Cari:
Koridor Ekonomi Nanning-Singapura akan Merancakkan Kerjasama China-ASEAN
2010-08-30 15:12:31 CRI Cetak

Penubuhan Koridor Ekonomi Nanning-Singapura dijangka memainkan peranan penting untuk merancakkan hubungan interaksi dan menerajui perkembangan di negara-negara yang terlibat. Demikian pendirian yang dilahirkan para peserta dalam Forum Kerjasama Ekonomi Pan Teluk Beibu Ke-5 yang berakhir di Nanning, Guangxi China baru-baru ini.

Koridor Ekonomi Nanning-Singapura akan diwujudkan dengan pembinaan landasan keretapi dan lebuh raya yang menyambungkan 7 buah negara serantau termasuk China, Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia dan Singapura.

Menurut pegawai beberapa negara ASEAN yang menyertai forum tersebut, Koridor Ekonomi Nanning-Singapura ini akan memperdalam kerjasama antara ASEAN dengan China dan menerajui perkembangan industri di sepanjang laluan tersebut serta membawa keuntungan kepada rakyat kedua-dua pihak.

Naib Menteri Perdagangan Thailand, Alongkorn Ponlaboot berkata, sebagai negara yang terlibat dengan Koridor Ekonomi Nanning-Singapura, Thailand akan berusaha untuk menjayakan penubuhan koridor tersebut di samping mempergiat kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang termasuk industri pertanian dan pelancongan. Kata beliau: "Koridor ekonomi yang bermula dari Guangxi, kemudian melalui Vietnam, Kemboja, Thailand, Malaysia dan akhirnya sampai di Singapura ini akan merancakkan lagi pengangkutan antara negara-negara serantau. Hal ini amat berfaedah bagi usaha logistik di rantau ini. Penubuhan koridor ini akan memjadikan produk pertanian Thailand lebih laris di pasaran serantau, sehingga membantu meningkatkan pendapatan kaum petani dan menyediakan lebih banyak peluang kerja. Koridor ekonomi ini juga memberikan peluang kepada Thailand untuk meningkatkan eksport produk sendiri, terutamanya beras, buah-buahan, getah dan minyak kelapa sawit."

Menurut Naib Menteri Perdagangan Thailand itu, infrastruktur lalu lintas yang kurang sempurna antara China dengan ASEAN menyebabkan kos pengangkutan barangan dalam perdagangan dua hala amat tinggi. Sebagai contoh, kos buah-buahan Thailand yang dijual di Nanning merupakan lebih 30% daripada harganya. Alongkorn Ponlaboot berkata, kos pengangkutan barangan dari Thailand ke Guangxi, China akan dapat dikurangkan 1/3 selepas Koridor Ekonomi Nanning-Singapura siap ditubuhkan. Hal ini akan menjadikan buah-buahan Thailand lebih berdaya saing di pasaran China.

Menteri Projek Awam dan Pengangkutan Kemboja, Tram Ivtek berkata, Koridor Ekonomi Nanning-Singapura pastinya akan mempertingkatkan kerjasama antara negara-negara ASEAN dengan China, terutamanya dalam bidang pelaburan, perdagangan dan pelancongan di samping memacu pembangunan di negara-negara yang terlibat. Kata beliau: "Pada pendapat saya, makna paling penting yang dibawa oleh koridor ekonomi itu adalah ia mewujudkan laluan pengangkutan yang efisian antara negara serantau, yang meliputi pengangkutan darat, laluan laut dan juga udara. Hal ini akan merancakkan kegiatan pelaburan dan memudahkan pengangkutan antara satu-sama lain. Selepas koridor ekonomi ditubuhkan, pengangkutan kargo antara Kemboja dengan beberapa negara jiran seperti Vietnam dan Thailand akan menjadi lebih mudah. Di samping itu, lebih ramai pelancong dari Vietnam dan Thailand akan datang melawat ke Kemboja."

Kini, Koridor Ekonomi Nanning-Singapura telah ditubuhkan pada peringkat awal. Menurut Pengerusi Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China, Ma Biao bahawa jalan raya yang menghubungkan Nanning dengan Singapura telah diwujudkan setakat ini. Selain, lebuh raya dari Nanning ke pintu keluar masuk Laluan Youyi di sempadan China-Vietnam telah siap dibina. Sementara itu, Guangxi dan Vietnam juga bersetuju untuk membina dua buah lebuh raya yang menghubungkan Hanoi dengan dua pintu keluar masuk yang penting di sempadan, iaitu Laluan Youyi dan Dongxing. Pihak yang berkenaan juga akan berusaha memperbaiki kemudahan landasan kereta api Nanning-Hanoi dan Ho Chi Minh-Phnom Penh. Ma Biao berkata: "Koridor Ekonomi Nanning-Singapura akan memudahkan pengangkutan darat dan laut antara China dengan ASEAN. Hal ini bukan sahaja akan merancakkan usaha logistik antara negara serantau, tetapi juga akan mempergiat lagi hubungan kerjasama China-ASEAN. Koridor ekonomi ini juga akan menghubungkan berbelas-belas buah pelabuhan utama di pesisir pantai barat Teluk Beibu dan memacu perkembangan ekonomi di negara-negara yang terlibat. Penubuhan Koridor Ekonomi Nanning-Singapura juga akan melibatkan usaha membangunkan bandar, zon industri dan zon ekonomi khas di sepanjang koridor tersebut, supaya dapat membawa lebih banyak manfaat kepada negara yang terbabit."

Penubuhan Koridor Ekonomi Nanning-Singapura memerlukan kerjasama antara negara-negara di sepanjang koridor tersebut. Menurut Naib Menteri Pengangkutan Vietnam, Le Manh Hung bahawa dalam usaha menjayakan koridor tersebut, pelbagai negara ASEAN perlu menyelaraskan peraturan undang-undang antara satu sama lain dan menggalakkan pelaburan modal swasta dalam hal tersebut. Beliau menyarankan: "Pertama, selain daripada kerjasama pelabuhan, negara-negara yang terlibat juga perlu meningkatkan kerjasama dalam pembinaan jalan raya dan landasan kereta api di rantau ini, seperti lebuh raya Hanoi-Vientiane dan landasan kereta api Nanning-Kunming-Singapura; kedua, kita perlu mengemaskan usaha kastam dalam pemeriksaan dan kuarantin terhadap haiwan dan tumbuh-tumbuhan untuk memudahkan lagi perdagangan antara negara-negara di pankawasan Teluk Beibu dan subkawasan Sungai Mekong; ketiga, kita juga perlu mencari jalan untuk menggalakkan modal swasta dilabur dalam projek-projek berhubung Koridor Ekonomi Nanning-Singapura ini; keempat, bantuan berkenaan perlu diberikan kepada negara-negara yang mundur dalam usaha penubuhan koridor tersebut."

Menurut tokoh-tokoh berkenaan, Koridor Ekonomi Nanning-Singapura akan mendorong penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) kerana ia bukan sahaja mampu memudahkan pengangkutan antara negara ASEAN dengan bahagian selatan China, malah dengan seluruh negara China dengan wujudnya jaringan landasan kereta api yang sempurna di negara ini.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China