Oleh Azrida Yusop
Subhanallah, Allahuakbar. Ini sahaja yang mampu terluah oleh saya tatkala melihat banjaran gunung ganang di sepanjang perjalanan menuju ke Taman Geologi Gui Di. Sungguh saya tidak ingin melepaskan peluang menatap setiap inci pemandangan hebat di sepanjang perjalanan. Paling menjadi kegemaran saya adalah melihat pokok kecil bewarna hijau tua memenuhi kaki pergunungan umpama lokasi percintaan dalam filem Hindustan Kuch Kuch Hota Hai. Lebih indah dengan sisipan pandangan bunga bunga kecil bewarna kuning, ungu dan putih buat saya tersenyum simpul sambil memandang luar menerusi jendela bas yang kami naiki.
Berkeluasan 248.24 kilometer persegi, taman indah yang terletak dalam daerah Gui Di provinsi Qinghai ini merupakan sebahagian daripada komposisi Taman Ashigong dan Taman Lembah Mawu. Ia terdiri daripada beberapa bahagian termasuk permukaan Dataran Dan Xia Ashigong, lapisan tanah Lembah Mawu yang terbentuk hasil hakisan angin dan lembah di aliran Sungai Kuning. Taman geologi ini terbentuk daripada lembah pergunungan, sumber air panas dan aliran air sungai. Alhamdulillah kembara ini membawa saya ke lokasi hebat ini.
Walaupun perlu menapak sebegitu jauh dengan pandangan terhad akibat cuaca panas dan silau, namun bagi saya peluang menyaksikan sendiri kawasan pergunungan ini adalah perkara yang akan dikenang sehingga akhir usia. Saya juga berkesempatan melawat Taman Apresiasi Batu Aneh yang menempatkan lebih 10 ribu batu pelbagai jenis dan saiz. Saya dimaklumkan pemandu pelancong harga bagi setiap batu ini tidak kurang hebatnya. Ia dikumpulkan daripada lembah dan pinggiran Sungai Kuning lalu disusun di taman ini. Saya pasti setiap batu ini punya keunikan dan keistimewaannya pada setiap mata yang memandang. Bila pulang ke tanah air nanti, saya pasti akan syorkan dua lokasi ini kepada rakan rakan, khususnya mereka yang ingin bergambar berlatarbelakangkan 'Arizona Jadian' dan pencinta alam semula jadi.