Cari:
Thailand Aktif Ambil Bahagian dalam Ekspo Dunia 2010 di Shanghai
2010-04-23 15:21:10 CRI Cetak

Kerajaan Thailand kini memberikan keutamaan kepada usaha menyertai Ekspo Dunia 2010 di Shanghai dan giat membina dewan pamerannya yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ketika ditemubual oleh wartawan CRI baru-baru ini, Ketua Konsulat Thailand ke Shanghai, Piroon Laismit memberikan penghargaan yang tinggi dan melahirkan harapan yang tinggi terhadap penganjuran Ekspo Dunia di Shanghai nanti. Kata beliau: "Ekspo Dunia 2010 merupakan satu lagi aktiviti peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh China selepas penganjuran Sukan Olimpik di Beijing pada tahun 2008, malah ia mencatat skop yang paling besar dalam sejarah ekspo itu. Rakyat Thailand amat menanti-nantikan Ekspo Dunia di Shanghai. Kerajaan pula aktif melakukan pelbagai kerja persiapan untuk menyertai ekspo tersebut.

Menurut Encik Piroon Laismit, penyertaan dalam Ekspo Dunia di London pada tahun 1862 merupakan pengalaman pertama bagi Thailand mengambil bahagian dalam ekspo yang bertaraf antarabangsa. Penyertaan dalam ekspo itu memberikan kesan mendalam kepada perkembangan Thailand dalam tempoh beberapa dekad selepas itu, terutamanya dalam mendorong perdagangan dan pelaburan serta meningkatkan prestasi di arena antarabangsa. Selepas itu, Thailand sentiasa mengambil bahagian dalam Ekpso Dunia hinggalah sekarang."

Menurut Ketua Konsulat itu, kerajaan dan rakyat Thailand menunjukkan minat yang besar terhadap Ekspo Dunia di Shanghai bukan kerana ia merupakan satu peluang untuk mempromosi diri sendiri kepada dunia sahaja, malah penyertaan Thailand memperlihatkan rasa persahabatan dengan China. Katanya: "Ini merupakan kali pertama Ekspo Dunia ini diadakan di China. Hubungan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara terjalin sejak sekian lama. Oleh itu, kerajaan dan rakyat Thailand tetap memberikan sokongan dan perhatian besar kepada Ekspo Dunia 2010. "

Ketua Konsulat memaklumkan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia telah ditugaskan untuk mengendalikan urusan untuk menyertai Ekspo Dunia di Shanghai. Di samping itu, beberapa badan kerajaan yang lain, termasuk Kementerian Perdagangan, Kementerian Kebudayaan, Kementerian Pelancongan dan Kesukanan juga diminta memberikan kerjasama sepenuhnya. Selain itu, kerajaan Thailand juga menggalakkan masyarakat awam memberikan cadangan terhadap usaha menyertai ekspo tersebut. Encik Piroon Laismit berkata: "Kerajaan telah mengadakan aktiviti promosi Ekspo Dunia di Shanghai pada November tahun lalu. Barang dan konsep yang bakal dipamerkan dalam ekspo itu telah ditunjukkan kepada penduduk awam untuk mendapatkan cadangan daripada mereka. Ini berfaedah bagi menonjolkan negara ini secara lebih menyeluruh dalam Ekspo Dunia, di samping itu, meningkatkan masyarakat awam bahawa penyertaan ke dalam ekspo bukanlah hal kerajaan semata-mata, tetapi ia memerlukan usaha rakyat."

Ketika menyebut tentang pembinaan dewan pameran Thailand dalam Ekpso Dunia, Ketua Konsulat itu berkata, konsep reka bentuk dewan pameran telah ditukar selepas mendengar cadangan daripada pelbagai pihak. Beliau berkata: "Reka bentuk dewan pameran tidak menekankan kepada kemodenan, tetapi mengutamakan gaya pembinaan tradisional. Bersesuaian dengan tema utama ekspo, iaitu 'bandar yang lebih baik memberikan kehidupan yang lebih baik', maka dewan pameran Thailand menekankan tema 'kaedah hidup yang boleh berterusan'. Para pengunjung boleh menghayati sejarah dan kebudayaan cemerlang dan kemakmuran negara ini pada zaman moden. Selain itu, kerjasama ekonomi dan pertukaran kebudayan antara Thailand dengan China juga turut dipamerkan dalam dewan pameran ini."

Menurut Encik Piroon Laismit, dewan pameran Thailand dijangka menarik kunjungan seramai 6 juta orang pengunjung dalam tempoh 6 bulan ketika ekspo ini berlangsung. Kerajaan Thailand meletakkan harapan yang tinggi kepada ekspo ini dalam memulihkan industri pelancongan negara itu yang dilanda kesan negatif kemerosotan ekonomi dan pergolakan politik. Ketua Konsulat itu berkata: "Kami berharap keistimewaan asli Thailand boleh ditunjukkan dalam Ekspo Dunia, termasuk sejarah yang lama, kebudayaan yang gemilang, bangunan yang unik dan pemandangan yang indah. Kesemua ini diharapkan boleh menarik minat para pelancong asing untuk melawat Thailand, sehingga membantu memulihkan industri pelancongan kita. Dalam aspek perdagangan dan pelaburan pula, melalui ekspo ini, kami berharap lebih banyak syarikat China mengetahui tentang Thailand dan menjalinkan hubungan kerjasama dengan syarikat kita. Ekspo Dunia ini juga diharapkan memainkan peranan dalam menggalakkan syarikat Thailand meneroka pasaran China."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China