Aktiviti "Kembara Persahabatan Thailand-China" telah diadakan oleh persatuan persahabatan kalangan rakyat kedua-dua negara baru-baru ini sempena ulang tahun ke-35 terjalinnya hubungan diplomatik China-Thailand pada tahun ini. Dalam aktiviti kembara ini, konvoi yang terdiri daripada 10 buah kereta SUV buatan China telah berangkat dari Bangkok, menuju ke Shantou, provinsi Guangdong, China. Antara tempat-tempat utama yang dilawati dalam perjalanan sepanjang 3,100 kilometer ini termasuk Vientiane, Hanoi dan Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China serta Guangzhou, ibu kota Provinsi Guangdong dan Maoming, bandar di Guangdong.
Konvoi dalam aktiviti perjalanan ini telah tiba di destinasinya, iaitu Shantou, Provinsi Guangdong pada 1 November lalu. Para peserta dari kedua-dua negara telah mengadakan kunjungan ke beberapa tempat yang amat bererti dalam perhubungan kedua-dua negara di sana, termasuk makam Raja Taksin zaman dinasti Thonburi Thailand dan Muzium Danfu yang mempamerkan hubungan budaya yang rapat China-Thailand.
Naib Presiden Persatuan Persahabatan China-ASEAN, Wang Yunze yang turut serta dalam aktiviti lawatan di Shantou berkata: "Persatuan persahabatan kedua-dua negara telah mengadakan pelbagai aktiviti sempena sambutan ulang tahun ke-35 terjalinnya hubungan diplomatik China-Thailand pada tahun ini. "Kembara Persahabatan Thailand China" merupakan salah satu aktiviti yang mempunyai erti yang amat penting."
Menurut beliau, penganjuran aktiviti kembara itu akan membantu meningkatkan lagi rasa persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara, khususnya di kalangan rakyat. Kata Beliau: "China dan Thailand telah menjalinkan hubungan persahabatan sejak sekian lama. Sejak terjalinnya hubungan diplomatik 35 tahun yang lalu, hubungan interaksi dan kerjasama antara kedua-dua negara telah meningkat dalam pelbagai bidang, termasuk politik, ekonomi, perdagangan, kebudayaan dan juga kalangan rakyat."
Menurut Encik Wang Yunze, menerajui lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan merupakan usaha yang amat penting dalam hubungan dua hala China-Thailand pada masa akan datang. Kata beliau: "China memberikan perhatian besar kepada kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan negara-negara ASEAN, termasuk Thailand kerana ia boleh membawa keuntungan yang realistik kepada kita. Walaupun persatuan persahabatan di kedua-dua negara tidak menceburkan diri secara langsung dalam urusan ekonomi, namun kami bersedia memainkan peranan postif untuk mendorong hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara, khususnya membantu syarikat kedua-dua negara menjalinkan hubungan kerjasama. Kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dengan negara ASEAN mempunyai prospek yang amat cerah dengan terbentuknya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN."
Menurut beliau, delegasi perdagangan China yang diketuai oleh Presiden Persatuan Persahabatan China-Thailand, Shi Guangsheng akan melawat Thailand pada bulan Disember tahun ini. Forum Ekonomi dan Perdagangan China-Thailand akan diadakan dalam tempoh lawatan tersebut yang bertujuan meneroka ruang kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara.