Beberapa aktiviti bertaraf antarabangsa yang diadakan di China pada beberapa tahun yang lalu dipercayai membantu meningkatkan prestasi negara ini di arena dunia di samping memupuk rasa kekitaan rakyat. Demikian dinyatakan oleh Menteri Budaya, Pelancongan dan Kesukanan Vietnam, Hoang Tuan Anh ketika diwawancara oleh wartawan CRI di Shanghai baru-baru ini. Kata beliau, Vietnam berharap menimba pengalaman China dalam menjayakan penganjuran aktiviti yang bertaraf antarabangsa.
Ketika diminta memberikan pandangan mengenai Ekspo Dunia 2010 yang sedang berlangsung di Shanghai, Hoang Tuan Anh berkata, ekspo ini boleh dikatakan sempurna baik dari segi skopnya, mahupun kaedah penganjurannya. Menurut beliau, ini merupakan kali ketiga bagi Vietnam menyertai Ekspo Dunia. Vietnam berharap pameran yang ditawarkannya dalam ekspo kali ini dapat membantu mempromosikan sejarah dan kebudayaan sendiri kepada rakyat China, malah seluruh dunia. Kata beliau: "Vietnam aktif mengambil bahagian dalam Ekspo Dunia Shanghai. Ini mencatat skop yang besar diantara Ekspo Dunia yang pernah kami sertai. Dengan sokongan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan China dan pihak penganjur, kami telah berjaya mendirikan pavilion sendiri yang seluas 1,000 meter persegi. Ekspo Dunia Shanghai amat sempurna baik dilihat daripada skop pamerannya, mahupun daripada kaedah penganjurannya."
Menteri Budaya, Pelancongan dan Kesukanan Vietnam itu berkata, penganjuran aktiviti dan temasya sukan yang bertaraf antarabangsa memberikan peluang yang baik kepada negara tuan rumah untuk menunjukkan kejayaannya dalam perkembangan ekonomi dan kebudayaan, di samping mempromosi keistimewaannya sendiri dalam sejarah dan budaya. Kata beliau: "Ekspo Dunia Shanghai telah menarik kedatangan pengunjung dari seluruh dunia. Perhatian dunia bukan sahaja menumpu kepada ekspo ini, malah memfokuskan kepada ekonomi China yang penuh dinamik dengan kadar pertumbuhannya antara 9%-10% dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Sementara itu, ekspo ini juga memberikan peluang kepada pelbagai negara untuk memaparkan keistimewaan budaya masing-masing dan potensi perkembangan ekonominya. Kami berhasrat untuk memperkenlkan sejarah dan keunikan budaya sendiri kepada rakyat China."
Hoang Tuan Anh menambah, sejak dasar inovasi dan pintu terbuka dilaksanakan, kerajaan dan rakyat Vietnam tetap menumpukan perhatian kepada usaha pembangunan ekonomi negara. Ini termasuk meningkatkan daya produktiviti dan taraf hidup rakyat. Di samping iu, Vietnam juga berhasrat mengadakan interaksi yang lebih meluas dengan dunia dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, kebudayaan, pelancongan dan sukan. Dalam konteks ini, penganjuran aktiviti yang bertaraf antarabangsa dianggap kaedah yang amat berkesan untuk menjayakan hasrat itu. Beliau berkata: "Vietnam merupakan negara pengerusi bergilir ASEAN pada tahun ini. Beberapa persidangan penting berhubung urusan ASEAN telah diadakan di Vietnam pada tahun ini. Agenda persidangan yang kami atur telah mendapat penghargaan yang tinggi daripada pelbagai negara anggota ASEAN yang lain dan juga negara rakan kerjasama ASEAN, iaitu China, Jepun dan Republik Korea."
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik China-Vietnam dan juga ditetapkan sebagai "tahun persahabatan" kedua-dua negara. Menurut Hoang Tuan Anh, dalam tempoh 60 tahun yang lalu, kedua-dua negara mencapai kejayaan yang amat ketara dalam interaksi dan kerjasama dalam pelbagai bidang, seperti kebudayaan, pelancongan dan kesukanan. Kata beliau: "Kedua-dua negara aktif mengadakan interaksi kebudayaan dan kesenian tradisi. Sebuah kumpulan kesenian China akan mengadakan persembahan di Vietnam tidak lama lagi. Dalam tempoh Ekspo Dunia Shanghai berlangsung, Vietnam juga menghantar kumpulan kesenian untuk mengadakan persembahan di Beijing dan Shanghai. Persembahan ini juga melibatkan ramai seniman Vietnam yang sedang melanjutkan pelajaran di China. Dalam bidang pelancongan pula, jumlah pelancong China ke Vietnam dijangka mencatat antara 1.3 hingga 1.4 juta orang pada tahun ini, manakala seramai 900 ribu orang pelancong Vietnam dijangka melawat China. Ketika mengadakan rundingan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pelancongan Negara China, Shao Qiwei, kami bersetuju untuk melaksanakan secara bersungguh-sungguh Panduan Tindakan Pelancongan China-Vietnam ke arah memudahkan lagi lawatan pelancongan antara kedua-dua negara dan membantu meningkatkan persefahaman antara rakyat. Dalam bidang kesukanan, kami kerap kali menghantar jurulatih dan atlet ke China untuk mengikuti latihan. Dan ini terbukti telah mencapai hasil yang amat memuaskan."
Menurut Menteri Budaya, Pelancongan dan Kesukanan Vietnam itu, kedua-dua negara juga aktif mengadakan kerjasama dan interaksi dalam penganjuran pelbagai aktiviti antarabangsa yang penting. Kata beliau: "Kami berharap untuk menimba pengalaman China dalam menjayakan penganjuran aktiviti yang penting, khususnya penganjuran Sukan Olimpik 2008 di Beijing dan Ekspo Dunia 2010 yang sedang berlangsung di Shanghai. Perkara ini amat membantu untuk meningkatkan kemampuan kami dalam memohon dan menganjurkan aktiviti yang bertaraf antarabangsa. Perkara yang paling penting bagi Vietnam sekarang ini adalah menerajui perkembangan ekonomi sendiri dan menyempurnakan lagi kemudahan infrastruktur."