Cari:
Dewan Perniagaan Serantau Sedia Membantu Syarikat Gunakan Peluang daripada CAFTA
2010-10-28 15:16:23 CRI Cetak

Forum Pemimpin Perniagaan China-ASEAN Pertama telah diadakan di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China pada 20 Oktober lalu. Pemimpin dewan perniagaan dari China dan negara-negara ASEAN yang menyertai forum itu menyatakan harapan untuk meningkatkan interaksi dan kerjasama antara satu sama lain dan menikmati bersama peluang perniagaan daripada Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA).

Hubungan perdagangan antara China dengan ASEAN memasuki "era tanpa tarif" dengan siap tertubuhnya CAFTA pada 1 Januari tahun ini. Dalam tempoh 8 bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan antara China dengan negara ASEAN telah mencecah 185.4 bilion dolar Amerika, meningkat 47.2% berbanding dengan masa yang sama tahun lalu. Pembatalan tarif perdagangan antara kedua-dua pihak memberikan peluang kepada syarikat serantau untuk meneroka pasaran dan menjalankan kerjasama dalam proses pengeluaran.

Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China, Dato' Bong Hon Liong menyampaikan ucapan dalam forum.

Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China, Dato' Bong Hon Liong ketika diwawancara oleh wartawan CRI berkata bahawa CAFTA tidak memberikan tamparan kepada industri Malaysia. Sebaliknya, ia menjadikan lebihan dagangan Malaysia dengan China semakin meningkat. Kata beliau: "Dalam tempoh 9 bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dengan China mencecah 54 bilion dolar Amerika. Angka ini mencatat rekod baru dalam sejarah. Sementara itu, jumlah pelaburan yang dibuat oleh syarikat China di Malaysia juga meningkat dengan pesat pada tahun ini, iaitu meningkat 561% dalam 6 bulan pertama tahun ini, berbanding dengan masa yang sama tahun lepas. Kini, Malaysia merupakan rakan perdagangan yang paling besar bagi China di rantau ASEAN. Jadi, pada pendapat saya kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara ini memang mempunyai potensi yang besar. Pihak kami bersedia membantu syarikat Malaysia untuk mengadakan kerjasama yang saling menguntungkan dengan China dan menarik lebih banyak syarikat China melabur di Malaysia. Kita berharap dapat menggunakan peluang perniagaan daripada penubuhan CAFTA dan perkembangan ekonomi China yang pesat."

Terdapat sekian banyak dewan perniagaan yang mengendalikan urusan pengeluaran dan perdagangan dalam pelbagai sektor industri di China dan negara-negara ASEAN. Dewan perniagaan tersebut dikatakan memainkan peranan yang penting dalam memacu perkembangan industri dan kerjasama ekonomi dan perdagangan di rantau ini. Naib Presiden Persekutuan Pengilang Singapura, Simon Li berpendapat, dewan perniagaan perlu memikul tanggungjawabnya dalam memajukan syarikat domestik dan menggalakkan mereka mengambil bahagian dalam kerjasama serantau. Kata beliau: "Kami boleh membantu syarikat menyelesaikan pelbagai masalah seperti menyediakan piawaian yang bersepadu, mengadakan tinjauan pasaran dan menyelidik produk yang baru. Di samping itu, kami juga boleh mengatur lawatan perniagaan untuk syarikat supaya mereka dapat menjalinkan hubungan interaksi dan kerjasama dengan kerajaan dan syarikat asing. Hal ini dapat mereka membantu memperoleh maklumat yang tepat dengan segera tentang keadaan pasaran dan iklim pelaburan di seberang laut."

Bagaimana memastikan syarikat serantau dapat menggunakan mengambil peluang daripada CAFTA dan kaedah yang berkesan untuk mencari rakan kerjasama kini menjadi perhatian dewan perniagaan dan persatuan industri di China dan ASEAN. Menurut Ketua Setiausaha Jawatankuasa China Dewan Perdagangan dan Industri Indonesia, Encik Ted Sioeng, dewan perniagaan serantau perlu meningkatkan persefahaman dan interaksi antara satu sama lain, di samping memanfaatkan fungsi media untuk mempromosi peluang perniagaan dan pertukaran maklumat perdagangan. Katanya: "Dewan perniagaan kalangan rakyat di China dan di dengan negara ASEAN perlu meningkatkan aktiviti pertukaran dan kerjasama yang saling menguntungkan untuk menggalakkan hubungan ekonomi dan perdagangan menjadi lebih rapat dan lancar. Selain itu, usaha promosi melalui media juga amat penting. Laporan yang dibuat oleh surat akhbar, TV dan internet boleh memperlihatkan peluang perniagaan kepada masyarakat umum dan membantu syarikat di pelbagai negara untuk menjalinkan hubungan kerjasama."

Naib Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Negara Laos, Puan Chanthao Pathammavong ketika diwawancara oleh wartawan berkata, interaksi antara dewan perniagaan dan persatuan industri membantu syarikat serantau untuk menimba pengalaman dan saling melengkapi antara satu sama lain. Menurut beliau, hal ini amat penting bagi menggalakkan pembangunan bersama. Kata beliau: "Dewan Perdagangan dan Industri Negara Laos mempunyai 23 buah dewan perniagaan dan persatuan industri. Kami selalu mengatur syarikat anggota menyertai forum dan seminar yang diadakan di Guangxi dan Yunnan China. Lebih 40 buah syarikat anggota kami mengambil bahagian dalam pelbagai jenis pameran di China setiap tahun. Mereka dikatakan memperoleh hasil yang amat memuaskan. Kegiatan ini bukan sahaja membantu kami untuk mencari rakan kerjasama yang bersesuaian, tetapi juga membantu syarikat Laos untuk menimba pengalaman daripada kejayaan syarikat-syarikat di pelbagai negara. Hal ini amat berguna untuk meningkatkan kualiti produk sendiri dan meneroka pasaran di seberang laut.

Menurut Naib Ketua Setiausaha China Sekretariat Majlis Perniagaan China-ASEAN (CABC), Xu Ningning, bahawa dewan perniagaan dan persatuan industri memainkan peranan yang penting dalam menghubungkan syarikat dengan kerajaan. Selepas terlaksananya pembatalan tarif antara China dengan ASEAN, dewan perniagaan perlu berusaha bersama-sama dalam mendorong kerjasama industri dan membantu meningkatkan daya saing syarikat serantau. Kata beliau: "Majlis Perniagaan China-ASEAN tetap berusaha ke arah meningkatkan kerjasama antara kalangan perniagaan serantau. Kami akan terus menyempurnakan mekanisme kerjasama berdasarkan keadaan semasa, khususnya penubuhan kawasan perdagangan bebas. Ini termasuk menubuhkan jawatankuasa kerjasama pelbagai sektor industri. Di samping itu, kami juga akan meningkatkan interaksi dengan kerajaan untuk menyampaikan harapan dan cadangan kalangan syarikat kepada kerajaan, dan berusaha memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada syarikat anggota."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China