Sempena menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur, serta mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia, Perdana Menteri China, Li Keqiang telah mengarang artikel yang bertajuk: Pelayaran Baharu Menuju Masa Depan Yang Gemilang. Artikel ini turut disiarkan melalui media tempatan Malaysia pada Jumaat ini, antaranya Berita Harian, The Star, New Straights Times, Nanyang Siang Pau, Sinchew Daily, dan lain-lain.
Berikut ialah artikel penuh Perdana Menteri Li.
Saya berbesar hati dapat mengadakan lawatan julung-julung kali ke Malaysia sebagai Perdana Menteri China, dan menghadiri siri persidangan pemimpin kerjasama Asia Timur yang diadakan di sini. Malaysia memang tidak asing bagi saya kerana pernah menjejakkan kaki ke negara indah ini pada tahun 1996. Pada ketika itu, Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur baru siap dibina. Dalam tempoh 20 tahun yang lalu, pembangunan Malaysia telah mencapai kecemerlangan yang sungguh mengagumkan.
China dan Malaysia, tetangga yang dipisahkan oleh laut, telah lama mengekalkan persahabatan bagaikan isi dengan kuku. Manakala, hubungan perniagaan antara kedua-dua negara ini telah tercatat dalam sejarah sejak zaman Sebelum Masihi lagi. Pada zaman Dinasti Ming (1368-1644), Laksamana Cheng Ho pernah tujuh kali belayar ke samudera barat, antaranya lima kali singgah di Melaka, yang turut memperkaya catatan sejarah kedua-dua negara, sekali gus menukilkan kisah indah Bukit Cina, Perigi Sam Poh, dan lain-lain dekat di hati rakyat.
Semua ini berkat jasa Laksamana Cheng Ho. Menurut catatan sejarah, di sini, beliau menjalinkan ikatan persahabatan dan menggiatkan perdagangan; membantu askar dan rakyat tempatan membina tembok pertahanan, menghalau lanun, merungkaikan konflik dan memelihara keamanan di laut; memperkenalkan teknik pengeluaran dalam bidang pertanian, pembuatan dan perubatan.
Dari sudut pandangan generasi berikutnya, dengan tujuan yang baik, Laksamana Cheng Ho, yang mengetuai armada paling kuat di dunia pada ketika itu, telah belayar ke tanah subur ini tanpa melakukan penjarahan, peluasan kuasa atau penjajahan. Yang ditinggalkan oleh beliau di tanah ini hanyalah jasa dan kebaikan yang disanjung masyarakat setempat berabad-abad lamanya. Beliau benar-benar mempraktikkan nasihat "jangan melakukan sesuatu kepada orang lain seperti mana kita tidak mahu diperlakukan" dan "perlakukan orang lain sebagaimana yang ingin dilakukan kepada diri sendiri". Sikap Laksamana Cheng Ho yang sentiasa menjunjung keadilan dan keprihatinan terhadap kesejahteraan dunia mencerminkan inti pati pemikiran bangsa China yang mencintai keamanan dan mengutamakan muhibah sesama tetangga, dan juga kekayaan spiritual dan budaya yang diwarisi oleh negara-negara serantau hingga kini.
Pada ketika ini, China dan Malaysia saling menghormati dan saling mempercayai dalam bidang politik, dan telah menjalinkan perkongsian strategik komprehensif yang kukuh dengan menyaksikan pemimpin peringkat tinggi sering mengadakan pertukaran lawatan dan mengekalkan komunikasi yang erat.
Saya masih ingat lagi detik-detik semasa saya bersama-sama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri majlis memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik China-Malaysia di Dewan Barat, Dewan Besar Rakyat, Beijing pada bulan Mei tahun lalu. Dewan itu pernah menjadi saksi pemimpin kedua-dua negara memeterai kenyataan mengenai penjalinan hubungan diplomatik China-Malaysia pada tahun 1974. Selama ini, kedua-dua pihak saling menyokong dalam isu-isu penting yang menjadi perhatian bersama, dan berganding bahu mempertahankan keadilan antarabangsa. Latihan tentera bersama yang pertama kali diadakan oleh pasukan tentera kedua-dua negara di Selat Melaka tidak lama sebelum ini, menandakan kemajuan besar dalam kerjasama pertahanan dua hala.
Ekonomi China dan Malaysia saling melengkapi dan saling menguntungkan. Perdagangan tahunan dua hala melebihi USD 100 bilion. China, rakan dagangan terbesar bagi Malaysia selama tujuh tahun berturut-turut, manakala Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar China dalam kalangan negara-negara ASEAN. Jumlah dagangan antara kedua-dua negara menyumbang satu perlima daripada keseluruhan perdagangan antara China dengan ASEAN. Kerjasama kedua-dua pihak dalam bidang ekonomi dan perdagangan, kewangan, infrastruktur dan pertanian, perhutanan dan perikanan mempunyai asas yang kukuh, manakala kerjasama teknologi tinggi mencakupi bidang yang amat meluas. Hasil kerjasama ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, malah turut menjana pembangunan dan kemakmuran serantau.
