
Langit yang berwarna biru, bukit-bukau yang hijau dan buluh-buluh yang muda, inilah pemandangan alam semula jadi yang dipertunjukkan kepada para pengunjung ketika masuk ke dalam pavilion negara Vietnam dalam Ekspo Dunia. Buluh, yang merupakan tumbuhan yang banyak didapati di Vietnam menjadi ilham dan konsep utama untuk menonjolkan budaya tradisional negara itu dalam ekspo.
Buluh yang dipasang mengikut garisan gelombang mengelilingi dinding luar pavilion Vietnam. Reka bentuk yang unik ini bukan sahaja bagi tujuan kecantikan sahaja, tetapi juga boleh menangkis panahan cahaya mata hari dan mencegah kepanasan dari luar. Selain itu, dalam ekspo ini, alat muzik yang diperbuat daripada buluh juga sering digunakan oleh seniman Vientam untuk mempersembahkan muzik tradisional negara itu. Ketua Pengarah Kumpulan Keseniman Negara Vietnam, Dinh Linh memberitahu wartawan: "Banyak alat muzik yang diperbuat daripada buluh dimainkan dalam persembahan kami. Ini bersesuaian dengan gaya seni bina pavilion ini yang berkonsepkan buluh. Persembahan kami bertujuan untuk memperkenalkan kesenian istimewa Vietnam kepada para pengunjung, termasuk kesenian kalangan rakyat pada zaman purba kala, khususnya ketika penubuhan bandar Hanoi pada 1000 tahun lalu."
Selain alat muzik yang dibuat daripada buluh, sejenis alat muzik yang lain juga menjadi daya tarikan para pengunjung, iaitu gambang batu yang bersejarah lebih 3000 tahun. Gambang itu terbuat daripada sejenis batu khusus yang berwarna hitam dan bunyinya merdu ketika dimainkan. Seniman Vietnam yang memainkan gambang batu itu, Dung Dung berkata: "Saya merasa amat bangga untuk memainkan gambang batu ini dalam Ekspo Dunia. Persembahan dengan alat muzik tradisional boleh memperkenalkan kebudayaan Vietnam yang unik kepada penduduk China. Seni budaya antara Vietnam dengan China telah berinteraksi sejak sekian lama, dan saling mempengaruhi dalam perkembangan masing-masing. Persembahan kami diharapkan boleh memperkenalkan keperibadian rakyat Vietnam kepada China, malah seluruh dunia, iaitu amat mesra melayan tetamu."

Selain menghayati muzik tradisional, para pengunjung juga boleh menonton persembahan "boneka di atas air" yang mempunyai sejarah lebih 800 tahun. Persembahan boneka ini mempunyai keunikan dan daya tarikan tersendiri kerana dimainkan di sebuah pentas besar yang terdapat air di atasnya. Boneka yang pelbagai bentuknya seperti itik mandarin, naga, burung phoenix dan ikan dimainkan dalam air dengan iringan muzik tradisional.
Persembahan kesenian di Pavilion Negara Vietnam dalam Ekspo Dunia bukan sahaja dimainkan seniman yang terkemuka dari Vietnam, tetapi juga disertai oleh seniman generasi muda. Ngo Hong Quang, pelajar Vietnam yang melanjutkan pelajarannya di Institut Kesenian Diraja Belanda merupakan salah seorang daripada mereka. Dia memberitahu wartawan: "Menyertai persembahan di Pavilion Negara Vietnam ialah satu peluang yang amat baik bagi saya untuk mengadakan interaksi muzik dengan rakyat pelbagai negara dan memperkenalkan muzik kalangan rakyat Vietnam kepada dunia."








