Cari:
Naib Presiden Filipina: Bandar yang Lebih Baik Memberi Kehidupan yang Lebih Baik" Merupakan Matlamat Bersama Seluruh Dunia
2010-05-09 17:48:33 CRI Cetak

Ekpso Dunia 2010 telah dirasmikan di Shanghai pada 1 Mei lalu. Tema utama ekspo ini iaitu "Bandar yang Lebih Baik Memberi Kehidupan yang Lebih Baik" turut menarik perhatian daripada para peserta dan pemimpin pelbagai negara. Dalam satu temubual bersama wartawan CRI baru-baru ini, Naib Presiden Filipina, Noli De Castro berkata, tema utama Ekspo Dunia Shanghai ini mencerminkan matlamat bersama seluruh dunia.

Beliau yang melawat Shanghai khusus untuk mempromosi pavilion Filipina dalam Ekspo Dunia berkata: "Ekspo Dunia yang diadakan di Shanghai mempunyai erti yang amat penting. Ekspo ini menyasarkan untuk mempromosikan kebudayaan yang istimewa pelbagai negara dan meningkatkan persefahaman antara rakyat di seluruh dunia. Ramai orang yang mengharapkan untuk menyaksikan ekspo ini dengan mata kepala mereka sendiri kerana ia diadakan dengan skop yang begitu besar dan juga dengan pelbagai kemudahan yang amat sempurna dan moden."

Noli De Castro merangkap Presiden Suruhanjaya Penyelarasan Rumah dan Pembangunan Bandar menceburkan diri dalam usaha pembangunan bandar sejak sekian lama. Oleh itu, beliau sendiri mempunyai fahaman yang lebih mendalam terhadap tema utama ekspo ini. Kata beliau:"'bandar yang lebih baik memberi kehidupan yang lebih baik' merupakan matlamat bersama yang dikejar oleh pelbagai negara di dunia. Di sini, 'bandar yang lebih baik' bukan hanya bermaksud kekayaan dari segi fizikal sahaja, seperti kemudahan infrastruktur yang sempurna dan pembinaan bangunan pencakar langit, tetapi ia juga bergantung kepada rasa kebahagiaan penduduk yang hidup di bandar ini. Oleh itu, pembangunan bandar seharusnya dilakukan berdasarkan prinsip mengutamakan manusia supaya hasil pembangunannya boleh memberikan manfaat kepada rakyat."

Naib Presiden Filipina itu telah melawat ke Shanghai menjelang perasmian Ekspo Dunia, dan menyertai pelbagai aktiviti untuk mempromosi pavilion negaranya dalam ekspo ini. Ketika menyebut tentang konsep reka bentuk pavilion Filipina, Noli De Castro berkata, pavilion Filipina dibina berdasarkan konsep "Performing Cities". Seni binanya yang berbentuk tangan memperlihatkan keperibadian bangsa Filipina dan kedinamikan bandar. Kata beliau: "Tangan penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh dilihat di dinding luar pavilion Filipina. Ini memperlihatkan kebudayaan majmuk dan keperibadian istimewa lagi berwarna-warni yang dimiliki oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini. Para pengunjung boleh memahami kebudayaan kita, iaitu walaupun menghadapi masalah yang agak sulit, namun rakyat tetap optimis terhadap kehidupan dan bersatu padu untuk mencipta masa depan yang cerah."

Ekspo Dunia Shanghai dianjurkan ketika ekonomi dunia masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis kewangan global. Negara-negara di dunia, baik negara yang maju ataupun negara membangun perlu mengambil iktibar daripada krisis kewangan kali ini. Menurut Encik Noli De Castro, interaksi multilateral kini amat penting bagi pelbagai negara untuk mengatasi krisis kewangan. Dalam konteks ini, Ekspo Dunia Shanghai telah menyediakan satu wadah yang besar untuk membincangkan kaedah dan kerjasama bagi menangani krisis. Kata beliau: "Berlakunya krisis kewangan global membuktikan negara-negara di dunia saling bergantung, dan tiada sebarang negara boleh menangani krisis itu secara sendirian. Kerjasama pelbagai hala perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko daripada krisis kewangan. Sebagai anggota daripada Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, krisis kewangan menunjukkan bahawa sekarang sudah tiba masanya untuk kita bersatu padu dan bekerjasama. Sebagai sebuah negara yang besar, China telah merealisasikan pembangunan yang amat pesat dan menjalinkan kerjasama yang amat baik dengan negara jiran. Pada pendapat saya, kerjasama ini tidak boleh hanya menumpu kepada ekonomi sahaja, tetapi juga perlu dilakukan dalam bidang kebudayaan."

Dalam temu bual tersebut, Encik Noli De Castro juga memberitahu wartawan bahawa semasa bersekolah rendah, beliau mula mengetahui tentang China dengan mendengar program siaran radio CRI. Menurut beliau, interaksi kebudayaan dan maklumat bukan sahaja berfaedah bagi meningkatkan persefahaman antara rakyat kedua-dua negara, tetapi juga membantu bagi menangani pelbagai cabaran. Beliau turut memberikan penghargaan yang tinggi kepada sumbangan istimewa yang dibuat oleh CRI. Kata beliau: "Siaran bahasa Filipina CRI menyediakan satu jambatan kepada rakyat China dan Filipina untuk melakukan interaksi dalam bidang kebudayaan. Dengan usaha CRI ini, rakyat boleh mengetahui tentang berita-berita yang berlaku di kedua-dua negara ini. Hubungan di kalangan rakyat antara kedua-dua negara akan menjadi lebih kukuh lagi jika kita terus mempergiatkan interaksi dalam bidang maklumat. Pada pendapat saya, negara-negara di dunia sepatutnya saling membantu, mempelajari dan meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan kebudayaan."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China