Walaupun krisis hutang yang berlaku di beberapa negara Eropah kebelakangan ini dijangka menyebabkan proses pemulihan ekonomi di rantau Asia Tenggara menjadi perlahan, namun menurut sarjana ekonomi dari Malaysia, ekonomi Malaysia tidak akan mengalami kemerosotan buat kali kedua pada tahun ini memandangkan kesan krisis hutang di Eropah tidak sehebat krisis subpinjaman kredit yang berlaku di A.S. sebelum ini.
Sarjana ekonomi daripada Institut Ekonomi Malaysia (MIER), Datuk Dr. Mohamed Ariff ketika diwawancara baru-baru ini berkata, hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Eropah tidak begitu erat jika dibandingkan dengan beberapa negara lain seperti A.S. Oleh itu, krisis hutang Eropah tidak akan memberikan kesan yang besar kepada perkembangan ekonomi Malaysia. Bagaimanapun, sarjana itu berkata, ekonomi Malaysia mungkin dilanda tempias krisis hutang Eropah itu secara tidak langsung, iaitu sekiranya ekonomi A.S. turut terjejas akibatnya.
Menurut Datuk Dr. Mohamed Ariff, ekonomi Malaysia tidak akan mengalami pertumbuhan negatif pada tahun ini seperti yang berlaku pada tahun 2009. Walaupun jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar(KDNK) malaysia telah menurun 1.7% pada tahun 2009, namun ekonomi negara itu telah mencapai pantulan yang besar pada suku tahun pertama tahun ini, iaitu pada kadar 10.1%. Walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menjadi perlahan, namun ia tidak akan mengalami pertumbuhan negatif.
Datuk Dr Mohamed Ariff berkata, pertumbuhan ekonomi pada kadar 7% yang pernah dicapai sebelum berlakunya krisis kewangan global sukar untuk dicapai lagi pada tahun ini. Kadar peningkatan yang mencatat 10.1% pada suku tahun pertama tahun ini adalah disebabkan angka itu yang rendah pada tempoh yang sama tahun lepas. Ekonomi Malaysia mengalami kemerosotan yang paling teruk pada suku tahun pertama tahun lalu, iaitu menurun pada kadar 6.2%. Namun, ekonomi Malaysia mencapai peningkatan semula pada suku tahun keempat, iaitu meningkat dengan 4.4% berikutan pelaksanaan dua rancangan rangsangan ekonomi oleh kerajaan.
Menurut sarjana ekonomi itu, Bank Negara Malaysia menyasarkan peningkatan ekonomi pada kadar antara 4.5%-5.5% pada tahun ini. Menurut pandangan umum, matlamat ini boleh dicapai. Bagaimanapun, krisis hutang yang berlaku di Eropah tetap menimbulkan kebimbangan orang ramai kepada pencapaian ekonomi pada tahun ini. Menurut mereka, kerajaan perlu membuat persiapan untuk menghadapi kemorosotan ekonomi yang mungkin berlaku dan terus melaksanakan rancangan rangsangan ekonomi dengan bersungguh-sungguh.
Ketika diminta memberikan anggaran terhadap perkembangan ekonomi pada tahun depan, Datuk Dr. Mohamed Ariff berkata, jangkaan ini kini sukar dibuat memandangkan beberapa faktor yang tidak menentu. Bagaimanapun, menurut beliau, ekonomi sejagat akan terus bergoyang dalam masa 3 hingga 4 tahun akan datang kerana beberapa masalah baru mungkin muncul lagi dalam ekonomi dunia.
Dr. Mohamed Ariff menegaskan, rancangan rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh pelbagai negara hanya dapat mengurangkan kesan daripada krisis kewangan sahaja, tetapi ia tidak dapat menyelesaikan masalah itu sehingga ke akar umbinya. Perkara yang lebih membimbangkan adalah rancangan rangsangan ekonomi kerajaan pelbagai negara mungkin menyebabkan krisis yang baru. Menurut beliau, sekarang asas bagi pemulihan ekonomi dunia sangat lemah kerana pelbagai negara kini menghadapi pinjaman kewangan dan defisit kewangan yang semakin bertambah. Oleh yang demikian, sukar untuk pelbagai negara mengambil tindakan rangsangan ekonomi yang baru ketika berlakunya krisis baru.
Datuk Dr. Mohamed Ariff berkata, kerajaan Malaysia berusaha mengurangkan defisit kewangan kepada 5.6% daripada KDNK pada tahun ini. Beliau mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan dasar kewangan yang bersesuaian dengan keadaan semasa untuk memastikan perkembangan ekonomi yang stabil, bukanlah hanya mengejar peningkatan ekonomi yang pesat sahaja.








