Siri sidang kemuncak ASEAN selama tiga hari telah ditutup di Hanoi, Vietnam kelmarin. Selain Sidang Kemuncak ASEAN, dialog antara ASEAN dengan pemimpin negara yang lain juga telah diadakan.
Dalam sidang kemuncak ASEAN yang bertema "Ke Arah Komuniti ASEAN: Dari Visi ke Tindakan" itu, beberapa rancangan tindakan telah diluluskan, supaya matlamat untuk menubuhkan komuniti ASEAN menjelang tahun 2015 boleh dicapai. Walau bagaimanapun, masalah pembangunan anggota negara ASEAN yang tidak seimbang tetap dianggap sebagai cabaran yang besar bagi proses integrasi itu.
Dalam sidang kemuncak kali ini, para pemimpin negara ASEAN telah mengimbas kembali kejayaan yang dicapai dalam proses integrasi ASEAN, dan membuat rancangan masa depan berkait dengan tiga arah tuju, iaitu komuniti ekonomi, komuniti keselamatan politik dan komuniti sosiobudaya. Para peserta telah meluluskan beberapa banyak dokumen, seperti "Pelan Menyeluruh Kesalinghubungan ASEAN". Menurut mereka, melaksanakan kandungan dokumen tersebut akan menjamin penubuhan komuniti itu menurut jadualnya.
Pelan tersebut meliputi lebih 700 projek dan pelan. ASEAN berharap anggotanya dan negara dialog menyertai projek dan pelan tersebut melalui pelaburan dalam pelbagai bentuk dan menggalakkan kesalinghubungan antara satu sama lain. Pemimpin negara-negara ASEAN juga memutuskan untuk menubuhkan Jawatakuasa Koordinat Kesalinghubungan ASEAN untuk menyelaraskan dan mengawal selia pelaksanaan pelan tersebut. Selain itu, negara-negara anggota ASEAN juga akan bekerjasama untuk menubuhkan Tabung Infrastruktur ASEAN.
Dalam siri sidang kemuncak kali ini, selain sidang kemuncak dalaman, ASEAN juga mengadakan Sidang ASEAN+3, menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur dan mengadakan sidang kemuncak 10+1 dengan China, Jepun, Republik Korea, India, Australia, New Zealand dan Rusia.
Sidang Kemuncak ASEAN-China juga mencapai hasil yang besar. Pemimpin kedua-dua pihak telah menandatangani "Perisytiharan Pemimpin dari China-ASEAN mengenai Pembangunan Berterusan", dan mengumumkan 13 tindakan untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Perdana Menteri China, Wen Jiabao menyatakan bahawa China bersedia membangunkan kawasan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan setiap negara anggota ASEAN dalam masa lima tahun akan datang, dan akan berusaha meningkatkan perdagangan dua hala supaya mencapai jumlah 500 bilion dolar Amerika menjelang tahun 2015. China juga akan memperuntukkan lagi 17 juta dolar Amerika kepada Tabung Khas Kerjasama Serantau Asia.
Walaupun ASEAN telah mencapai kemajuan yang tertentu dalam proses integrasi, namun usaha yang lebih besar perlu dibuat untuk mencapai matlamat integrasi menjelang tahun 2015.
Pertama, negara-negara ASEAN perlu mengecilkan jurang perbezaan satu sesama mereka, mempercepat kerjasama subkawasan dan mengadakan kerjasama teknologi untuk membantu Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar agar lebih cepat berpadu dengan proses itu, supaya keempat-empat negara yang agak lambat menganggotai ASEAN itu dapat mengejar pembangunan seluruh ASEAN.
Dan, kedua, pelan kesalinghubungan ASEAN memerlukan modal yang besar untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur seperti jalan dan jambatan. Walaupun ASEAN sedang membuat pelbagai pelaburan, namun, sama ada setiap pelaburan itu dapat disediakan menurut jadual atau tidak belum diketahui. Selepas kesalinghubungan ASEAN berjaya diwujudkan, banyak unsur lain yang akan terus menjadi halangan kepada integrasi, seperti perbezaan sistem politik, sistem sosial, budaya dan dasar keselamatan antara negara-negara ASEAN.