Cari:
Warna Warni Qinghai
2016-07-31 14:52:28 CRI Cetak

Azrida Yusop

Hamparan bunga kuning keemasan, langit biru, saudagar tempatan dengan kuda coklat, kumpulan pelancong berbasikal bergambar, bendera kuning, hijau, merah, biru, dan putih serta khemah kecil etnik Tibet. Itu peneman sepanjang perjalanan saya menuju dari Kota Xining ke Tasik Qinghai sejauh 150 kilometer.

Ternyata Tasik Qinghai yang berkeluasan 4500 kilometer persegi ini mempunyai pesona yang berjaya memikat hati saya. Warna biru memukau sungguh mengasyikkan seakan saya enggan berkalih untuk terus memandangnya. 'Hai' bermaksud laut dan 'Qing'' bermakna biru. Ekoran tasik ini begitu luas dengan warna airnya yang membiru,penduduk suatu ketika dahulu memanggilnya Qinghai , lalu kemudian barulah terbentuk Provinsi Qinghai ini. Kembara Laluan Sutera 2016 ini banyak mengajar saya mengenai unsur budaya dan agama di bumi Qinghai-Tibet ini. Sebagai contoh, tugu gajah, monyet, arnab, dan burung yang kononnya bersahabat baik dan berkongsi makanan di hutan bersama haiwan lain. Justeru, masyarakat setempat perlu mencontohinya dengan berpegang pada prinsip kesatuan dan persatuan. Selain mengambil puluhan foto sekeliling, saya dan teman turut menikmati sukan lasak motor di trek khusus Tasik Qinghai. Sungguh menyeronokkan!

Pemandangan tiga ribu kaki dari paras laut di Gunung Matahari dan Bulan Daerah Huang Yuan juga sungguh mengasyikkan sehingga buat saya rasa ingin berlari anak di kawasan ini. Cuaca sejuk dan nyamannya juga cukup saya gemari. Di sini saya mencuri masa untuk menaiki yak dihiasi dekorasi berwarna warni. Kawasan pergunungan ini bertambah seri dengan bendera lima warna yang mewakili unsur tanah, api, air, dan awan di merata tempat. Ia dipasang etnik Tibet Buddha bagi memperoleh keberkatan.

Gunung Matahari dan Bulan punya kisah campuran sejarah dan dongengnya tersendiri. Perkahwinan Puteri Wen Cheng dari Dinasti Tang diatur oleh ayahanda dan bondanya. Mereka mengahwinkan puteri mereka dengan Raja Tibet bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara Kota Xi'an dan Tibet. Sebelum Puteri Wen Cheng dan Raja Tibet meneruskan perjalanan, bondanya menghadiahkan sebuah cermin. Pesanan bonda, kalau kamu rindu kami disini lihat cermin ini. Mereka kemudian melalui kawasan pergunungan untuk ke Tibet. Sewaktu perjalanan, Puteri Wen Cheng tiba tiba merasa sedih kerana berjauhan daripada keluarga. Lalu dia pun melihat cermin tadi namun kerana tidak terlihat apa apa seperti yang diharapkan, dia memecahkan cermin itu lalu terbentuklah Gunung Matahari dan Bulan.

Sebagai peringatan jika mahu berkunjung lagi kesini, pastikan anda membawa sedikit bekalan makanan kerana perjalanan jauh bakal buat perut berkeroncong.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China