Sidang Kemuncak ASEAN ke-16 yang bertema "Mara ke Komuniti ASEAN: dari Wawasan ke Tindakan" telah dirasmikan di Hanoi, Vietnam petang semalam. Negara-negara ASEAN akan bertindak bersama untuk mencapai matlamat mweujudkan komuniti ASEAN menjelang tahun 2015.
Dengan lagu yang bertajuk "Perjalanan ASEAN" yang dinyanyikan bersama-sama itu, Sidang Kemuncak ASEAN ke-16 telah dirasmikan.
Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung menyatakan dalam majlis perasmian tersebut bahawa tahun 2010 amat bermakna bagi ASEAN. Pada satu pihak, negara-negara ASEAN bersikap optimis terhadap pulihnya ekonomi serantau dan global, terutamanya pelbagai entiti ekonomi ASEAN. Pada pihak yang lain, pembangunan yang menyeluruh dan berterusan tetap perlu kepada masa dan usaha, terutamanya untuk menentukan arah yang betul dan tindakan yang berkesan. Selain itu, cabaran global, seperti perubahan iklim, bencana alam dan penyakit berjangkit tetap memberikan kesan yang negatif kepada ASEAN. Kata beliau,
"Kita perlu berganding bahu, mengambil tindakan untuk mencapai matlamat dan melaksanakan rancangan yang telah ditetapkan. 'Mara ke komuniti ASEAN: dari wawasan ke tindakan' yang dipilih sebagai tema ASEAN pada tahun ini memperlihatkan matlamat yang utama dan hasrat yang berkobar-kobar untuk bertindak bagi ASEAN."
Menurut Nguyen Tan Dung, tugas penting sidang kemuncak tersebut adalah untuk menetapkan arah dan tindakan bagi mempercepat pembinaan komuniti ASEAN, dan meningkatkan kemampuan ASEAN untuk menangani cabaran serantau dan global. Walaupun telah mencapai kemajuan dalam pelaksanaan "Piagam ASEAN" dan "Peta Garisan Komuniti ASEAN", namun negara-negara ASEAN masih perlu menyelesaikan lebih banyak tugas. Kata beliau,
"Lebih banyak usaha perlu dibuat untuk mengukuhkan Piagam ASEAN, terutamanya dokumen undang-undang yang sempurna untuk membaiki struktur pertubuhan baru ASEAN dan meningkatkan keberkesanan pertubuhan itu."
Nguyen Tan Dung juga menegaskan bahawa pemulihan ekonomi dan pembangunan yang berterusan kini menjadi tumpuan utama baik bagi ASEAN mahupun masyarakat antarabangsa.
"Disebabkan entiti-entiti ekonomi ASEAN berkait erat dan saling bergantung, maka negara-negara ASEAN perlu membangun secara serentak dari tiga aspek. Pertama, mempercepat integrasi ekonomi ASEAN, dan membentuk kaedah yang sesuai dengan pembangunan ekonomi yang berterusan; Kedua, meningkatkan kerjasama ekonomi dan kewangan di Asia Timur, dan mengekalkan kedudukan utama ASEAN; Dan, ketiga, berusaha dengan masyarakat antarabangsa untuk menyelesaikan masalah global."
Nguyen Tan Dung menambah, selain mempercepat integrasi dalaman, ASEAN juga perlu terus mengembangkan hubungan dengan pihak luar, untuk mendapatkan lebih banyak sokongan bagi pembinaan komuniti ASEAN dan terus meningkatkan kedudukan ASEAN dalam masyarakat antarabangsa. Untuk itu, ASEAN sepatutnya meningkatkan kerjasamanya dengan negara luar melalui mekanisme dialog peringkat pemimpin dan menteri, di samping menggalakkan peningkatan tahap kerjasama ASEAN+3, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN.
Selain Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, pemimpin-pemimpin utama dari negara-negara ASEAN juga turut menghadiri majlis perasmian semalam. Namun, Abhisit akhirnya terpaksa membatalkan rancangan lawatannya ke sidang kemuncak itu kerana adanya tunjuk perasaan antikerajaan pasukan "baju merah", dan menghantar Menteri Luarnya, Kasit Piromya untuk menyertai sidang kemuncak tersebut.
Dimaklumkan, sidang kemuncak tersebut sudah ditutup hari ini. Pemimpin negara-negara ASEAN mengeluarkan kenyataan untuk mengekalkan trend pemulihan ekonomi dalam latar belakang krisis kewangan.