Menurut berita RTM, Malaysia dan China akan menandatagani memorandum persefahaman (MOU) untuk membina kerjasama dalam beberapa isu yang membabitkan dua negara, termasuk usaha memerangi kegiatan pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, dan jenayah antarabangsa. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata MOU itu diharapkan dapat ditandatangani di Beijing tahun depan.
Menurut Datuk Seri Hishammuddin, perincian berhubung perkara itu sedang diusahakan, untuk melihat kepada terma-terma bagi membina kerjasama rapat dua negara. Perbincangan itu amat penting dalam persekitaran yang cukup mencabar bagi kedua-dua negara. Kuala Lumpur dan Beijing sedang melihat kepada hubungan jangka panjang dan pengurusan yang berkaitan. Bukan sahaja antara kerajaan dua negara, tapi juga daripada aspek hubungan antara jabatan kerajaan dua negara dengan fokus bersama yang merujuk kepada hubungan masa depan. Beliau menyatakan demikian selepas bermesyuarat dengan Duta Besar China ke Malaysia, Chai Xi di Putrajaya.
Sementara itu Chai yang berada di Malaysia sejak lima bulan lepas berkata kedua-dua pihak bersetuju dengan bentuk hubungan dan kerjasama, terutama dalam bidang keselamatan. Meskipun menikmati keamanan dan kestabilan, negara di rantau ini tetap berhadapan dengan beberapa isu. Sehubungan itu, negara-negara berkenaan, khususnya Malaysia dan China perlu berganding bahu menangani segala masalah yang dihadapi secara bersama.