Oleh: Faizal Riduan
Menonton persembahan kebudayaan di pentas panggung ketika melancong adalah satu pergembaraan menyusur masa lalu bagi mengenali sejarah sesuatu bangsa dan wilayahnya. Persembahan dalam bentuk lagu, tarian dan teater ini adalah suatu proses penceritaan visual yang lebih menarik, pendek dan mudah difahami berbanding dengan teknik penceritaan lisan atau bertulis.
Peluang menyaksikan persembahan kisah seribu tahun di panggung The Romance, Jiuzhaigou sebuah dearah autonomi etnik Tibet dan Qiang sudah tentulah bagaikan mengantuk disorong bantal dan kemudian dijelmakan dengan mimpi-mimpi yang indah.
Persembahan permulaan dengan lagu-lagu rakyat dan tarian tradisional yang dilengkapi dengan pakaian budaya etnik sungguh menarik dan mempesonakan. Lagu "Di Atas Puncak Gunung Dongshan" begitu merdu bagaikan nyanyian alam walaupun saya tidak memahami bait-bait liriknya.
Selepas terhibur dengan muzik, lagu dan tarian kebudayaan, emosi penonton dibawa dengan sebuah kisah cinta agung Shanglang dan kekasihnya dari cerita rakyat etnik Qiang yang sama hebatnya dengan kisah masyhur Romeo dan Juliet di Barat serta kisah Laila dan Majnun di Malaysia.
Cerita cinta tragik yang tak kesampaian yang berakhir dengan kematian pastinya meruntun perasaan semua penonton. Perasaan teragung untuk mencintai dan dicintai walau di mana ceruk dunia pun akan dikongsi oleh semua orang dan tanpa sedar saya terseka air mata.
Penonton kemudian dibawa dengan kisah sejarah Maharaja Taizong dari Dinasti Tang yang mengutuskan anakandanya Puteri Wencheng ke Tibet pada tahun 641 untuk mengahwini Raja Srongtsen Gampo yang memerintah Kerajaan Tubo bagi mendamaikan hubungan kesatuan negara dan negeri itu. Kehebatan dinasti beraja Cina ini terserlah dengan kehebatan kostum istana dan saya terasa seperti berada di dalam balai mengadap Istana Larangan.
Pergerakan pelakon dan penari dari tempat duduk belakang penonton membuatkan saya merasakan seolah-olah berada di atas pentas layar.
Persembahan malam itu benar-benar bertaraf antarabangsa dan lima bintang dengan persembahan yang penuh warna-warni sehingga saya merasakan sudah mengenali etnik Tibet, Qiang, Han dan Hui yang saling berkongsi Gunung Jiudingshan, Sungai Minjiang dan Tasik Diexi.
Panggung The Romance sememangnya bertaraf dunia dengan magis mendatangkan hujan dan banjir ke layar panggung sangat mengkagumkan! Saya tidak sangka sebuah panggung yang jauh dari ibu negara Beijing mampu mengadakan sebuah persembahan yang sebegitu hebat.
Turut dipentaskan ialah teater moden kisah cinta sekeluarga di sebalik tragedi gempa bumi yang melanda Sinchuan pada 2008 yang digabungkan dengan sorotan klip video bencana yang menyayat hati itu. Persembahan terakhir ini adalah satu tribut dan dedikasi kepada mangsa dan tanda solidariti kemanusiaan sejagat.
Kedatangan bantuan daripada tentera dan pasukan penyelamat yang berlari dari dinding panggung amat mengejutkan. Penggunaan perajurit dapat menyuntik semangat patriotik dan penonton lain kelihatan bangga dengan kemunculan pasukan berseragam tersebut.
Amat membanggakan apabila persembahan sebegini mendapat tempat di kalangan rakyat dan dengan ruang tempat duduk yang penuh, ini adalah suatu persembahan yang memecah rekod 'pecah panggung' (box office).
Persembahan panggung yang ditutup dengan binaan pagoda Buddha Tibet dan pergerakan kain mantera Buddha dari ruang atas kepala penonton telah mendapat 'standing ovatation' daripada penonton yang berdiri dan bertepuk tangan.
Saya turut terasa terharu dan hiba. Ini adalah satu klimaks dan kepuasan sebagai penonton yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kecuali rekemendasi agar anda juga menontonnya jika ke sini.
Ternyata persembahan pada malam tersebut sebagaimana selayaknya peranan seni budaya adalah untuk menyatukan rakyat dan masyarakat sedunia.