Cari:
Gunung Riyue yang Tersembunyi Sejarah Puteri Wencheng
2016-07-31 14:54:07 CRI Cetak

Oleh: Faizal Riduan

Kata Buddha tiga perkara yang tidak selamanya boleh disembunyikan ialah matahari, bulan dan kebenaran. Begitulah dengan Gunung Riyue yang telah menyembunyikan 'matahari', 'bulan' dan 'kebenaran' lagendanya sejak 1,300 tahun yang lalu.

Riyue yang bermaksud matahari dan bulan dalam bahasa Mandarin juga dikenali sebagai 'nimadawa' dalam bahasa Tibet dan 'nalasala' dalam bahasa Mongolia dengan maksud yang sama.

Nama gunung matahari dan bulan itulah yang mengujakan saya kerana dapat ke sana dengan hanya melalui jalan darat selama tiga jam dan tidak perlu pun bergelar angkasawan.

Gunung Riyue sebahagian daripada Banjaran Qilian yang tersorok jauh 40 kilometer dari barat daya kaunti Huangyuan di provinsi Qinghai mengambil masa perjalanan panjang dengan latar berulang gunung-ganang yang menyebabkan saya terlena seketika.

Mujur saya terbangun bila disambut dengan bunga sesawi kuning yang kembang mekar dari tepian jalan ke kaki bukit, bendera berwarna-warni seakan berlangsungnya temasya besar, khemah nomad orang Tibet dan kejinakan yak berhias untuk tunggangan pelancong.

Gunung yang menjadi garisan penting dalam peta geografi China menjadi sempadan antara Daratan Tinggi Huangtu dengan Daratan Tinggi Qinghai-Tibet, kawasan monsun dengan kawasan bukan monsun dan kawasan pertanian dengan kawasan penternakan. Wah saya telah menjadi orang tengah antara kedua-duanya!

Sejak zaman berzaman ia menjadi laluan penting bagi perjalanan dari Xian ke Tibet dan laluan alternatif bagi Jalan Sutera. Pada abad ke-7, Gunung Riyue menjadi garis sempadan antara Dinasti Tang di China dan Kerajaan Tubo di Tibet.

Menurut sejarah, pada tahun 641 Puteri Wencheng anakanda Maharaja Taizong dari Dinasti Tang telah berangkat ke Tibet untuk mengahwini Raja Srongtsen Gampo yang memerintah Kerajaan Tubo.

Tiba-tiba saya teringat keberangkatan armada Puteri Hang Li Po dari Dinasti Ming untuk mengahwini Sultan Melaka, Sultan Mansur Syah (1456-1477) dan bersemayam di Bukit Cina. Kedua-dua puteri ini membawa aspirasi negara dengan menjunjung titah paduka ayahanda bagi memperkukuhkan hubungan diraja antara dua negara.

Dari bawah kaki gunung terdapat dua binaan di atas dua puncak gunung yang menarik perhatian. Astaka matahari dan astaka bulan adalah mercu tanda Gunung Riyue dan tugu peringatan bagi rombongan perkahwinan Puteri Wencheng dengan Raja Srongtsen Gampo mengakhiri pendakian ke gunung bersejarah silam ini.

Cerita bertulis dan lukisan hiasan di dalam astaka bagaikan inskripsi silam yang mengisahkan perkahwinan baginda berdua. Kisah perkahwinan diplomatik dan politik istana ini meransang saya untuk mengunjungi Istana Potala di Kota Lhasa, Tibet tempat bersemayam baginda berdua suatu hari nanti.

Lurah gunung antara dua astaka tersebut didirikan beberapa kedai menjual barangan kraftangan dan cendermata dari Tibet serta sewaan menunggang yak sebagai gambar kenang-kenangan. Dahulukala terdapat pasar besar di kawasan ini yang menjadi tempat pertukaran teh dan kain sutera dari China.

Gunung sepanjang 90 kilometer dengan puncak tertinggi 4,877 meter dari paras laut benar-benar membawa angin dingin walau cuaca sedikit panas.

Jika dahulu jantung sang puteri berdegup kencang di sini untuk menemui bakal suami, rasa di dada saya serupa kerana kedudukan altitudnya yang tinggi. Saya menyedut udara dalam-dalam dan kemudian menghela nafas panjang tanda kepuasan. Kenangan di sini akan kekal abadi selagi ada bulan dan matahari.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China