Oleh Azman Anuar
Terpukau! Itulah pandangan saya pada babak akhir persembahan teater Opera Sichuan yang terkenal itu.
Bagaimana pantas teknik yang digunakan untuk menukar topeng bersilih ganti dengan warna dan corak yang berlainan. Pasti ada caranya... Tetapi persoalannya bagaimana?
Fikiran saya lebih terpukau apabila watak pelakon hebat opera yang berpakaian yang hebat itu mampu menukar pakai yang berlainan warna secara sekelip mata. Tidak nampak pakaian itu jatuh di atas pentas. Bagaimana pertukaran itu dilakukan?
Tumpuan mata saya pada babak akhir persembahan teater itu ialah mencari di mana 'suiz' atau kunci pada pertukaran imej topeng dan pakaian itu. Sampai tamat persembahan, tidak ditemukan.
Terlintas di dalam fikiran saya, ini pertunjukan silap mata atau opera China?
Tontonan pada malam Selasa (9 Mei 2017) bukan pertama kali saya menonton opera China. Ini kali ketiga. Pertama kali di Beijing pada 2007, kali kedua di Shanzen pada 2013. Teater di Sichuan jauh berbeza.
Teater Opera Sichuan turut menampilkan seni kebudayaan China dan persembahan akrobatik seperti teater opera China yang lain. Namun keistimewaan Opera Sichuan terletak pada kepantasan pertukaran topeng pelbagai wajah pada muka pelakonnya. Bukan seorang tapi dilakukan juga oleh tiga pelakon lagi.
Tiada lagi persembahan opera yang melakukan pertukaran wajah topeng yang berbagai-bagai karektor dan warna dengan sekelip mata.
Saya pulang dengan rasa kagum dan puas. Terima kasih kepada pihak pelancongan China dan China Radio International (CRI) atas ikatan persahabatan sejak tiga tahun lalu, saya berpeluang menonton teater yang hebat ini.