Cari:
Ucapan Presiden China, Xi Jinping pada Sidang Kemuncak Pengamanan PBB: China Di Sini Demi Keamanan
2015-11-19 19:10:27 CRI Cetak

New York, AS
28 September, 2015

 

Presiden Obama,
Setiausaha Agung Ban Ki-moon,
Rakan-rakan sejawat yang dihormati,

Saya menghargai inisiatif Presiden Obama untuk mengadakan sidang kemuncak pengaman kali ini.

Keamanan merupakan aspirasi dan matlamat bersama seluruh umat manusia. Misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diwujudkan demi keamanan, dan merupakan pendekatan penting bagi menjaga keamanan dan keselamatan dunia. 
Misi pengaman telah meniupkan keyakinan kepada kawasan yang dilanda konflik serta membawa harapan kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Pada ketika ini, rakyat di kawasan konflik masih terperangkap dalam kancah peperangan. Aspirasi mereka terhadap keamanan sangat kuat, harapan mereka terhadap PBB sangat besar, manakala jangkaan mereka terhadap misi pengaman sangat tinggi.

Oleh hal yang demikian, China mengemukakan beberapa anjuran:

--Prinsip-prinsip asas misi pengaman perlu dipatuhi. Piagam PBB dan Prinsip Hammarskjold merupakan prinsip asas misi pengaman dan wajar dipatuhi. Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) patut dilaksanakan secara keseluruhannya, dan sebarang negara tidak wajar mengambil tindakan di luar mandat. Misi pengaman perlu selaras dengan situasi dan keinginan rakyat setempat. Selain itu, strategi pengunduran patut digubal dan dilaksanakan tepat pada waktunya.

--Sistem misi pengaman patut disempurnakan. Operasi pengaman bukan sahaja perlu selaras dengan diplomasi pencegahan dan pembinaan keamanan, malah memerlukan koordinasi dengan usaha pengantaraan politik, pentadbiran di sisi undang-undang, perdamaian kebangsaan dan peningkatan taraf hidup rakyat. UNSC harus lebih mendengar pandangan negara yang menerima misi pengaman dan negara yang menghantar pasukan pengaman. PBB harus membina hubungan rakan pengaman yang lebih berkoordinasi dengan pertubuhan-pertubuhan di kawasan terbabit.

--Respons pantas wajar diperhebat. Pengaturan segera operasi pengaman boleh membawa lebih banyak peluang bagi keamanan, dan menyediakan lebih banyak masa untuk menyelamatkan nyawa. China mengalu-alukan Sistem Kesiagaan Kemampuan Pengaman yang baharu diperkenalkan oleh PBB, dan menyeru negara-negara anggota menyertainya.

--Sokongan dan bantuan kepada Afrika patut ditingkatkan. Afrika paling memerlukan misi pengaman. Daripada perspektif jangka masa panjang, masyarakat antarabangsa dan PBB harus menyokong negara-negara Afrika meningkatkan kemampuan untuk menjaga keamanan dan kestabilan negara supaya masalah Afrika dapat diselesaikan melalui pendekatan mereka sendiri.

Rakan-rakan sejawat,
China sebagai negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB telah melibatkan diri dalam misi pengaman selama 25 tahun. China menjadi tenaga utama dalam menghantar pasukan pengaman dan menyediakan dana pengaman. Demi menyokong usaha dalam membaiki dan memperkasakan misi pengaman PBB, saya mengumumkan:

Pertama, China akan menyertai Sistem Kesiagaan Kemampuan Pengaman PBB yang baharu, menubuhkan pasukan polis pengaman tetap dan membentuk pasukan kesiagaan seramai 8,000 orang.

Kedua, China akan mempertimbangkan permintaan PBB untuk menghantar lebih banyak pasukan jurutera serta staf pengangkutan dan perubatan untuk menyertai misi pengaman.

Ketiga, dalam tempoh lima tahun yang akan datang, China akan memberikan latihan kepada 2,000 anggota pengaman dari negara lain, melaksanakan 10 projek bantuan memusnahkan periuk api, termasuk menyediakan latihan dan kelengkapan.

Keempat, dalam tempoh lima tahun yang akan datang, China akan menghulurkan bantuan ketenteraan berjumlah 100 juta dolar Amerika kepada Kesatuan Afrika untuk menyokong pembinaan tentera dan pasukan respons pantas dalam menangani krisis di Afrika.

Kelima, China akan menghantar pasukan helikopter yang pertama bagi misi pengaman PBB di Afrika.

Keenam, sebahagian dana daripada Tabung Keamanan dan Pembangunan China-PBB akan digunakan untuk menyokong misi pengaman PBB.

Rakan-rakan sejawat,

Sebanyak 18 anggota tentera dan polis China telah mengorbankan nyawa mereka dalam misi pengaman PBB. Lima tahun dahulu, polis pengaman wanita dari China, He Zhihong telah terkorban semasa menjalankan misi pengaman di Haiti. Beliau telah meninggalkan seorang anak yang berumur 4 tahun dan ibu bapanya yang sudah lanjut usia. Beliau pernah menyatakan bahawa "Buat dunia yang besar ini, saya ibarat sehelai bulu yang kecil. Namun bulu ini telah membawa harapan keamanannya sendiri." Inilah harapan beliau dan juga komitmen China kepada keamanan dunia.

Terima kasih.
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China