Cari:
Pavilion Brunei dalam Ekspo Dunia: Sekarang untuk Masa Depan
2010-05-12 16:30:01 CRI Cetak

Ekspo Dunia 2010 yang bertema "Bandar Lebih Baik Berikan Kehidupan Lebih Baik" telah dirasmikan di Shanghai, China pada 1 Mei lalu. Ekspo yang disertai oleh 246 buah negara dan organisasi antarabangsa serta perusahaan China dan luar negara dijangka menghimpunkan lebih 70 juta pengunjung sepanjang enam bulan penganjurannya. Brunei Darussalam antara negara yang mendirikan pavilion sendiri di Taman Ekspo Dunia yang berkeluasan 5.3 kilometer persegi. Sejak Ekspo Dunia berlangsung, Pavilion Brunei yang dihiasi dengan reka bentuk unik yang melambangkan identiti kebudayaan tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang ramai. Walaupun tidak dapat bersaing dengan pavilion sesetengah negara yang bersaiz gergasi, namun pavilion Brunei tetap mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh ditampilkan, terutamanya sejarah dan budayanya yang unik, serta beberapa destinasi pelancongannya yang terkenal, seperti Kampung Ayer, Taman Negara Temburong yang mempunyai pemandangan yang indah dan mempesonakan.

Pavilion Brunei menjadi lebih popular dengan penganjuran aktiviti "Hari Pavilion Kebangsaan Brunei" di Taman Ekspo Dunia pada 8 Mei lalu. Aktiviti tersebut disempurnakan oleh Menteri Hal-Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Brunei Darussalam, Putera Mohamed Bolkiah. Ketika berucap merasmikan "Hari Pavilion Kebangsaan Brunei", beliau berkata, Ekspo Dunia di Shanghai merupakan peluang yang penting untuk meningkatkan lagi persahabatan antara Brunei Darussalam dengan China, khususnya kerana ia menyediakan wadah untuk mengimbas kembali perkembangan hubungan kedua-dua negara yang cukup membanggakan sejak beratus-ratus tahun lalu, yang menyaksikan kemakmuran pada masa ini dan menjangkau masa depan yang memberangsangkan."

Kemeriahan aktiviti "Hari Pavilion Kebangsaan Brunei" juga dihangatkan dengan pertunjukan upacara perkahwinan tradisional Brunei dan persembahan muzik dan tarian yang istimewa.

"Sekarang Untuk Masa Depan", inilah tema utama Pavilion Brunei dalam Ekspo Dunia di Shanghai. Pameran dalam pavilion negara itu menumpukan kepada lima aspek, iaitu kebudayaan dan sejarahnya; kemajuan yang dicapai dalam pembangunan; keadaan alam semula jadi dan kepelbagaian sumber ekologi; matlamat dalam perkembangan sosioekonomi dan juga masakan Brunei yang bercita rasa asli. Daripadanya, wawasan pembangunan negara menjelang tahun 2035 merupakan satu komponen penting yang dipamerkan dalam pavilion Brunei. Wawasan 2035 Brunei itu merangkumi perancangan yang sistematik ke arah ke sebuah negara yang mempunyai rakyat berpendidikan dan berkemahiran tinggi lagi berjaya, berkualiti dan mempunyai ekonomi yang dinamik lagi berdaya tahan. Wawasan 2035 itu juga menyasarkan Brunei disenaraikan dalam 10 buah negara yang mempunyai taraf hidup rakyat paling tinggi di dunia.

Selain itu, koleksi-koleksi daripada Muzium Negara Brunei yang bersejarah juga dibawa ke pavilion negara itu untuk dipamerkan, dan menjadi daya tarikan para pengunjung. Pegawai kanan dari Muzium Negara Brunei, Encik Mohd Yamin memberitahu wartawan: "Di sini kita boleh tengok alat-alat kebesaran diraja yang digunakan semasa pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-29 pada 1 Ogos tahun 1968. Selain itu, beberapa koleksi daripada Muzium Brunei yang bersejarah lebih 100 tahun juga dipamerkan dalam Ekspo Dunia ini. "

1 2
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China