Ini pengalaman pertama kali saya menaiki HST dan ia antara pengalaman yang cukup menyeronokkan di China.
Sejujurnya sebaik melihat susunan acara disediakan CRI untuk Kembara Laluan Sutera, agenda menaiki keretapi laju ini antara yang saya tunggu-tunggu.
Dan disebabkan itu sebaik selesai makan tengahari di Beijing, saya tidak sabar menantikan saat menuju ke Stesen Keretapi Barat, Beijing.
Dengan jarak ratusan kilometer dari Beijing ke Xi'an, perjalanan lebih empat jam ini pastinya satu pengalaman baru kepada saya yang bukan saja pertama kali menaiki keretapi laju malah pertama kali mengunjungi negara ini.
Disajikan dengan pemandangan indah alam semulajadi serta kadang-kala melihat bangunan tinggi yang mungkin saja penempatan penduduk. Ada juga kawasan yang kelihatannya seperti kawasan kampung yang penduduknya mengerjakan tanaman kecil-kecilan.
Didalam keretapi pula, kami dilayan cukup baik serta diberi layanan VIP. Beberapa kali kakitangan dengan pakaian seragam biru menawarkan teh dan lebih istimewa kami turut dihidangkan buah dan kuih-muih tradisi masyarakatnya oleh pegawainya sendiri!
Suasana dalam keretapi yang sangat selesa juga menyebabkan saya dan rakan media lain beberapa kali terlena sepanjang perjalanan.
Pastinya tidak mencukupi jika mahu mengenali keseluruhan China dengan hanya bergantung kepada pengalaman berkeretapi ini tetapi dengan jarak pergerakan lebih 300 kilometer sejam, ia pastinya sesuatu yang tidak sepatutnya dilepaskan jika berkunjung ke China.
Selain sebagai satu penghubung pantas bagi Beijing dan Xian yang berjarak ratusan kilometer, lebih penting lagi pengalaman ini memberi peluang melihat secebis kehidupan rakyat China yang disajikan sepanjang perjalanan lebih empat jam.