Cari:
Masjid Dongguan
2016-07-31 14:47:06 CRI Cetak

Oleh Siti Haliza Yusop, BH

Selepas beberapa hari 'hilang' tetapan hari dan tarikh dek sibuk menjelajah bumi China sebaik tiba di negara ini awal pagi Rabu lalu, akhirnya kami menikmati hari Jumaat di kota Xining ini. Jumaat di sini seperti juga di Malaysia ditandakan dengan lelaki Islam berpusu-pusu memenuhi jalan untuk menuju ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dan kami berpeluang merasai dengan lebih dekat suasana itu kerana agenda mengunjungi Masjid Dongguan iaitu masjid tertua di kota ini sudah diatur China Radio International (CRI)

Dari simpang jalan menuju ke Masjid Dongguan sudah kelihatan hamparan sejadah di luar kawasan masjid bagi memenuhi 'limpahan' umat Islam yang datang ke masjid berkenaan. Meskipun tidak berpeluang ke ruang utama kerana ia sudah sedia sesak dengan jemaah lelaki namun apa yang saya perhatikan keseluruhan senibina masjid ini masih mengekalkan wajah tradisional dengan campuran binaan kayu dan batu. Suasana di perkarangan masjid lebih menarik perhatian saya. Meskpun panas terik namun jemaah lelaki tua dan muda yang ada di antaranya berpayung bagi menahan bahang matahari, tekun mendrngar khutbah disampaikan. Di pekarangan masjid juga saya bertemu seorang tua yang mirip arwah datuk sebelah bapa yang meninggal dunia beberapa tahun lalu. Dengan rambut putih yang tersorok di dalam kopiah serta beberapa gigi yang sudah hilang akibat usia tuanya, si lelaki yang duduk mencari redup dibawah pokok asyik melihat kami sibuk mewancara di kawasan lapang di tengah Masjid Dongguan. Beliau berterusan berkomunikasi dengan saya dalam bahasa yang tidak saya fahami. Seorang gadis tempatan yang berada di situ membantu menterjemah namun turut tidak dapat memahami sepenuhnya apa yang diperkatakan kerana menurutnya lelaki dalam lingkungan usia 60-an itu bertutur dengan tidak jelas. Satu-satunya percakapan yang dapat difahaminya ialah si lelaki mahukan saya membaca beberapa potongan surah Yasin dan apabila saya berbuat demikian, dia akhirnya tersenyum.

Mungkin saja kami tidak memahami bahasa dan pertuturan di antara satu sama lain, tetapi diakhirnya kami pasti yang kami masih bersaudara dan disatukan dengan agama sama yang kami anuti.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China