Oleh Zaidah, CRI
Perjalanan dari bandar Xining ke Taman Geologi Negara Guide mengambil masa lebih kurang kira-kira 3 jam, dengan jarak 120 KM. Perjalanan yang dikelilingi gunung-ganang nan menghijau pada mulanya, tiba-tiba berubah warna dan bentuk. Melihat pada perubahan itu, pasti ada sesuatu yang unik dan istimewa di taman negara tersebut.
Sepanjang eksplorasi di Taman Geologi Negara Guide, anda pasti akan terpesona melihat kepelbagaian bentuk landskap semula jadi yang terbentang luas di hadapan mata anda. Pada mulanya mungkin ada keraguan di dalam hati anda, adakah ini ciptaan sebenar atau buatan manusia? Namun, setelah menyaksikannya dengan mata kepala sendiri, segala kata-kata seolah-olah sudah tidak bermakna lagi. Yang tinggal hanyalah kekaguman dan kepesonaan yang sukar diungkapkan dan dijelaskan dengan kata-kata.
Hakikatnya, tiada yang mustahil di dunia ini. Setiap unsur yang terdapat di alam ini mempunyai pengaruh atau peranan masing-masing. Dari hari ke hari, hasil tindak balas daripada matahari, angin, air dan proses biologi, maka terbentuklah landskap atau bentuk muka bumi seperti yang anda lihat pada hari ini.
Dengan mengambil iktibar daripada proses semula jadi tersebut, kita seharusnya menyedari bahawa sekiranya kita mahu mencapai sesuatu kejayaan, teruslah berusaha tanpa jemu walaupun memakan masa bertahun-tahun kerana batu yang keras, apabila dititiskan air setiap hari, pasti akan berlekuk jua.