyalahi prinsip kesamaan dan keadilan.

Kita perlu menggunakan "tangan yang tidak dapat dilihat" dan "tangan yang dapat dilihat" dalam mewujudkan sinergi antara fungsi pasaran dengan fungsi kerajaan dan berusaha untuk mencapai keefisienan dan keadilan.

Pembangunan hanya bermakna apabila bersifat inklusif dan konsisten. Untuk mencapai matlamat tersebut, semangat keterbukaan, saling membantu dan saling menguntungkan perlu dipertahankan. Masih terdapat 800 juta orang penduduk di dunia yang hidup dalam keadaan amat miskin pada ketika ini.

Hampir 6 juta kanak-kanak di bawah usia 5 tahun meninggal dunia setiap tahun, dan hampir 60 juta kanak-kanak tidak menerima pendidikan. Agenda Pembangunan Pasca 2015 telah digubal dalam Sidang Kemuncak Pembangunan PBB yang baru berakhir.

Kita perlu menunaikan janji melalui tindakan dan berusaha bersama-sama demi memastikan setiap individu bebas daripada kemiskinan, dapat menikmati pembangunan dan hidup dalam keadaan bermaruah.

--Kita perlu mengintensifkan pertukaran antara pelbagai tamadun demi keharmonian sejagat dan mengambil sikap yang inklusif dan menghormati perbezaan antara pelbagai tamadun.

Dunia menjadi berwarna-warni dengan kepelbagaian tamadun manusia. Kepelbagaian melahirkan pertukaran, pertukaran mencipta interaksi dan interaksi pula dapat mewujudkan kemajuan.

Interaksi antara pelbagai tamadun harus dilaksanakan dengan menghormati perbezaan antara satu sama lain. Apabila saling menghormati, saling mempelajari dan hidup bersama secara harmoni, barulah dunia dapat mengekalkan kepelbagaian dan kemakmuran.

Tamadun merupakan hasil daripada kebijaksanaan dan sumbangan rakyat pelbagai kaum. Tidak ada tamadun yang lebih unggul daripada tamadun yang lain. Kepelbagaian tamadun memerlukan dialog, interaksi dan bukannya menolak dan menggantikan mana-mana pihak.

Sejarah manusia merupakan proses pertukaran, interaksi dan integrasi antara pelbagai tamadun yang berbeza. Kita perlu menghormati dan memandang dengan saksama terhadap pelbagai tamadun. Kita perlu saling mempelajari dan saling menimba pengalaman antara satu sama lain bagi mendorong pembangunan kreatif tamadun umat manusia.

--Kita perlu mencipta sistem ekologi yang mengutamakan alam sekitar dan pembangunan mesra alam. Walaupun kita mampu menggunakan dan mengubah suai alam, namun manusia tetap merupakan sebahagian daripada alam semula jadi. Maka, kita perlu mendamaikan tamadun perindustrian dengan alam dan mewujudkan keharmonian bagi mencapai pembangunan mampan dan pembangunan manusia yang menyeluruh.

Pembangunan ekologi berkait rapat dengan masa depan manusia. Masyarakat antarbangsa perlu berganding bahu dalam membangunkan ekologi global, menghormati dan menyesuaikan diri dengan peraturan alam sekitar dan mempertahankan pembangunan yang bersifat mesra alam, rendah karbon, boleh dikitar semula dan konsisten.

Dalam pada itu, China bersedia untuk memikul tanggungjawab yang sewajarnya demi memberikan sumbangan dalam usaha tersebut. Di samping itu, kami juga menggesa negara-negara maju agar memikul tanggungjawab terhadap sejarah dalam menunaikan janji dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan membantu negara-negara membangun meringankan dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

Tuan Presiden dan rakan-rakan sejawat yang dihormati,

Kesemua 1.3 bilion rakyat China telah berjuang demi merealisasikan impian China dan kebangkitan semula bangsa China. Impian rakyat China ini berkait rapat dengan impian rakyat semua negara. Untuk mencapai impian tersebut, China memerlukan suasana antarabangsa yang aman dan order antarabangsa yang stabil serta persefahaman, sokongan dan bantuan daripada rakyat pelbagai negara.

Impian China pastinya akan menyediakan lebih banyak peluang kepada pelbagai negara, sekali gus memacu keamanan dan pembangunan dunia.

China akan terus mengambil bahagian dalam membina keamanan dunia dan mengekalkan jalan pembangunan yang damai. China tidak akan mengejar kedudukan hegemoni dan peluasan kuasa tanpa mengambil kira sebarang perubahan yang berlaku dalam situasi antarabangsa dan keadaan pembangunan negara pada masa akan datang.

China akan terus berbakti kepada pembangunan dunia, mempertahankan jalan pembangunan bersama, di samping mengamalkan strategi terbuka yang berorentasikan permuafakatan. China bersedia untuk berkongsi pengalaman dan peluang dengan pelbagai negara di dunia, dan mengalu-alukan pelbagai negara menikmati peluang pembangunan China dalam merealisasikan pembangunan bersama.

China akan terus memelihara order antarabangsa dan mempertahankan jalan pembangunan yang berorentasikan kerjasama.

Sebagai negara pertama yang menandatangani Piagam PBB, China akan terus berusaha memelihara order antarabangsa dan sistem antarabangsa yang berteraskan Piagam PBB. China akan berganding bahu dengan pelbagai negara membangun bagi meningkatkan reputasi perwakilan dan hak bersuara negara membangun, khususnya negara-negara Afrika. Hak undi China di PBB tetap dimiliki negara membangun.

Pada kesempatan ini, saya mengumumkan inisiatif China dalam penubuhan Tabung Kedamaian dan Pembangunan China-PBB yang bernilai USD 1 bilion untuk tempoh sedekad bagi menggalakkan usaha PBB dan usaha kerjasama pelbagai hala ke arah mendorong kedamaian dan pembangunan dunia.

Saya mengumumkan bahawa China akan mengambil bahagian dalam Mekanisme Kesediaan Kemampuan Misi Pengaman PBB, di samping memutuskan penubuhan pasukan polis pengaman tetap dan pasukan pengaman siap sedia yang berjumlah 8000 orang.

Saya juga ingin mengumumkan bantuan ketenteraan secara percuma yang bernilai USD 100 juta kepada Kesatuan Afrika dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai sokongan kepada Afrika untuk menubuhkan pasukan tentera siap sedia dan pasukan menangani situasi cemas.

Tuan Presiden dan rakan-rakan sejawat yang dihormati,

Bersempena dengan sambutan sedekad PBB, marilah kita bersatu padu dan berganding bahu demi menjalin rakan kerjasama saling menguntungkan yang baharu dan membentuk komuniti berkongsi masa depan dengan seluruh umat manusia.

Marilah kita membina wawasan agar dunia bebas daripada peperangan dan menikmati kedamaian yang sentiasa di hati kita, serta menyebarkan aspirasi pembangunan, kemakmuran, kesaksamaan dan keadilan ke seluruh dunia.

Terima kasih.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China