Jika memperkatakan tentang Malaysia, satu perkataan yang pasti akan disebut bersama dengan nama negara ini pada pandangan orang China, iaitu "pelancongan." Pada tahun 1990, Malaysia merupakan antara negara yang lebih awal membuka destinasi pelancongannya kepada warga China, dan menjadi negara pertama yang dilawati oleh pelancong China pada waktu itu. Sehingga kini, Malaysia tetap merupakan salah sebuah destinasi pelancongan yang mempunyai daya tarikan kepada warga China.
Malaysia bukan sahaja terkenal dengan keindahan pemandangan dan tropikalnya, tetapi juga mempunyai banyak tapak peninggalan sejarah, dan metropolitan yang serba moden. Selain itu, negara ini juga kaya dengan budaya yang pelbagai serta masakan dengan bercita rasa yang istimewa. Kesemua ini menjadikannya sebagai destinasi pelancongan yang amat diminati oleh pelancong China. Beberapa tahun yang lalu, jumlah pelancong China yang melawat ke Malaysia telah meningkat dari semasa ke semasa, dan pada tahun lalu bilangannya mencecah satu juta orang pada tahun lalu. Angka ini menjadikan China sebagai negara sumber pelancong yang ketiga terbesar bagi Malaysia. Sekarang, tapak-tapak pelancongan yang terkenal di Malaysia seperti Menara Kembar di KLCC dan Pulau Redang sudah tidak asing lagi bagi rakyat China. Kini, pelancong China dikatakan boleh didapati di merata-rata tempat di Malaysia, sekalipun di destinasi pelancongan yang baru dibangunkan.
Industri pelancongan merupakan sumber ekonomi ketiga terbesar dan juga sumber pendapatan wang asing yang kedua terbesar bagi Malaysia. Keazaman kerajaan Malaysia dalam memacu industri pelancongan terbukti dengan slogan yang penuh inspirasi, iaitu "Malaysia, Benar-benar Asia." Ketika menjelaskan mengenai maksud yang dibawa dalam slogan ini, Menteri Pelancongan Malaysia, Dato' Sri Dr Ng Yen Yen berkata: "Malaysia mempunyai penduduk seramai 28 juta orang yang terdiri daripada 48 suku kaum. Antara kaum terbesar 60% kaum Melayu, Cina 26% dan 8% ialah keturunan India. Oleh yang demikan, slogan industri pelancongan kami ialah 'Malaysia, Benar-benar Asia' kerana negara ini kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan Asia yang penuh istimewa."
Sekarang, banyak agensi pelancongan di China menawarkan pakej pelancongan ke Malaysia. Bayarannya hanya kira-kira 3,000 Yuan RMB ini boleh diterima oleh golongan yang berpendapatan sederhana.
Jika pelancong China melawat ke Malayia menerusi pakej pelancongan, terdapat satu destinasi yang pasti akan dilawati mereka, iaitu bandar Melaka. Selain menikmati keindahan laut di Selat Melaka, pelancong China juga boleh menyaksikan beberapa tapak peninggalan sejarah yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka pada zaman dahulu. Kaunselor Pelancongan daripada Konsulat Malaysia di Guangzhou, Encik M. Wahid berkata, "Melaka merupakan sebuah bandar yang bersejarah. Melaka bukan sahaja terkenal dengan tapak peninggalan sejarah semasa pendudukan Portugis dan Belanda, tetap juga terkenal dengan Bukit China dan Perigi Hang Li Poh yang membuktikan perhubungan rapat antara Malaysia dengan China pada lebih 600 tahun yang lalu.
Bagi pelancong China, lawatan ke Malaysia kini semakin mudah dilakukan dengan wujudnya penerbangan langsung yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan banyak bandar di China seperti Beijing, Shanghai, Tianjin, Guangzhou dan Kunming. Selain itu, Air Asia yang merupakan syarikat penerbangan tambang murah yang terbesar di rantau Asia telah mewujudkan penerbangan ulang alik antara Tianjin dan Kuala Lumpur, bayaran purata bagi tiketnya hanya lebih kurang 1,000 Yuan RMB sahaja. Penerbangan Air Asia ini telah mengurangkan kos perjalanan bagi pelancong China.
Pada beberapa tahun yang lalu, semakin ramai pelancong China melawat Malaysia dengan kaedah perjalanan secara berdikari. Kaedah ini dianggap lebih fleksibel dan bebas jika dibandingkan dengan mengikuti pakej pelancongan.
Ketua Pengurus bagi cawangan Agensi Pelancongan Antarabangsa Huangjing di daerah Wangjing, Beijing, Puan Du Yang memberitahu wartawan bahawa semakin ramai orang muda berminat melancong ke Malaysia secara sendiri. Agensi pelancongan membantu mereka menempah tiket kapal terbang dan hotel, selepas itu, mereka boleh berlepas ke Malaysia dan memilih destinasi dan program pelancongan yang mereka diminati. Bagi pelancong China, tiada masalah yang besar dari segi bahasa di Malaysia, kerana mereka boleh berkomunikasi dengan orang tempatan dengan menggunakan bahasa Inggeris, malah bahasa Mandarin. Hal ini memberikan kemudahan kepada warga China untuk melancong ke Malaysia secara sendiri.
Du Yang berkata: "Ramai pelancong muda yang tidak berpuas hati hanya dengan lawatan sahaja. Mereka ingin mendapatkan pengalaman baru dan merangsang dalam aktiviti pelancongan. Menyelam atau memancing di kawasan perairan berhampiran pulau, menjelajahi hutan tropikal asli, membeli-belah di Pulau Langkawi merupakan antara aktiviti pelancongan yang diminati oleh pelancong muda. Berdasarkan respons daripada pelancong, program pelancongan secara sendiri yang kami tawarkan mendapat sambutan yang sungguh baik.
Malaysia tetap merupakan destinasi pelancongan yang diminati oleh pelancong China baik bagi mereka yang mengikuti pakej pelancongan, mahupun melancong secara sendiri. Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) yang beroperasi pada awal tahun ini akan menyediakan ruang kerjasama yang lebih luas kepada sektor pelancongan China-Malaysia. Perdagangan perkhidmatan yang semakin mudah dilakukan di rantau ini akan memberikan peluang perkembangan kepada industri pelancongan kedua-dua negara. Sementara itu, pelancong di rantau ini juga boleh menikmati produk pelancongan yang lebih berprestij dan menarik, ini termasuk pelancong China yang melawat ke Malaysia.