Cari:
Jiang Peizhen: Bersedia Berkongsi Pengalaman dengan Usahawan Wanita dari Negara ASEAN
2010-10-01 15:13:59 CRI Cetak

Puan Jiang Peizhen, seorang usahawan wanita China menjadi tumpuan perhatian dalam Forum Perniagaan Usahawan Wanita China-ASEAN yang diadakan di bandar Liuzhou, Guangxi China baru-baru ini. Puan Jiang Peizhen ialah Pengerusi Kumpulan Jinsangzi, salah sebuah syarikat daripada 50 syarikat perusahaan ubat-ubatan tradisional yang paling unggul di China.

Ketika diwawancara oleh wartawan CRI, Puan Jiang menyatakan penghargaannya yang tinggi terhadap Forum Perniagaan Usahawan Wanita China-ASEAN dan menyifatkannya sebagai platform penting untuk usahawan wanita dari kedua-dua pihak untuk saling berinteraksi dan bekerjasama. Kata beliau: "Forum ini memberikan peluang kepada usahawan wanita serantau untuk memajukan perniagaan. Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) yang ditubuhkan pada tahun ini merupakan kawasan perdagangan bebas yang mempunyai penduduk paling ramai dan yang jumlah perdagangannya paling besar di dunia. Dalam forum kali ini, usahawan wanita dari China dan negara-negara ASEAN boleh saling berinteraksi, berkongsi pengalaman dan memanfaatkan kawasan perdagangan bebas untuk meningkatkan kerjasama."

Ketika menjelaskan tentang kesulitan yang dihadapi oleh usahawan wanita China dalam perniagaan, Puan Jiang berkata, jumlah usahawan wanita di negara ini tidak begitu ramai jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah dan A.S. Perkara ini berlaku kerana terdapatnya beberapa faktor yang menjadikan kaum wanita agak susah untuk memajukan perniagaan sendiri. Ini termasuk tanggapan orang ramai terhadap wanita yang diwarisi secara tradisi dan keupayaan kaum wanita yang kurang sempurna. Menurut beliau, kaum wanita menghadapi kesukaran dalam menangani empat perkara ketika menjalankan perniagaan sendiri. Kata beliau: "Ketika menjalankan perniagaan, kita perlu bersaing dengan lelaki, menjalankan inovasi pengurusan, menangani dengan baik hubungan antara perkerjaan dengan rumah tangga dan meningkatkan keupayaan sendiri dengan terus belajar. Kesemua ini bukannya mudah untuk dilakukan oleh kaum wanita. Oleh yang demikian, usahawan wanita selalu menghadapi kesukaran ketika memajukan perniagaannya."

Suasana perniagaan untuk usahawan wanita di China semakin baik pada tahun 1990-an, khususnya dengan pembentukan sistem ekonomi pasaran di negara ini pada tahun 1995. Sehingga kini, perniagaan yang dijalankan oleh kaum wanita di China mencatat kadar 20%-25%.

Menurut Puan Jiang Peizhen, usahawan wanita serantau perlu meningkatkan keupayaan mereka dari semasa ke semasa kerana ia bukan sahaja amat penting untuk memajukan perniagaan, tetapi juga untuk membantu menangani tanggungjawab rumah tangga dengan lebih baik.

Beliau berkata:"Kita patut berani menghadapi kesukaran dalam perniagaan dan bersedia memikul tanggungjawab. Selain itu, kita perlu mengimbangi dengan baik tanggungjawab antara pekerjaan dan tanggungjawab rumah tangga. Selepas mencapai kejayaan pula, jangan lupa memberikan sumbangan kepada masyarakat. Sebagai usahawan wanita, kita mesti cergas, berdikari dan yakin pada diri sendiri."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China