Usaha membangunkan Zon Ekonomi Teluk Beibu Guangxi dipandang sebagai salah satu strategi pembangunan negara apabila rancangan pembangunan yang berkaitan dengannya dikemukakan oleh Dewan Negara pada tahun 2008. Seiring dengan beroperasinya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN sejak 1 Januari lalu, Qinzhou, salah satu bandar Guangxi yang juga digariskan dalam usaha pembangunan Zon Ekonomi Teluk Beibu kini aktif memainkan peranannya sebagai platform untuk kegiatan perdagangan antara China dengan ASEAN.
Bandar Qinzhou yang terletak di selatan Wiayah Autonomi Zhuang Guangxi China menghadap kawasan perairan Teluk Beibu di selatan. Bandar itu mempunyai kemudahan pelabuhan paling sempurna di bahagian barat daya China, yang memainkan peranan penting dalam merancakkan kegiatan perdagangan antara pasaran di kawasan selatan China dengan negara-negara ASEAN. Rancangan Pembangunan Zon Ekonomi Teluk Beibu Guangxi yang dikemukakan oleh Dewan Negara pada tahun 2008 membuka peluang pembangunan dan juga cabaran kepada bandar Qinzhou. Sehubungan dengan itu, bandar itu telah menyusun semula strategi pembangunannya berdasarkan kelebihan istimewa dari segi geografi dan sumber. Naib Datuk Bandar Qinzhou, Huang Zhou berkata: "Usaha pembangunan bandar Qinzhou kini menumpukan kepada tiga perkara, iaitu pertama, pembanguan zon industri paling berprestasi di kawasan Teluk Beibu; kedua pusat pengangkutan laut dan pusat logistik yang mengendalikan kargo dalam perdagangan dengan ASEAN; ketiga, menuju ke arah bandar selesa untuk kehidupan dan perniagaan berdasarkan pemandangan alam semula jadi yang istimewa, terutama pemandangan pesisir pantai yang indah permai.
Menurut Naib Datuk Bandar itu, walaupun Qinzhou mempunyai kelebihan dari segi lokasinya yang menghadap pesisir pantai, namun bandar itu dianggap kurang maju kerana matlamat pembangunannya pada masa dahulu hanya menyasarkan kepada pembangunan pelabuhan perindustrian sahaja pada masa dahulu. Oleh itu, rancangan pembangunan Qinzhou perlu diubahsuai supaya ia selaras dengan strategi negara dan memainkan peranan dalam mengeratkan hubungan dengan ASEAN.
Menurut statistik, jumlah perdagangan antara bandar Qinzhou dengan negara-negara ASEAN hanya mencatat 6.15 juta dolar Amerika pada tahun 2002. Namun, angka itu telah meningkat kepada 520 juta dolar Amerika pada tahun 2008, iaitu meningkat 84 kali ganda. Negara-negara ASEAN selain daripada Laos, Brunei dan Myanmar telah melaksanakan projek pelaburan di bandar itu. Naib Datuk Bandar Qinzhou, Huang Zhou berkata: "Kami memberikan keutamaan kepada usaha pintu terbuka dalam menyusun rancangan pembangunan bandar ini. Oleh itu, selain daripada pembangunan pelabuhan perindustrian, kegiatan perdagangan, logistik dan pengangkutan laut juga perlu diambil berat oleh kerajaan."
Pada 29 Mei tahun 2008, kerajaan China telah meluluskan rancangan menubuhkan pelabuhan bebas tarif di Qinzhou. Di China, pelabuhan bebas tarif dianggap sebagai tempat yang mempunyai tahap keterbukaan yang paling tinggi, dasar keutamaan yang dilaksanakannya paling lengkap, dan lengkap dengan pelbagai jenis kemudahan, khususnya perkhdimatan kastam yang paling efisien. Zon bebas tarif yang didirikan di Qinzhou merupakan satu-satunya yang terletak di kawasan pesisir pantai barat China, dan paling berdekatan dengan negara-negara ASEAN.
Naib Datuk Bandar itu berkata, kini Qinzhou sedang giat membina landasan kereta api yang menghubungkan bandar Nanning, iaitu ibu kota Guangxi dengan Qinzhou dan kawasan pelabuhan dan zon bebas tarif, bagi merealisasikan pengangkutan kereta api laju, mudah dan efisien. Di samping itu, Qinzhou juga berusaha membangunkan pangkalan logistik berskala besar dengan menarik kemasukan beberapa syarikat logistik moden. Usaha pembangunan pangkalan logistik tersebut bertujuan memberikan perkhidmatan logistik yang efisien dengan kos yang rendah bagi kegiatan perdagangan antara syarikat domestik dengan negara ASEAN. Kata beliau: "Beberapa kumpulan pimpinan telah didirikan oleh kerajaan Qinzhou bagi menjayakan strategi pembangunan kita. Ini termasuk kumpulan pimpinan bagi pembangunan pelabuhan. Demi merancakkan kerjasama dengan ASEAN, usaha pembangunan pelabuhan kita tidak boleh hanya menumpukan kepada peningkatan jumlah muatan dan punggahan sahaja, malah perlu memberikan keutamaan kepada perkhidmatan pengangkutan dan perkhidmatan dengan nilai tambah yang tinggi dalam bidang yang lain. Di samping itu, kumpulan pimpinan bagi perkembangan industri ditubuhkan untuk meneliti pasaran di negara ASEAN dan meneroka ruangan kerjasama industri dengan negara ASEAN. Kumpulan pimpinan berhubung usaha mempergiat kerjasama luar pula menumpukan kepada peningkatan kerjasama dengan ASEAN, khususnya kerjasama dalam Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA)."
Beberapa projek pembinaan berskala besar bakal menyaksikan pembangunan pesat di Qinzhou pada masa akan datang. Projek-projek pembinaan yang besar itu termasuk, pembangunan pelabuhan yang jumlah muatan dan punggahan tahunan melebihi seratus juta tan, pangkalan penapisan petroleum yang jumlah pengeluaran tahunannya melebihi 10 juta tan, pangkalan simpanan minyak asli yang dapat menyimpan 20 juta meter padu dan kilang pengeluar kertas dengan jumlah pengeluaran tahunannya mencatat 3.1 juta tan. Selain itu, beberapa kilang besar yang melibatkan industri minyak makanan, produk elektronik dan peleburan logam juga dirancang untuk dibina di kawasan sekitar Pelabuhan Qinzhou. Menurut Naib Datuk Bandar, Huang Zhou Qinzhou akan memainkan peranan sepenuhnya zon perlindungan tarif di samping mengambil peluang daripada CAFTA, yang menyumbang kepada peningkatan kerjasama China-ASEAN. Kata beliau: "Usaha membangunkan zon bebas tarif dan membina kemudahan infrastruktur kita menyasarkan matlamat memudahkan kegiatan perdagangan dengan ASEAN. Di samping itu, beberapa pendekatan dari segi kewangan juga akan dilaksanakan bagi merancakkan kerjasama dengan ASEAN, termasuk penjelasan akaun bagi perdagangan dua hala dengan mata wang RMB.








