Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen mengunjungi pavilion Kemboja dalam Ekspo Dunia 2010 di Shanghai.
Pavlion Negara Kemboja dalam Ekspo Dunia 2010 mula dibuka kepada orang ramai sejak ekspo itu dirasmikan di Shanghai pada 1 Mei lalu. Pavilion Negara Kemboja tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang ramai yang datang untuk menyaksikan sejarah dan kebudayaan negara itu yang gilang-gemilang.
Kuil kuno peninggalan zaman Dinasti Angkor Wat sering disebut dalam cerita tentang sejarah Kemboja. Kuil-kuil Angkor Wat meninggalkan ingatan yang begitu mendalam kepada orang ramai apabila ia dipilih sebagai tempat penggambaran bagi beberapa filem terkenal, sperti filem "Tomb Raider" dan filem "In the Mood for Love". Namun, apa yang ditunjukkan dalam pavilion negara Kemboja bukan hanya menumpukan kepada Angkor Wat sahaja, malah ia merangkumi pengenalan secara menyeluruh tentang negara itu, termasuk kebudayaan, sejarah dan pembangunannya pada masa ini.
Sebagai sebuah negara membangun, mendirikan pavilion tersendiri dalam Ekspo Dunia kali ini bukanlah sesuatu yang senang dilakukan oleh Kemboja. Pavilon negara Kemboja ini dikendalikan sendiri oleh Menteri Perdagangan Kemboja, Cham Prasidh. Ketika berucap merasmikan pavilon kemboja dalam ekpso ini, Menteri Perdagangan itu berkata: "Sejak tahun 2006, Kemboja telah melakukan kerja persiapan untuk menyertai Ekspo Dunia di Shanghai. Kami mendirikan pavilion sendiri dengan menggunakan modal yang dijimatkan daripada belanjawan. Selain itu, pihak China memberikan sokongan yang amat besar kepada kami dari segi belanja penginapan, komunikasi dan pengangkutan bahan-bahan pameran."
Reka bentuk dan perhiasan Pavilion negara Kemboja kelihatan agak sederhana jika dibandingkan dengan pavilion beberapa negara lain yang popular. Namun, pavilion negara itu tetap mempunyai daya tarikannya, terutamanya dinding luar yang dihiasi dengan lukisan besar beberapa destinasi pelancongan yang terkenal seperti, Angkor Thom, Kuil Prasat Bayon dan istana diraja. Dinding luar pavilion Kemboja yang menjadikan pemandangan hutan asli sebagai latar belakangnya menekankan konsep penghijuaan dan mesra alam.
Demi menyesuaikan diri dengan tema utama Ekspo Dunia ini, iaitu "bandar yang lebih baik memberi kehidupan yang lebih baik", pameran dalam pavilion negara kemboja tertumpu kepada pembangunan bandar, seni bina serta perhiasan rumah dalam tempoh tiga zaman yang berbeza. Sebaik memasuki pavilion Kemboja, kelihatan replika tiruan bangunan batu pada zaman dinasiti Angkor Wat, iaitu pada akhir Abad ke-12. Ia membolehkan para pengunjung menghayati budaya dan seni bina kerajaan Angkor Wat yang cemerlang lagi misteri.
Sementara itu, seni bina bangunan pada zaman Long Veng yang ditunjukkan pula juga amat istimewa dan memikat hati para pengunjung. Kebanyakan bangunan pada zaman itu dibina dengan menggunakan bahan kayu. Menteri Perdagangan Kemboja, Cham Prasidh memaklumkan: "Di pavilion Kemboja, para pengunjung boleh menghayati kebijakan nenek moyang Kemboja dalam bidang pembinaan. Selain itu, pengunjung juga boleh mengetahui tentang tamadun dan budaya negara ini pada beberapa zaman yang berbeza dengan menonton persembahan kesenian dan pertunjukkan pakaian tradisional."
Selepas mengunjungi pavilion Kemboja, ramai pengunjung menunjukkan minat mereka kepada negara ini yang amat mesteri. Seorang pengunjung yang mengunjungi Ekspo Dunia bersama anggota keluarganya memberitahu wartawan: "Kami sangat suka pavilion Kemboja dan tertarik dengan kain sutera dan perahu kayu panjang yang dipamerkan di sini. Saya mendapat lebih banyak pengetahuan tentang budaya kemboja dan berharap boleh melawat ke negara itu untuk menyaksikan dengan mata kepala sendiri kuil dan patung Buddha yang bersejarah di sana."
Anaknya yang berusia 5 tahun pula berkata: "Saya amat suka pameran dalam pavilion ini dan juga berminat kepada kebudayaan negara itu."
Pameran dalam pavilion kemboja juga menjadi minat pengunjung untuk melancong ke negara itu. Seorang pengunjung warga Jerman memberitahu wartawan: "Suasana dalam pavilion ini amat menyenangkan. Kata seorang rakan sekerja saya, dia pernah bercuti di Kemboja dan amat tertarik dengan pemandangan pesisir pantainya yang indah dan masakannya yang sedap di negara itu. Oleh itu, saya juga merancang untuk melawat Kemboja dalam masa dua atau tiga tahun akan datang."
Kerja persiapan untuk Ekspo Dunia 2010 Shanghai tidak mudah untuk dibuat, khususnya dengan cabaran daripada krisis kewangan global yang berlaku pada tahun 2008. Banyak negara termasuk A.S. menghadapi masalah kekurangan modal ketika membina pavilion mereka. Walaupun krisis kewangan ini juga memberikan tamparan yang agak hebat kepada Kemboja, namun Menteri Perdagangan negara itu, Cham Prasidh tetap optimis terhadap prospek pembangunan negara itu, khususnya indsutri pelancongannya yang mempunyai potensi tinggi. Kata beliau: "Krisis kewangan global memang memberikan kesan kepada ekonomi Kemboja. Bagaimanapun, kadar pertumbuhan ekonomi kami dijangka melebihi 4.5% pada tahun ini. Di samping itu, Ekspo Dunia akan memberikan rangsangan yang kuat kepada industri pelancongan negara ini. Jumlah pelancong asing ke Kemboja dijangka bertambah 2 hingga 3 juta orang pada tahun ini."
Bagi Kemboja, Ekspo Dunia di Shanghai menyediakan landasan untuk memperlihatkan imej dan daya tarikannya kepada seluruh dunia. Di samping itu, Ekspo Dunia yang pertama kalinya diadakan di negara membangun ini dipercayai akan memberikan wadah kepada semua negara membangun untuk menunjukkan kedinamikan dan daya tarikan mereka kepada seluruh dunia.