Cari:
Tasik Qing Hai, Saujana Mata Memandang
2016-08-01 15:36:15 CRI Cetak

Oleh Zaidah, CRI

Sekiranya tidak melihat sendiri Tasik Qing Hai tersebut, maka yang terlintas di fikiran hanyalah sebuah tasik yang besar kerana menurut fakta, Tasik Qing Hai merupakan tasik air masin yang terbesar di China. Namun, frasa "tasik air masin yang terbesar di China" boleh dikatakan frasa yang bersifat subjektif. Apabila seseorang mengatakan "terbesar", maka sejauh mana "terbesar" itu mampu dibayangkan dalam fikiran seseorang kerana darjah besar atau kecil bagi seseorang memang berbeza-beza, melainkan dapat dibandingkan dengan sesuatu yang lain, barulah benda atau perkara yang ingin dijelaskan itu dapat dihuraikan dengan tepat.

Namun, setelah melihat sendiri Tasik Qing Hai, hal yang sebaliknya pula berlaku. Terdapat ungkapan yang menyebut, apabila mata bertentang mata, lidah kelu untuk berkata. Sebenarnya, hal tersebutlah yang berlaku, tatkala tasik tersebut betul-betul berada di hadapan saya. Lidah menjadi kelu, mata seolah-olah tertancap dan hilang kata-kata seketika untuk mengungkapkan isi hati tentang Tasik Qing Hai.

Saya sendiri sukar menjelaskan sebesar mana sebenarnya Tasik Qing Hai itu. Namun, menurut pandangan saya, tasik itu boleh dikatakan sebesar samudera yang saujana mata memandang. Agak tidak logik bagi sebuah "tasik sebesar samudera" terletak kira-kira 3500 meter dari aras laut, tetapi begitulah hakikatnya.

Sebelum sampai di Tasik Qing Hai lagi hati sudah disapa mesra oleh hamparan bunga-bunga sesawi yang indah menguning, malah matahari seolah-olah tersenyum dengan memancarkan cahayanya yang cerah pada hari tersebut. Bukan setakat itu sahaja, gunung-ganang nan menghijau, langit nan membiru, awan-gemawan yang memutih seumpama tiga sahabat yang sudah berjanji untuk bertemu pada hari itu bagi meraikan kedatangan rombongan kami.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China