Oleh: Faizal Riduan
Sebelum ini saya pernah pergi ke Kawah Putih, Ciwidey dan pastinya kunjungan ke Kolam Lima Warna di Lembah Huanglong, Chengdu akan menambah rekod destinasi keajaiban dunia saya.
Jika Kawah Putih dikatakan sebagai "syurga yang tercicir", Kolam Lima Warna pula dikatakan sebagai "tanah pari-pari di bumi", sebenarnya menggambarkan rahsia keajaiban alam yang tersimpan sejak ribuan tahun lalu.Keterujaan saya bermula apabila menaiki kereta kabel dan melihat keputihan banjaran gunung Minshan yang diselimuti oleh salji dan glasier.
Namun perjalanan lebih 3.6km sejak jam 10 pagi iaitu ketika matahari sedang naik amat memenatkan. Saya langsung tidak berpeluh kerana cuaca yang sejuk sama seperti salji yang masih belum mencair di atas pucuk daun dan puncak pokok.
Namun keberadaan pada ketinggian 3,576 meter dari paras laut memberikan tekanan udara menyebabkan saya agak sukar bernafas dan pening kepala.Mujur dengan pelantar pejalan kaki memudahkan pelawat berjalan secara santai dan tidak perlulah beraksi seperi seorang pendaki yang lebih mencabar dan merbahaya.
Setibanya di Kolam Lima Warna, kepenatan dan kelelahan hilang dengan serta-merta. Pemandangan kolam air bertingkat dengan warna kuning, hijau, biru dan coklat yang cantik ini adalah 'lukisan' geologi ribuan tahun lalu.
Kolam-kolam yang terevolusi dari teras travertine yang terbentuk dari endapan batu kapur dari sumber mata air panas di pergunungan ini menjadikannya khazanah alam yang kaya malah sebahagian dari senarai Warisan Dunia UNESCO sejak 1992.
Sayangnya sepanjang perjalanan pulang, saya tidak dapat menemui panda dan monyet hidung pendek keemasan yang pernah mempunyai habitatnya di sini. Adakah haiwan-haiwan ini akan menjadi seperti Naga Kuning yang hanya kekal dalam mitos dan lagenda? Saya akhirnya kembali penat dan lelah apabila sampai ke kaki gunung pada jam 4.00 petang.