Pilihan raya akan diadakan di Myanmar menurut perlembagaan baru pada 7 November ini. Pilihan raya tersebut merupakan pilihan raya pelbagai parti yang pertama kalinya diadakan dalam tempoh 20 tahun yang lalu dan akan mengakhiri pemerintahan tentera di negara tersebut. Menurut "Perlembagaan Republik Persekutuan Myanmar" yang dikuatkuasakan pada tahun 2008, anggota parlimen pelbagai provinsi dan parlimen pesekutuan akan dipilih, kemudian parlimen persekutuan akan memilih Presiden dan Naib Presiden untuk menubuhkan kerajaan baru.
Menurut maklumat Pengerusi Suruhanjaya Pemilihan Myanmar, U Thein Soe kepada diplomat dan media massa negara-negara asing di Naypyidaw tidak lama dahulu, kira-kira 3 ribu orang calon dari 37 parti serta 82 orang calon pribadi akan bertanding dalam kempen pilihan raya kali ini untuk 1,159 kerusi dalam parlimen pelbagai peringkat. Pilihan raya kali ini akan mengundang diplomat asing dan pegawai PBB ke Myanmar sebagai pemerhati. U Thein Soe berkata, "Kedutaan Besar pelbagai negara dan badan PBB ke Myanmar merupakan wakil bagi pelbagai negara, maka tidak perlu mengundang lagi pemerhati pelbagai negara."
Pilihan raya tersebut telah menarik perhatian yang tinggi daripada masyarakat antarabangsa. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata di Thailand pada 26 Oktober yang lalu, pihaknya memberikan perhatian yang besar terhadap proses demokrasi di Myanmar. Beliau pula sudah tiga kali mengadakan rundingan dengan Jeneral Kanan Than Shwe, pemimpin tertinggi di negara itu. Ban Ki-moon berkata, "Myanmar akan pertama kalinya mengadakan pilihan raya dalam tempoh 20 tahun yang lalu. Saya berharap pilihan raya kali ini diadakan dengan toleran, telus dan boleh dipercayai."
Jumlah penduduk di Myanmar mencecah kira-kira 60 juta orang, dan hanya kira-kira 29 juta orang mempunyai kelayakan untuk menyertai pilihan raya kali ini. Kesatuan Perpaduan dan Pembangunan, parti yang terbesar di negara itu yang diketuai oleh Perdana Menteri pada masa ini telah membuat banyak poster pemilihan di Yangon, bandar raya yang terbesar di negara tesebut.
Pengerusi Parti Kekuatan Demokratik Nasional yang baru ditubuhkan, Dr. Than Nyien berkata, pilihan raya kali ini menandakan Myanmar beralih dari pemerintahan tentera kepada kerajaan pemilihan. Beliau berkata, "Pilihan raya kali ini tidak mungkin sama sekali adil dan bebas. Tetapi ia menjadi permulaan untuk menuju ke arah demokrasi."
Soe Myint Agung, seorang pemandu bas persiaran yang berusia 49 tahun berkata, "Harga makanan dapat menurun dan kestabilan masyarat dapat dikekalkan adalah paling penting bagi rakyat jelata di Myanmar. Rakyat Myanmar berharap kerajaan baru dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan negara.








