Myanmar antara negara anggota ASEAN yang mempunyai kawasan pedalaman paling luas dan sumber alam semula jadi yang amat kaya. Beberapa jenis sumber alam seperti gas asli, batu jed dan kayu jati merupakan barangan eksport utama bagi Myanmar. Menurut statistik, 40% daripada eksport Myanmar dieksport ke negara ASEAN pada beberapa tahun yang lalu. Selepas beroperasinya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) sejak 1 Januari tahun ini, tarif perdagangan telah dibatalkan antara China dengan 6 negara anggota ASEAN yang lama, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei. Apakah kedudukan ini akan menimbulkan persaingan yang lebih sengit kepada sektor pengeksport di Myanmar?
Dalam satu temu bual yang diadakan bersama wartawan CRI, Naib Menteri Rancangan dan Pembangunan Ekonomi Myanmar, Thu Raing Zaw berkata, gas asli merupakan produk utama eksport Myanmar, manakala kayu jati dan batu jed Myanmar mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Oleh yang demikian, dengan beroperasinya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN ia tidak akan memberikan cabaran yang besar kepada pengeksportan Myanmar. Kata beliau: "Jumlah perdagangan antara Myanmar dengan China dijangka meningkat selepas beroperasinya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN. Bagaimanapun, bahan mentah termasuk hasil pertanian, hasil perikanan, kayu dan hasil perlombongan merupakan barangan utama eksport Myanmar. Oleh yang sedemikian, usaha eksport kami tidak boleh bergantung kepada pengeksportan bahan mentah sahaja. Kini, Myanmar sedang berusaha meneroka pasaran di samping meningkatkan kualiti dan daya saing produk sendiri di pasaran serantau."
Demi mengambil peluang daripada CAFTA, kerajaan Myanmar telah melaksanakan pelbagai pendekatan untuk mengubahsuai struktur industri dan perdagangan. Kata Naib Menteri Rancangan dan Pembangunan Ekonomi itu: "Kami selalu mengingatkan usahawan domestik supaya meningkatkan kualiti produk mereka bagi menghadapi persaingan selepas beroperasinya CAFTA dan selepas pembatalan tarif. Di samping itu, kami juga berharap China akan menurunkan tarif perdagangan dengan skop yang lebih besar kepada Myanmar dan memberikan sokongan kepada kita dalam bidang teknologi dan pembinaan infrastruktur."
China yang berjiran dengan Myanmar tetap merupakan pasaran eksport utama bagi negara itu. Jumlah eksport Myanmar ke China mengalami penurunan pada tahun lalu akibat kemerosotan ekonomi sejagat. Namun, Thu Raing Zaw tetap berkeyakinan terhadap masa depan hubungan perdagangan kedua-dua negara pada tahun ini. Katanya: "Eksport Myanmar ke China menurun 11% pada tahun 2009 akibat krisis kewangan global. Selain itu, nilai dolar Amerika yang menurun dan nilai mata wang Myanmar yang meningkat menyebabkan kos eksport kita bertambah, sehingga kehilangan sebahagian pasaran. Walau bagaimanapun, saya memandang baik prospek usaha eksport kita pada tahun ini kerana ekonomi dunia dijangka pulih dan eksport beberapa produk kita akan bertambah seperti beras dan getah."
Kegiatan perdagangan antara Mynamar dengan China dianggap saling melengkapi. Antara barangan utama yang diimport oleh Myanmar dari China termasuk simen, keluli, mesin dan barangan elektronik. Menurut Thu Raing Zaw, produk yang dimport dari China itu boleh membantu pembinaan lalu lintas dan kemudahan infrastruktur di Myanmar sehingga mendorong perkembangan ekonomi negara itu. Usaha import-eksport melalui pintu keluar masuk Ruili, provinsi Yunnan China merupakan 26% daripada jumlah keseluruhan perdagangan China-Myanmar. Muse di sebelah Myanmar pula merupakan pintu keluar masuk yang bersempadan dengan Ruili, China. Jumlah import-ekport melalui Muse merupakan 75% daripada jumlah perdagangan luar di kawasan sempadan Myanmar. Pada bulan September tahun 2009, Bank Pusat China telah bersetuju untuk Bank Ekonomi Myanmar membuka akaun mata wang RMB di bank komersialnya di kawasan sempadan Provinsi Yunnan, bagi memudahkan kegiatan perdagangan di kawasan sempadan kedua-dua negara, khususnya dalam aspek penjelasan akaun. Encik Thu Raing Zaw berkata: "Dengan usaha sama bank kedua-dua negara ini, penjelasan akaun barangan yang diperdagangkan di kawasan sempadan boleh dibuat secara langsung dengan mata wang RMB, tidak perlu lagi ditukar kepada dolar Amerika. Hal ini akan merancakkan kegiatan perdagangan di kawasan sempadan."