Rakyat China dan Malaysia saling belajar dan saling membantu. Badminton, sukan yang digemari rakyat kedua-dua negara. Lin Dan dari China dan Datuk Lee Chong Wei dari Malaysia adalah dua orang pemain yang paling hebat di dunia. Di gelanggang perlawanan, mereka berhempas-pulas dan berjuang habis-habisan untuk meraih kemenangan. Di luar gelanggang pula, mereka mempunyai minat yang sama dan saling menyokong, malah saling berkirim salam sempena hari-hari perayaan melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS).
"Hanya ketika dalam kesusahan kita dapat mengenal hati budi antara satu sama lain, tiada untungnya jika hanya seorang saja yang berbudi", demikian madah puitis Li Bai, penyajak tersohor China. Di Malaysia, ada peribahasa yang seerti, iaitu "bukit sama didaki, lurah sama dituruni". Selepas gempa bumi dahsyat melanda Wenchuan, provinsi Sichuan, China pada tahun 2008, Malaysia segera menghulurkan bantuan. Rakyat pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia telah mengumpul derma sebanyak RMB 200 juta, menjadikan negara ini penyumbang terbesar bagi kawasan bencana Wenchuan. Manakala, selepas berlakunya tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, saya segera menghubungi PM Najib melalui telefon untuk menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat. Ketika berdepan dengan kesukaran, kedua-dua pihak mesti sentiasa saling menyokong dan meningkatkan koordinasi.
Malaysia mempunyai banyak warga berketurunan Cina. Mereka bukan sahaja memberikan sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi dan keharmonian sosial termasuk antara kaum, malah menjadi pertalian darah yang menghubungkan China dan Malaysia.
Dalam tempoh 40 tahun yang lalu, China dan Malaysia seia sekata, sehati sejiwa dan maju bersama-sama sehingga menjadi teladan bagi kerjasama dan persahabatan serantau. Pada titik permulaan bagi menyingkap tirai tempoh 40 tahun yang akan datang, China bersedia bersama-sama dengan Malaysia untuk terus melihat dan membangunkan hubungan dua hala dari segi strategik, memperkasakan rasa saling mempercayai, kerjasama yang saling menguntungkan dan pertukaran sosiobudaya demi membuka lembaran baharu dalam ikatan hubungan kedua-dua negara.
Cetak biru China untuk membangunkan masyarakat kaya secara menyeluruh menjelang 2020 amat sepadan dengan Wawasan 2020 Malaysia. Usaha China untuk menjayakan pelaksanaan inisiatif "Jalur Ekonomi Laluan Sutera dan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21", skim keusahawanan dan inovasi dalam kalangan rakyat serta mempercepat transformasi dan penaiktarafan struktur ekonomi, dan pelan Malaysia untuk menggalakkan transformasi ekonomi bagi mewujudkan entiti ekonomi model baharu yang lebih dinamik, saling menawarkan pelbagai peluang pembangunan. Kedua-dua pihak perlu memanfaatkan kelebihan masing-masing demi mempergiat kerjasama kapasiti antarabangsa, menggalakkan penglibatan lebih banyak syarikat dalam pembangunan taman industri di Qinzhou dan Kuantan, mengintensifkan pembinaan prasarana dan membaiki kesalinghubungan. Hal ini akan membawa faedah besar kepada pembangunan, menjana pertumbuhan mampan dan menambah baik kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, serta penting dalam usaha membentuk kutub pertumbuhan mampan di Asia Timur. Saya berkeyakinan penuh terhadap prospek kerjasama yang saling menguntungkan antara China dengan Malaysia.
Hubungan China-ASEAN merupakan batu asas bagi keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran serantau. Persidangan pemimpin kerjasama Asia Timur yang diadakan tahun ini selaras dengan pembentukan Komuniti ASEAN dan amat signifikan. Ketika impak krisis kewangan global masih wujud dan pelbagai negara berdepan dengan tekanan kemerosotan ekonomi, semangat "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" demi pembangunan dan kemakmuran bersama tidak kurang pentingnya. Dengan berlatarbelakangkan cabaran keselamatan sedia ada dan baharu, keharmonian berbilang budaya, dan pelbagai jalan pembangunan yang mempunyai persamaan namun tetap berlandaskan prinsip masing-masing, begitu berharga. Mengambil iktibar daripada kesan limpahan pergolakan di beberapa tempat di dunia akibat campur tangan luar, kestabilan, perpaduan dan keamanan berkekalan di rantau ini wajar dipelihara bersama-sama.
Keikhlasan, persahabatan dan keuntungan bersama, hasil perjalanan Laksamana Cheng Ho yang terpahat dalam sejarah hubungan China-Malaysia, merupakan aspirasi bersama rakyat kedua-dua negara malah seluruh rantau, serta hala tuju semasa dan juga matlamat yang memerlukan usaha berterusan semua pihak. Saya yakin, melalui sinergi, hubungan China-Malaysia dan kerjasama serantau pasti dapat belayar menuju masa depan yang gemilang.