Cari:
Negara-Negara ASEAN Bertindak demi Komuniti ASEAN
2010-04-08 15:53:56 CRI Cetak

Sidang Kemuncak ASEAN ke-16 dijadualkan berlangsung di Hanoi, Vietnam hari ini hingga esok. Sidang yang bertema "Mara ke Arah Komuniti ASEAN: dari Wawasan ke Tindakan" ini akan terus menggalakkan pelaksanaan Piagam ASEAN, pembinaan komuniti ASEAN, dan membincangkan kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN bagi fasa pascakrisis kewangan.

Vietnam telah dipilih menjadi negara pengerusi bergilir ASEAN sejak 1 Januari tahun ini. Sidang kemuncak ini merupakan sidang pertama yang dianjurkan oleh Vietnam pada tahun ini. Ketika diwawancara oleh Agensi Vietnam baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Vietnam, Pham Gia Khiem menyatakan bahawa sidang kemuncak kali ini amat bermakna untuk mendorong pembinaan komuniti ASEAN, dan akan menetapkan pedoman bagi kerjasama antara negara-negara ASEAN. Mengadakan sidang kemuncak kali ini amat bermakna bagi Vietnam dan ASEAN, kerana ia akan menjadi permulaan yang baik bagi semua aktiviti ASEAN pada tahun ini.

Untuk itu, kerajaan Vietnam terus menyusun agenda bagi sidang kemuncak ini. Vietnam telah memindahkan tempat sidang itu dari bandar Ho Chi Minh ke Hanoi, dan menambah siri mesyuarat antara pegawai kerajaan negara-negara ASEAN dalam bidang kebudayaan dan ekonomi dua hari sebelum sidang kemuncak tersebut dimulakan.

"Mara ke Arah Komuniti ASEAN: dari Wawasan ke Tindakan" merupakan tema sidang kemuncak kali ini. Negara-negara ASEAN merancang untuk membina Komuniti ASEAN menjelang tahun 2015, maka itu, 2010 dianggap sebagai tahun yang amat penting. Dalam sidang kemuncak kali ini, negara-negara ASEAN akan menetapkan arah, dan memastikan projek dan rancangan kerjasama dilaksanakan dalam rangka ASEAN. Ini juga akan menjadi penjana dan mempercepat pencapaian matlamat tersebut.

Dalam sidang kemuncak kali ini, pemimpin negara-negara ASEAN akan membincangkan dan melaksanakan Piagam ASEAN, mempercepat proses pembinaan komuniti ASEAN, membincangkan peranan ASEAN dalam pemulihan ekonomi dan pembangunan yang berterusan, dan kaedah menangani cabaran global, seperti perubahan iklim. Dalam sidang tersebut, dua perisytiharan dijangka dikeluarkan, iaitu "Perisytiharan Pemimpin tentang Pembangunan Semula Ekonomi dan Perkembangan Berterusan" dan "Perisytiharan Kerjasama untuk Menangani Perubahan Iklim". Dokumen tersebut akan menjadi dasar bagi negara-negara ASEAN untuk terus meningkatkan kerjasama dan menangani cabaran bersama.

Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung merasmikan sidang yang diadakan petang ini, dan mengadakan sidang akhbar selepas sidang kemuncak itu ditutup esok. Presiden Vietnam, Nguyen Minh Triet pula akan mengadakan pertemuan dan meraikan pemimpin negara-negara ASEAN dalam satu jamuan rasmi.

Pham Gia Khiem menyatakan bahawa pihaknya juga akan menggunakan peluang ini untuk mempamerkan citra negara Vietnam yang aman, stabil, makmur dan mempunyai sejarah dan budaya yang lama. Vietnam telah mengadakan Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Asia-Pasifik (APEC) pada tahun 2006. Sidang kemuncak ASEAN kali ini merupakan satu sidang kemuncak di rantau ini yang dianjurkan oleh Vietnam beberapa tahun kebelakangan ini, dan juga menjadi jendela yang baik untuk memperlihatkan citra Vietnam pada zaman yang baru.

Seramai lebih 600 orang wartawan dari dalam dan luar Vietnam dikatakan telah mendaftar untuk membuat liputan tentang sidang kemuncak ini. Vietnam akan "berusaha meninggalkan tanggapan yang baik kepada media antarabangsa". Selain itu, tahun 2010 juga merupakan ulang tahun ke-1000 terbinanya bandar Hanoi. Oleh itu, pelbagai aktiviti sedang diadakan di bandar tersebut. Memilih Hanoi sebagai tempat sidang kemuncak tersebut juga membawa makna yang istimewa.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China