Sidang Menteri Ekonomi dan Perdagangan China-ASEAN Ke-9 telah diadakan di Da Nang, Vietnam semalam. Para peserta sidang ini telah menilai pelaksanaan "Perjanjian Rangka Kerjasama Ekonomi (ECFA) China-ASEAN" dan memberikan penilaian yang tinggi kepada pencapaian Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA).
Menteri Perdagangan China, Chen Deming menyatakan bahawa sejak CAFTA siap dibina pada tahun ini, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak terus meningkat. Sektor korporat dan rakyat biasa kedua-dua pihak telah mendapat manfaat daripadanya. Walaupun dilanda krisis kewangan antarabangsa, banyak negara anggota ASEAN berjaya mengekalkan perdagangannya dengan China terus berkembang.
Menurut Chen Deming, dari bulan Januari hingga Julai tahun 2010, jumlah import eksport China dengan ASEAN mencatat angka 161 bilion dolar Amerika, meningkat 49.6% berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2009. Daripada jumlah tersebut, eksportnya bernilai 76.73 bilion dolar Amerika manakala importnya 84.27 bilion dolar Amerika, masing-masing meningkat 43.2% dan 56.1%. Dalam tempoh tersebut, kadar pertumbuhan eksport ASEAN dengan China melebihi 13% dibandingkan dengan kadar pertumbuhan import China. China mengalami kurangan perdagangan 7.54 bilion dolar Amerika. Namun, import China menggalakkan pekerjaan dan pembangunan ekonomi negara anggota ASEAN secara berkesan.
Beliau menambah, pelaburan China di ASEAN pula meningkat dengan pesat. Pada setengah tahun pertama 2010, pelaburan langsung bukan kewangan China ke negara-negara ASEAN mencecah 1.22 bilion dolar Amerika, iaitu meningkat 125.7% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu. ASEAN telah menjadi salah satu destinasi pelaburan sektor korporat China di seberang laut, dan juga amat berpotensi pada masa depan.
Chen Deming menegaskan, pengalaman membuktikan bahawa CAFTA yang saling menguntungkan itu sesuai dengan kepentingan kedua-dua pihak. China akan terus melaksanakan ECFA China-ASEAN dengan bersungguh-sungguh, dan akan terus meningkatkan skop dan tahap kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pihak. Sekarang, lebih daripada 90% produk antara China dengan ASEAN telah dilupuskan tarifnya. Kedua-dua pihak, menurut beliau, perlu berusaha lebih giat untuk meningkatkan tahap keterbukaan perdagangan perkhidmatan masing-masing, di samping melaksanakan "Perjanjian Pelaburan China-ASEAN", untuk memastikan dan menggalakkan pembangunan kerjasama pelaburan dua hala.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas sidang tersebut, para peserta menyatakan penghargaan terhadap pembinaan CAFTA, dan mengiktiraf usaha pihak-pihak yang menunaikan janji mereka untuk mengurangkan tarif. Selain itu, para peserta juga memberi mandat kepada Jawatankuasa Perundingan Perdagang China-ASEAN (ACTNC) untuk membincangkan langkah yang boleh diambil untuk menyelesaikan isu produk sensitif yang terlalu banyak dalam perdagangan; terus memudahkan perdagangan melalui pelbagai langkah seperti menyegerakan pemeriksaan dan pengesahan surat keterangan tempat produksi asalnya (Certificate of Origin), dan mewujudkan mekanisme untuk menyelia pelaksanaan CAFTA.
Para menteri yang hadir juga menggesa supaya ditetapkan projek dan aktiviti penting, dan diberikan sokongan kepada tindakan untuk memudahkan perdagangan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya PKS mendapatkan manfaat daripada CAFTA. Mereka juga mengalu-alukan penyelenggaraan "kursus tentang pembayaran dengan RMB dalam perdagangan transnasional boleh membawa faedah kepada CAFTA" yang akan dianjurkan oleh China di Beijing, Shenzhen dan Yunnan pada bulan November tahun ini.