Cari:
Dato' Wong Foon Meng: Kerjasama Malaysia-China Capai Kemajuan yang Cukup Memuaskan
2010-04-08 16:43:55 CRI Cetak

Atas undangan Pengerusi Jawatankuasa Kebangsan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC), Jia Qinglin, Yang Di-Pertua Dewan Negara Malaysia, Dato' Wong Foon Meng telah mengadakan lawatan selama 4 hari di China bermula 6 April lalu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan CRI di Beijing baru-baru ini, Dato' Wong Foon Meng berkata, Parlimen Malaysia bersedia merapatkan pertukaran dan kerjasama dengan Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) dan Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC), bagi meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara ini ke satu tahap yang lebih tinggi. Menurut beliau, sudah terbukti bahawa peningkatan hubungan kerjasama antara Malaysia dengan China telah membawa manfaat yang semakin besar kepada rakyat kedua-dua negara.

Ketika menyebut tentang perkembangan hubungan dua hala Malaysia-China pada beberapa tahun yang lalu, Dato' Wong Foon Meng berkata: "Hubungan dua hala Malaysia-China semakin rapat, di mana kita dapat lihat kerjasama dalam pelbagai bidang telah mencapai keputusan yang lebih baik. Umpamanya dalam bidang ekonomi, kita mendapat kerjasama daripada negara China dalam mempereratkan lagi aktiviti-aktiviti perdagangan dan juga pelaburan di Malaysia oleh peniaga-peniaga dari negara China. Kita juga dapat melihat ramai usahawan dan pelabur telah pun mendapat banyak manfaat dan keuntungan di China. Begitu juga dalam bidang pelancongan, jumlah pelancong dari China yang melawat Malaysia telah bertambah dari setahun ke setahun. Pada tahun 2009 sahaja, lebih satu juta pelancong dari China telah melawat ke Malaysia. Dari segi perdagangan dua hala, pada tahun lepas, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara telah melebihi 50 bilion dolar Amerika. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup baik, malah jumlah ini dicapai lebih awal daripada matlamat yang kita tetapkan sebelum ini. Pada masa akan datang, masih terdapat potensi yang besar dalam kerjasama antara kedua-dua negara."

Ketika memberikan cadangan untuk mempergiatkan lagi pertukaran dan kerjasama antara Parlimen Malaysia dengan CPPCC dan NPC pada masa akan datang, Dato' Wong Foon Meng berkata: "Dari segi kerjasama di antara Parlimen Malaysia dengan CPPCC dan wakil NPC, saya telahpun mencadangkan supaya selain daripada hubungan di antara pemimpin kedua-dua pihak, kita perlu juga mengadakan lawatan yang lebih kerap di antara ahli-ahli Parlimen Malaysia ke China, dan juga anggota CPPCC dan NPC ke Malaysia. Kalau ini dapat dilakukan, saya yakin dan percaya hubungan di antara badan legislatif kedua-dua negara akan lebih erat lagi. Ini akan turut membantu perhubungan dua hala antara Malaysia dengan China."

Kini, hubungan kerjasama antara China dengan Malaysia dan pelbagai negara ASEAN yang lain terus meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan prinsip saling menguntungkan, khususnya dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Ketika diminta memberikan pandangan terhadap perkembangan hubungan antara China dengan ASEAN pada masa ini, Dato' Wong Foon Meng berkata: "Di antara langkah-langkah ataupun peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam konteks ini, iaitu melalui perhubungan kita dengan negara-negara ASEAN yang lain, di mana kita perlu ingat ASEAN sebagai satu pertubuhan 10 negara yang mempunyai penduduk lebih kurang 500 juta perlu menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan China yang merupakan satu kuasa besar dalam ekonomi dan perdagangan, dan ASEAN perlu menjadikan China sebagai rakan perdagangan yang mustahad. Jadi, Malaysia perlu memainkan peranan untuk memujuk negara-negara ASEAN yang lain supaya memberitahu mereka tentang pentingnya hubungan perdagangan yang lebih erat dengan China."

Pada akhir temu bual tersebut, Dato' Wong Foon Meng juga memberikan penghargaan yang tinggi di samping melahirkan harapan yang tinggi kepada Ekspo Dunia 2010 yang akan dirasmikan di Shanghai pada bulan Mei nanti. Kata beliau: "Saya melihat Ekspo Dunia yang akan diadakan di Shanghai pada bulan Mei ini merupakan satu aktiviti yang cukup penting, di mana kita dapat lihat banyak negara mengambil bahagian dalam ekspo yang besar ini. Saya yakin, Malaysia sebagai satu negara yang mempunyai hubungan perdagangan yang rapat dengan China akan mengambil bahagian dengan menghantar ramai peniaga dan usahawan ke ekspo tersebut."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China