Cari:
"Lawatan Persahabatan Berbasikal Pemuda China-Vietnam" Semarakkan Persahabatan Tradisional
2010-07-15 10:46:31 CRI Cetak

Peserta yang menyertai aktiviti "Lawatan Persahabatan Berbasikal Pemuda China-Vietnam" meneruskan perjalanan mereka di wilayah China mulai 11 Julai lalu selepas memasuki sempadan melalui Genting Youyi di Pingxiang, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China. Dalam perjalanan selama 6 hari di Vietnam sebelum ini, para peserta telah berbasikal merentasi 4 buah bandar dan provinsi di negara itu, iaitu perjalanan sejauh lebih 180 kilometer.

"Lawatan Persahabatan Berbasikal Pemuda China-Vietnam" ini dianjurkan bersama oleh Radio Antarabangsa China (CRI) dan Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Vietnam sempena ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun ini. Aktiviti yang disertai oleh berpuluh-puluh pemuda kedua-dua negara ini mula diadakan pada 5 Julai lalu.

Ketika berucap merasmikan "Lawatan Persahabatan Berbasikal Pemuda China-Vietnam" di bahagian China, Naib Datuk Bandar Chongzuo, Guangxi, Feng Xuejun berkata, kaum pemuda dari China dan Vietnam merupakan pewaris kepada persahabatan antara kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama. Hubungan persahabatan dan kerjasama China-Vitnam dipercayai akan meningkat secara menyeluruh dengan pertukaran dan interaksi antara kaum pemuda dalam pelbagai bidang. Kata beliau: "'Lawatan Persahabatan Berbasikal Pemuda China-Vietnam' merupakan satu wadah yang amat baik kerana dalam aktiviti yang berlangsung selama lebih 10 hari ini, pemuda-pemudi dari kedua-dua negara diberikan peluang untuk meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara satu sama lain."

Dalam perjalanan di bahagian China pula, para peserta akan berbasikal ke beberapa tempat di Guangxi dan akhirnya sampai di bandar Nanning, iaitu ibu kota Guangxi. Perjalanannya sejauh lebih 200 kilometer.

Menurut Naib Pengarah Pusat Penyiaran Asia Tenggara CRI, Zhang Wenwen, Kaunti Longzhou antara destinasi yang amat bermakna dan menarik dalam perjalanan ini kerana mantan pemimpin Vietnam, Ho Chi Minh pernah berjuang di sana pada masa dahulu. Zhang Wenwen berkata: "Berharaplah pemuda-pemudi kedua-dua negara yang menyertai aktiviti ini akan saling mempelajari dan berinteraksi antara satu sama lain, di samping mewarisi persahabatan tradisional China-Vietnam dan menyemarakkan lagi semangat persahabatan ini di kalangan pemuda kedua-dua negara."

Peserta yang menyertai "Lawatan Persahabatan Berbasikal Pemuda China-Vietnam" kali ini terdiri daripada mahasiswa institut pengajian tinggi di Vietnam dan pelajar China yang melanjutkan pelajaran mereka di Vietnam. Selain program lawatan, para peserta juga akan ikut serta dalam beberapa aktiviti yang bertujuan mempromosi konsep mesra alam dan usaha perlindungan terhadap warisan budaya. Ketika mengimbas kembali perjalanan di Vietnam, Nguyen Trong Bach, ketua pasukan pemuda Vietnam bagi aktiviti ini berkata: "Dalam perjalanan selama 6 hari ini, pemuda dari kedua-dua negara telah saling mempelajari dan mengadakan interaksi tentang kebudayaan tradisional dan konsep berhubung usaha perlindungan alam sekitar. Semangat persahabatan telah dipegang dan disemarakkan lagi oleh pemunda kedua-dua negara. Saya merasa amat gembira dapat mengambil bahagian dalam aktiviti kali ini."

Bandar Chongzuo, Guangxi yang dilawati dalam aktiviti kali ini merupakan satu-satunya pangkalan perlindungan monyet berkepala putih di China. Mendengar taklimat yang diberikan oleh profesor Pan Wenshi mengenai usaha perlindungan alam sekitar merupakan satu akitiviti yang amat bermakna bagi pemuda dari kedua-dua negara ketika melawat di Chongzuo. Ketika menghuraikan erti aktiviti-aktiviti perlindungan alam sekitar yang diadakan dalam "Lawatan Persahabatan Berbasikal Pemuda China-Vietnam" kali ini, Naib Presiden Stesen Radio Guangxi, Encik Fan Jian berkata, terdapat persekitaran geografi yang serupa anatara Guangxi dengan Vietnam. Monyet berkepala putih di China dan sejenis monyet berkepala hitam di Vietnam kini menghadapi ancaman besar akibat persekitaran hidup yang semakin buruk. Oleh itu, usaha melindungi binatang liar tersebut dianggap mendesak untuk dilakukan oleh kedua-dua negara. Menurut Encik Fan Jian bahawa penyertaan dalam aktiviti kali ini membolehkan pemuda kedua-dua negara mengetahui tentang apakah kerjasama yang telah dilakukan oleh China dan Vietnam dalam usaha perlindungan alam sekitar dan memahami maksud "keharmonian antara manusia dengan alam." Beliau berkata: "'Lawatan Persahabatan Berbasikal Pemuda China-Vietnam' ini akan menarik perhatian kaum pemuda kedua-dua negara terhadap usaha perlindungan warisan budaya dan alam sekitar dan mempertingkatkan interaksi dan kerjasama di kalangan pemuda."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China