Perabot kayu rosewood yang dibuat daripada mahogani atau kayu merah kini semakin diminati oleh rakyat China dan amat laris dijual di negara ini. Perabot yang mengambil bahan kayu khas dari hutan tropika dan subtropika ini bukan sahaja mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri dari segi reka bentuk dan teknik pembuatannya, malah juga kaya dengan unsur budaya.
Perabot kayu merah buatan Laos ini kini mendapat sambutan yang amat baik di pasaran China, kerana ia dibuat dengan bahan kayu yang keras dan berwarna cantik, malah harganya juga lebih murah.
Dalam satu aktiviti pelelongan perabot rosewood yang diadakan di Beijing, para pelanggan menawarkan harga yang semakin tinggi untuk "merebut" sebuah almari kasut yang dibuat daripada kayu merah Laos. Akhirnya, perabot tersebut berjaya dibawa pulang oleh Encik Wang dengan harga 11,500 Yuan RMB. Kata beliau, orang China berminat pada perabot kayu merah kerana ia dibuat dengan teknik yang cukup halus dan kelihatan amat bergaya. Beliau berkata: "Perabot biasa hanya boleh dipakai beberapa belas tahun sahaja, sedangkan perabot kayu merah dikatakan boleh dipakai untuk beberapa generasi. Selain itu, perabot kayu merah mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri, khususnya dengan reka bentuk yang bergaya tradisi China."
Encik Wang memberitahu wartawan bahawa Laos, India dan provinsi Hainan, China merupakan tiga tempat utama yang menghasilkan bahan kayu merah. Namun, harga kayu merah dari Hainan dan India sangat tinggi kerana pokoknya sudah hampir pupus. Walau bagaimanapun, perabot kayu ini dari Laos didapati amat laris dijual di China kerana mutunya yang tinggi dan harganya yang murah.
Peluang perniagaan yang besar di pasaran China telah diketahui oleh peniaga Laos sejak awal lagi. Puan Phudsavi Vongvichith sudah 5 tahun menguruskan sebuah syarikat perabot kayu merah di Laos. Sebahagian produk perabotnya dijual ke China. Kata beliau: "Orang China sangat berminat pada perabot kayu merah. Tetapi, perabot ini mesti dibuat dengan kayu yang bermutu dan menggunakan teknik pembuatan yang baik untuk mendapatkan sambutan pasaran di China. Orang China amat suka pada perabot yang mempunyai reka bentuk tradisional. Oleh itu, saya telah membawa seorang tukang kayu dari China untuk bertugas di syarikat kami, supaya memastikan perabot buatan kami dapat memenuhi selera pelanggan di China."
Puan Phudsavi berkata, China mempunyai pasaran yang amat besar. Permintaan pasaran perabot China meningkat dengan pesat beberapa tahun yang lalu. Beliau berharap dapat mengundang lebih ramai tukang kayu yang berkemahiran dari China untuk membantu meningkatkan teknik pembuatan di syarikatnya. Menurut beliau, perabot yang dibuat dengan kayu merah Laos yang amat bermutu dan dengan teknik pembuatan yang cemerlang dari China pasti akan mendapat sambutan yang baik.
Demi melindungi sumber kayu merah dan memacu industri perabot domestik, kerajaan Laos kini melarang bahan kayu merah dieksport. Kayu merah hanya diizinkan dieksport selepas menjadi perabot. Presiden Persatuan Perabot Laos, Encik Yothin Vetsaphong berkata: "Ramai orang mengatakan kayu merah Laos sudah pupus. Sebenarnya, kayu merah kami hanya dilarang daripada dieksport saja. Sedangkan eksport perabot kayu merah digalakkan oleh kerajaan, dan kerajaan tidak mengenakan cukai eksport terhadapnya. Di samping itu, kerajaan juga menggalakkan syarikat asing melabur dalam sektor pembuatan perabot di Laos. Pihak syarikat juga boleh memperoleh kayu merah selepas menyerahkan rancangan pengeluaran mereka kepada pihak kerajaan."








