
Pertandingan nyanyian lagu China-Vietnam yang dianjurkan bersama oleh CRI, Konsulat Vietnam di Nanning dan Jabatan Radio, Filem dan Televisyen Guangxi telah berakhir di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi China pada 16 November lalu. Dua orang penyanyi dari China dan Vitenam memenangi anugerah pertama dalam pertandingan tersebut. Ketika menyampaikan ucapan dalam pertandingan tersebut, Naib Presiden CRI, Wang Yunpeng berkata: "Pertandingan nyanyian lagu China dan Vietnam merupakan satu aktiviti untuk menyambut ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan kedua-dua negara pada tahun ini. Walau bagaimanapun, aktiviti ini diharapkan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang untuk menyemarakkan semangat persahabatan antara rakyat kedua-dua negara."
Pertandingan nyanyian lagu China dan Vietnam ini bermula pada bulan Mei lalu, dan mengambil masa lebih 6 bulan. Seramai lebih 300 peserta dari China dan Vietnam menyertai pertandingan tersebut, 15 orang daripada mereka berjaya memasuki pertandingan akhir.
Ketika diwawancara oleh wartawan CRI, Konsul Besar daripada Konsulat Vietnam di Nanning, Nguyen Anh Dung berkata, "Hubungan interaksi budaya antara Vietnam dengan China telah meningkat dari semasa ke semasa pada beberapa tahun kebelakangan ini. Kini, pertandingan nyanyian lagu Vietnam dan China ini memainkan peranan yang istimewa dalam interaksi budaya, terutamanya dalam meningkatkan persefahaman di kalangan rakyat kedua-dua negara."

Stesen TV Digital Negara Vietnam merupakan salah sebuah media yang turut serta dalam pertandingan nyanyian tersebut. Stesen TV Vietnam itu telah memikul tanggungjawab dalam menarik peserta di Vitenam. Naib Presiden Stesen TV Digital Negara Vietnam, Nguyen Van Binh berkata: "Kerajaan dan rakyat Vietnam dan China menjalinkan hubungan yang semakin rapat pada tahun-tahun kebelakangan ini. Sebagai pihak media, kita berharap boleh memberikan sumbangan sendiri untuk mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara. Selepas mengetahui cadangan tentang penganjuran pertandingan nyanyian ini, kami telah meneliti kaedah untuk menjayakan pertandingan ini, terutamanya untuk menghasilkan kesan positif kepada kalangan masyarakat."
Untuk membolehkan lebih ramai peminat bidang nyanyian menyertai pertandingan tersebut dan memilih penyanyi yang unggul, pertandingan pelbagai peringkat telah diadakan oleh Stesen Radio dan Televisyen Quang Ninh, Vietnam di 8 buah provinsi di bahagian utara negara itu.








