Cari:
CAFTA Membantu Usaha Membasmi Kemiskinan
2010-07-16 15:51:32 CRI Cetak

Forum Pembangunan Sosial dan Pembasmian Kemiskinan China-ASEAN Ke-4 telah ditutup di Guilin, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi semalam. Peluang dan cabaran yang dibawa oleh Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) bagi usaha pelbagai negara untuk membasmi kemiskinan telah dibincangkan dalam forum yang bertema "perdagangan bebas dan pembasmian kemiskinan" ini. Pegawai dan sarjana dari China dan negara-negara ASEAN yang menyertai forum tersebut menyatakan bahawa CAFTA memang dapat membantu pembangunan usaha untuk membanteras kemiskinan.

Jika berjalan di bandar Guilin, hasil pertanian, seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan daging dari Vietnam dan Thailand dapat kelihatan di mana-mana sahaja. Peniaga di sana memaklumkan bahawa mereka mendapat keuntungan kerana melalui CAFTA, tarif dilupuskan. Pegawai dari Pusat Penyelidikan Asia Pasifik, Akademi Sains Sosial China, Lu Jianren menyatakan bahawa tarif hasil pertanian yang dikurangkan ini telah mendinamikkan usaha membanteras kemiskinan di negara-negara anggota.

"Proses pembangunan CAFTA bermula dari pengurangan tarif hasil pertanian. Pertumbuhan perdagangan hasil pertanian, seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan daging menggalakkan pembangunan pertanian dan penternakan di negara-negara yang terbabit, dan membawa keuntungan kepada penduduk miskin di kawasan desa. Selain itu, CAFTA juga menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kebajikan sosial, dan di samping membantu negara-negara tersebut meningkatkan usaha membanteras kemiskinan."

Naib Ketua Setiausaha Sekretariat ASEAN, Encik Misran Karmain menyatakan bahawa di negara-negara anggota ASEAN, kebanyakan penduduk yang miskin tinggal di kawasan desa, dan pertanian tetap merupakan sumber pendapatan utama bagi mereka. Jadi, perdagangan pertanian yang bebas akan memberikan kesan yang positif kepada usaha membasmi kemiskinan.

"Mengurangkan dan melupuskan tarif mungkin akan memperluas pasaran eksport negara-negara anggota ASEAN. Keadaan ini akan menggalakkan pula pembaikan kualiti produk tempatan dan keefisienannya, dan juga membaiki kehidupan keluarga di kawasan desa."

Pengarah Pusat Penyelidikan Asia Afrika, Institut Kerjasama Perdagangan dan Ekonomi, Kementerian Perdagangan China, Xu Changwen memaklumkan bahawa selain mengurangkan tarif hasil pertanian, kerjasama China dengan ASEAN dalam bidang pertanian juga turut diperluas. Misalnya, Syarikat Kumpulan Sisal Guangxi yang bekerjasama dengan sebuah syarikat di Myanmar pada tahun 2006 telah menubuhkan pangkalan contoh tanaman alternatif, dan menghantar pakar China untuk memberikan nasihat dari aspek teknik penanaman. Bagi beliau, bentuk kerjasama ini amat sesuai bagi pembangunan pertanian dan pembangunan ekonomi di kawasan desa, dan amat bermakna untuk meningkatkan usahasama dalam membanteras kemiskinan di kawasan desa. Beliau memuji CAFTA yang dianggapnya memberikan kesan positif kepada usaha untuk membasmi kemiskinan ini.

"CAFTA mendorong pertumbuhan ekonomi, menggalakkan usaha untuk membasmi kemiskinan, dan membawa keuntungan kepada rakyat China dan ASEAN."

Selain kerjasama dalam bidang pertanian, China dan ASEAN juga meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi. Setakat akhir tahun 2009, syarikat-syarikat dari negara ASEAN telah membuat pelaburan langsung dalam lebih 30,000 projek yang bernilai lebih 57 bilion dolar Amerika. Manakala syarikat China pula melabur 8 bilion dolar Amerika ke kawasan ASEAN setakat akhir tahun 2008.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China